, , ,

Kisah Wanita Ini Akan Membuatkan Anda Menitiskan Air Mata

hikmah sebuah keguguran

sedih baby

Terima kasih mengerakkan jari ummi untuk menulis dan menulis, anakku.
Akan ku nukilkan sebuah buku untuk dirimu.
Ummi kemas rumah hari ini.
Tiba-tiba ummi teringat kamu.
Ummi pegang perut.
Kosong.

Tenanglah kau di sana wahai si anak.
Kerana kau,
Mengajar Ummi dan Abi erti REDHA.
Terima kasih suami tercinta.
Kerana kau jua asbab dari ALLAH.

Untuk aku berdiri di kaki sendiri,
Tatkala kenangan itu mula mengintai jiwa.


LOKASI: HOSPITAL UMUM SARAWAK
TARIKH: 18 APRIL, 2016

9 minggu 7 hari.
Genaplah anak ummi keluar dari rahim ummi. Meninggalkan ummi.

Ketika tahajud, waktu itu sunyi sayangku. Jam 3.30 pagi. Pagi itu ummi masih ingat, kau memberi petanda sujud ummi serba tak kena.

Perut ummi sakit memulas. Sama seperti ummi kena sengugut, tetapi lebih perit rasanya. Ummi dapat rasa yang anak ummi akan pergi. Abi turut merasa, sayangku.

Ummi berdarah. Ummi rasa derasnya darah mengalir. Abi cuba tenangkan ummi. Abi cakap, apapun yang berlaku, ummi kena REDHA.

..apapun yang berlaku, ummi kena REDHA.

Abi siapkan semua pakaian ummi. Pergi ke hospital swasta. Dengan pantas Abi memecut kereta. Syukur sakit ummi berkurang. Mungkin pemandangan pokok dan naungan awan menyedapkan hati ummi.

Sampailah ummi ke Timberland. Belum panas punggung ummi duduk di depan kaunter. Doktor terus memanggil dan pemeriksaan dijalankan. Darah dah mula membasahi katil. Ummi redha, sayang.

Ummi sakit. Sampai tak larat nak cakap. Doktor panggil abi. Ada perbincangan serius. Ummi dengar,sayang.

Ummi tahu apa yang bakal ummi hadapi. Doktor nak admit ummi dalam wad.

“Your wife look so painful. She’s threaten miscarriage. I advice..admit her today”

MUNGKIN tidak ramai wanita yang tahu apa itu kandungan anggur atau molar pregnancy. Bagi yang tidak tahu mungkin mereka akan mengatakan ia tidak wujud. Ia dipanggil kandungan anggur kerana kandungan tersebut kelihatan seperti gugusan buah anggur. Insiden sebenar kandungan anggur tidak di ketahui. Tetapi kes-kesnya dipercayai lebih tinggi di Asia berbanding Eropah. Contohnya, kadar kandungan anggur di United Kingdom dan Amerika Syarikat ialah antara 1:2000 kandungan sehingga 1:1000 kandungan.

Balik dari hospital, Abi tak tinggalkan ummi. Abi bawak umi ke rumah family Abi. Ummi masih boleh kawal sakit. Sekejap cramp, sekejap tidak. Ummi siap boleh berbual dengan family Abi.

Tapi, ummi kuat rasa yang ummi kena duduk hospital malam tu. Abi pun dapat rasa. Pandai Abi jaga ummi. Sampai ummi tak perasan yang ummi tengah bertarung kesakitan itu. Sehinggalah..

Lepas maghrib. Waktu ummi duduk di ruang tamu bersama mak mertua, ummi dapat rasa gerakan yang luar biasa. Sakitnya perut ummi tak tertahan lagi. Abi cepat-cepat bawa kereta. Mak mertua usap-usap badan ummi. Ummi kena jugak hadapi kenyataan ini.

Di pintu kecemasan ummi sudah longlai. Ummi tak ingat apa. Yang ummi ingat ummi jerit Allah,Allah! sebab kantung dengan janin ummi dah keluar. Tapi tak sepenuhnya. Allah saja yang tahu betapa peritnya.

Ummi dibawak ke labour room. Pembedahan kecil dilakukan. Ummi dibius. Ummi masih dapat rasa gunting menyentuh sini sana. Untuk keluarkan lebihan yang tersangkut di pintu rahim. Ummi dapat rasa. Ummi hanya mampu menyebut lahaulawala Quwwata illa billah. Tiada daya dan kekuatan melainkan dari Allah.

Empat jam ummi bertarung. Jam 2 pagi ummi dibenarkan balik. Perut ummi rasa bisa. Tapi Ummi lega.


Hari ini saya bangkit dari kesedihan semalam.

Dalam tempoh berpantang, akibat dari keguguran anak, saya tak boleh melayan kesedihan ini secara berlebihan. Terima kasih suamiku.

Secara tidak sedar, saya akui saya trauma dengan insiden keguguran ini. Tetapi apabila wassap,fb dan kata-kata semangat dari keluarga dan kenalan bertubi-tubi datang, saya terfikir.

“Oh,ada yang lebih perit pengalamannya berbanding saya. Saya bersyukur”. Dikurniakan suami dan family yang sangat memahami. Ditambah kenalan yang tak henti-henti memberi sokongan. Alhamdulillah.

Saya melihat bapak mertua saya khusyuk dengan agenda ilmunya. Saya mengambil bahagian. Daripada saya melayan air mata, baik saya melayan buku fatwa. Alhamdulillah bapa meminjamkan saya buku dari Dr.Yusuf Al-Qaradhawi pagi ini.

Saya membelek. Perbualan wassap bersama suami saya hentikan dengan sopan. Suami menyokong tindakan.

Tajuknya Qada & Qadar Allah SWT, begitu Menyentap jiwa saya.

“Sesungguhnya Allah mencela orang yang bersikap lemah. Ambillah langkah berjaga-jaga dan berusahalah.Sekiranya kamu tewas menghadapi ujian,sebutlah :
“CUKUPLAH ALLAH UNTUK DIRIKU”

Kesannya, kita akan lebih bersemangat selepas diselubungi oleh rasa putus asa. Dan kita akan REDHA.

Terima kasih suami,

Terima kasih pada emak ummi yang telah berjuang darah melahirkan ummi dahulu,

Terima kasih pada keluarga ummi dan keluarga abi. Yang kini menjaga ummi berpantang.

Allahuakbar, alhamdulillah.

Terima kasih ya Allah atas pengalaman ini.

Ummi yakin anak ummi menunggu di sana.


Dan Alhamdulillah, selepas kehilangan, ALLAH memberi satu rezeki lagi buat saya.

Kini kandungan saya telah mencecah usia 8 bulan, dan hanya menunggu hari untuk melahirkan.

Moga apa yang dikongsikan dapat dijadikan semangat bagi yang pernah merasai kehilangan.

Wallahualam.

Maklumat Penulis

Dari hati Nur Izzati Bt Sabtu. Seorang ibu. Berasal dari Johor. Kini menetap di Sarawak. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.