, ,

Rasulullah S.A.W Mula Bekerja

Sepanjang berada di bawah jagaan bapa saudaranya Abu Talib, Nabi Muhammad SAW tidak berat tulang untuk membantunya.

Memandangkan Abu Talib merupakan seorang pedagang, Baginda SAW telah didedahkan tentang selok belok perdagangan sebelum dilantik menjadi rasul.

Jelaslah bahawa bekerja merupakan sunnah Baginda.

Baginda SAW menjadi contoh kepada umatnya bahawa sikap bermalas-malasan bukanlah satu sikap yang baik. 

Hal ini terungkap di dalam sebuah hadis yang berbunyi: 

“Tidaklah seseorang itu makan sesuatu yang lebih baik daripada dia makan daripada hasil usaha tangannya sendiri. 

Sesungguhnya Nabi Allah Daud AS juga makan daripada hasil usaha tangannya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)

Sebelum Menjadi Rasul

Terdapat dua jenis pekerjaan yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda dilantik menjadi rasul. 

Pertama ialah berniaga dan kedua ialah mengembala

Rupa-rupanya kedua-dua pekerjaan ini memiliki hikmahnya yang tersendiri. 

Ia sebenarnya dapat membantu dalam proses pembentukan karakter seseorang.

Misalnya, berniaga dapat melatih diri untuk menjadi jujur dan amanah

Manakala mengembala pula dapat melatih diri untuk memiliki sifat sabar

Semua itu tergambar dalam keperibadian Baginda SAW lebih-lebih lagi setelah dilantik menjad rasul.

Syeikh Ahmad al-Fathani dalam kitabnya Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib menceritakan bahawa buat pertama kalinya Baginda SAW berniaga adalah bersama bapa saudaranya, Abu Talib ke negeri Syam.

 Tatkala rombongan kafilah berhenti di Busra, seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira terserempak dengan mereka. 

Memandangkan beliau seorang yang alim dalam agama Nasrani, beliau mendapati bahawa dalam rombongan tersebut terdapat seorang manusia yang luar biasa.

Lalu, beliau pun menjamu rombongan tersebut sebagai tanda memuliakan Baginda SAW. 

Walhal, sebelum ini beliau tidak menghiraukan pun mana-mana kafilah yang berhenti rehat di kawasannya.

Pekerjaan Sebelum Kenabian

Buhaira akhirnya dapat mengetahui bahawa orang yang luar biasa ini merupakan anak saudara kepada ketua kafilah iaitu Abu Talib

Ketika jamuan itu, beliau berpesan kepada Abu Talib. 

Katanya: “Kembalilah kamu dengan anak saudaramu ini dan berhati-hatilah dengan orang Yahudi.”

 Mendengar ungkapan tersebut, Abu Talib menjadi bimbang. 

Beliau dengan segera menyelesaikan urusan perniagaannya di Syam dan setelah itu terus pulang ke Mekah. Ketika itu usia Baginda SAW ialah 12 tahun.

Bukan itu sahaja, Baginda SAW juga pernah mengikuti dua orang bapa saudaranya yang lain berniaga. 

Kali ini Baginda mengikuti al-Zubair dan al-‘Abbas berniaga ke negeri Yaman. 

Bermakna, nabi kita ini telah mengikuti rombongan perdagangan ke utara dan selatan kota Mekah.

Selain itu, sebagaimana yang telah disebutkan, Nabi Muhammad SAW juga pernah mengembala kambing

Syeikh Ahmad al-Fathani mencatatkan: “Bahawasanya Nabi SAW memelihara kambing sebelum dilantik menjadi rasul. 

Demikian juga telah sabit pada hak Nabi Musa AS dan demikian itu tiada sunyi daripada hikmah.”

 Ya, hikmah yang telah disebukan tadi disebalik pekerjaan mengembala kambing.

Kerana Sikap

Penyertaan Nabi Muhammad SAW dalam aktiviti perniagaan telah menjadi buah mulut penduduk kota Mekah ketika itu. 

Hal ini disebabkan oleh rombongan perdagangan yang disertai oleh Baginda telah pulang dengan membawa keuntungan yang banyak.

Hal ini dibuktikan lagi dengan sikap Baginda SAW yang begitu amanah dan jujur dalam perniagaan.

Maka, disebabkan itulah nabi kita ini mendapat gelaran al-Amin daripada penduduk kota Mekah sendiri. 

Mereka begitu percaya dengan kejujuran yang ada pada diri Baginda.

Hal ini telah menarik perhatian seorang saudagar wanita kaya Mekah bernama Khadijah. 

Beliau lantas menawarkan Baginda SAW untuk mengikuti rombongan kafilah perniagaannya ke Syam. 

Kali ini bukan sebagai pengikut, tetapi sebagai ketua rombongan.

Maka, berangkatlah rombongan perniagaan Khadijah ini ke Syam. 

Ketika itu, Baginda SAW ditemani oleh hamba Khadijah yang bernama Maisarah.

Selain daripada untuk tujuan berniaga, melalui rombongan ini juga Khadijah ingin mengetahui bagaimanakah sikap Baginda SAW sehingga digelar sebagai al-Amin itu.

Secara keseluruhannya, Nabi Muhammad SAW telah bermusafir atas urusan perniagaan sebanyak tiga kali

Dua kali bersama bapa saudaranya ke Syam dan Yaman. 

Manakala sekali lagi ke Syam membawa barang dagangan Khadijah yang kelak bakal menjadi peneman hidup Baginda SAW.

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.