, ,

Ilmu Embriologi Di Dalam Al-Quran: Peringkat Nutfah, Alaqah Dan Mudghah

Sesungguhnya pembuktian kebenaran ayat-ayat al-Quran dari segi kajian sains adalah merupakan salah satu dimensi dakwah bagi membuktikan al-Quran merupakan kalam Allah S.W.T. 

Di dalam artikel ini, skop penulisan tertumpu kepada ilmu embriologi di dalam al-Quran semasa peringkat Nutfah sehingga Mudghah sahaja.

Perkembangan embriologi yang dinyatakan di dalam al-Quran pernah diselidiki oleh Prof Dr Keith Moore (Prof Emeritus Bahagian Anatomi Universiti Toronto Kanada) melalui kertas kerja beliau hasil kajian bersama Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi.

Skop artikel ini adalah berpandukan kepada jurnal yang dihasilkan beliau iaitu A Scientist’s Interpretation of References to Embryology in the Quran (The Journal of the Islamic Medical Association, Vol. 18, Jan-June 1986, pp. 15-16).

Di dalam surah al-Mu’minuun 23:12-14 peringkat embriologi dijelaskan dengan terperinci dan menepati dengan penemuan sains moden semasa:-

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) Nutfah (air benih) pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan Nutfah (air benih) itu menjadi sebuku Alaqah (darah beku). Lalu Kami ciptakan Alaqah (darah beku) menjadi seketul Mudghah (daging yang dikunyah); kemudian Kami ciptakan Mudghah (daging yang dikunyah) itu menjadi beberapa Izam (tulang); kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan Lahm (daging). Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Surah al-Mu’minuun 23:12-14).

 

Peringkat Nutfah (drop, sperm)

Di dalam bahasa Arab, Nutfah boleh diterjemahkan kepada titisan (drop) ataupun sperma.

(Sumber: Dr Danial Zainal Abdidin di dalam buku beliau “Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains”, 2009)

Menurut Prof Keith Moore, beliau berpandangan bahawa definisi Nutfah juga meliputi pembentukan zygote sehingga blastocyst. Pada peringkat blastocyst, proses implan pada dinding rahim (uterus) berlaku.

Proses implan ini selari dengan kenyataan di dalam surah al- Mu’minuun 23:13 iaitu, “Kemudian Kami jadikan ‘pati’ itu (setitis) air benih (Nutfah) pada penetapan yang kukuh (a place of rest).” (Surah al-Mu’minuun 23:13)

 

Peringkat Alaqah (Leech/bloodsucker)

Pada jangkamasa 7-24 hari, janin pada ketika ini akan berbentuk seperti lintah (leech like structure). Di dalam al-Quran peringkat ini disebut sebagai Alaqah. Menurut Prof Keith Moore, Alaqah ditafsirkan sebagai leech/bloodsucker.

Ianya memang menarik kerana ketika fasa ini, sememangnya:

  1. Embrio akan berbentuk seperti lintah.
  2. Dan pada ketika ini juga, embrio akan menerima nutrien (maternal blood) daripada ibunya sepertimana lintah yang menghisap darah.
  • Alaqah juga boleh didefinisikan sebagai darah beku (blood clot), kerana semasa peringkat ini, darah sudah memenuhi embrio dan peredaran darah juga tidak beredar pada hari ke-20 hingga hari ke-21 seperti darah beku.
  1. Yang lebih menarik di dalam bahasa Arab Alaqah juga bermaksud ‘suatu yang melekat’ (cling). Ianya bertepatan dengan penemuan sains semasa kerana pada masa ini, embrio akan melekat (cling) pada rahim ibunya (endometrium of the uterussepertimana lintah apabila melekat pada kulit manusia.

 

Rajah 1: Perbandingan semasa peringkat Alaqah (dari segi bahasa bermaksud lintah) dengan rupa bentuk lintah. Kelihatan terdapat persamaan bentuk dan ini merupakan mukjizat saintifik di dalam Quran

 

 

Peringkat Mudghah (Chewed substance/chewed lump)

Kemudian daripada Alaqah berubah menjadi Mudghah. Di dalam bahasa Arab, Mudghah adalah bermaksud ‘daging yang dikunyah’ (Sumber: Dr Danial Zainal Abdidin di dalam buku beliau “Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, 2009).

Pada peringkat ini Prof Keith Moore menafsirkan Mudghah sebagai chewed substance/chewed lump. Berdasarkan takrif bahasa, Mudghah yang bermaksud “daging yang dikunyah” selari dengan penemuan sains moden semasa. Hal ini bertepatan kerana:

  1. Penemuan sains moden semasa kerana pada ketika ini, saiz embrio bersaiz 1 cm di mana saiz ini secara logiknya merupakan saiz daging yang boleh dikunyah.
  2. Terma dikunyah juga sangat tepat kerana embrio seolah-olah terdapat kesan gigitan (teeth marksemasa umur 28 hari. Ini berpunca daripada sel-sel yang dikenali sebagai somites yang menyerupai kesan teeth mark di belakang embrio.
  • Yang lebih mengagumkan lagi, di dalam al Quran juga menjelaskan pada peringkat ini terdapat pembetukan sel yang sempurna kejadiannya dan tidak sempurna kejadiannya. Prof Keith Moore mendefinisikan sebagai “differentiated”dan “undifferentiated tissue”. Sila teliti surah al Hajj 22:5 seperti di bawah:

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih (Nutfah), kemudian dari sebuku darah beku (Alaqah), kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan (‘differentiated’ dan ‘undifferentiated tissue’).” (Surah Al-Hajj 22:5).

Rajah 2: Gambaran embrio semasa Peringkat Mudghah (dari segi bahasa bermaksud ‘daging yang sedikit yang sebahagian daripada telah dikunyah’ (Sumber: Dr Danial Zainal Abdidin di dalam buku beliau “Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, 2009)). Ianya selari dengan penemuan moden semasa di mana merujuk rajah di atas, embrio seolah-olah ada kesan gigitan ‘teeth mark’ di belakang embrio

 

Dengan kadar kedaifan dan kekerdilan ilmu penulis sedia ada, penulis hanya mampu berkongsi ilmu embriologi al Quran iaitu daripada peringkat Nutfah sehingga Mudghah sahaja.

Sehubungan itu, besarlah harapan penulis semoga artikel ini sedikit sebanyak dapat menarik minat non-muslim khususnya dalam meneliti kebenaran Islam.

Selain itu dapat meransang minat umat Islam agar mempunyai pemikiran Ulul Albab sepertimana dikehendaki oleh Allah S.W.T di dalam ayat di bawah ini:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang ‘Ulul Albab’ (berakal).” (Surah A-li’Imraan 3:190)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia. Mula berkecimpung sebagai penulis di iluvislam pada 2017.

Adik kepada penulis juga ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram bin Sulaiman di talian 017-603 9997 atau layari https://www.instagram.com/ikramtyson/ untuk sebarang pertanyaan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.