,

Kisah Perang Hunain Diabadikan Di Dalam Al-Quran

perang hunain dalam al quran

Pasti ramai tak tahu bahawa kisah Perang Hunain ada dicatatkan di dalam Al-Quran, bertujuan untuk memberi pengajaran kepada kita semua, contohnya di dalam surah At-Taubah, surah ke-9 ayat 25 hingga 27.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.

Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Antara pengajaran yang boleh diambil berkaitan perang ini adalah:

1. Ketika kaum Muslimin berasa megah kerana bilangan mereka yang ramai, maka Allah berfirman: “maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun.”

2. Allah menolong Rasululullah dalam peperangan dan memuliakannya dengan menurunkan ketenangan untuknya dan kaum Muslimin, seperti yang dinyatakan: “Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman.”

3. Allah menerima taubat hambaNya dan memberi pertolongan kepada sesiapa yang Allah kehendaki untuk bertaubat, seperi yang dinyatakan: “Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab).”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)