Rasulullah mengambil keputusan untuk memberi harta rampasan perang kepada mereka yang baru masuk Islam iaitu orang-orang yang dibebaskan ketika Fath (pembukaan) Makkah dan kaum badwi. Antara yang mendapatnya termasuklah pemimpin kaum Quraisy, kaum Ghathafan dan kaum Tamim yang baru masuk Islam. Tujuannya adalah supaya dapat melembutkan hati mereka dengan Islam.
Perkara tersebut menyebabkan salah satu suku daripada kaum Ansar berasa kecil hati kerana mereka merasakan kaum Ansar lebih lama bersama Rasulullah dalam perjuangan Islam.
Lalu, Rasulullah meminta supaya salah satu suku daripada kaum Ansar tersebut berkumpul. Ada juga beberapa orang daripada kaum Muhajjirin yang turut serta, tetapi Baginda tidak menerima mereka kerana perjumpaan ini hanya khusus kepada kaum Ansar.
Setelah itu, Rasulullah menyampaikan khutbah yang sangat menyentuh hati, sehingga semua yang hadir menangis teresak-esak dan mengatakan: “Kami rela dengan pembahagian Rasulullah dan Rasulullah sebagai bahagian kami.”
Ok, nak tahu apa antara isi kandungan khutbah itu? Saya takkan kongsikan semua, jadi saya hanya akan ambil beberapa bahagian saja.
“Patutkah kamu merasa sedih kepadaku wahai kaum Ansar kerana harta dunia yang aku gunakan untuk melunakkan hati sekelompok kaum agar mereka masuk Islam, sementara kepada kamu aku sudah sepenuhnya percaya keislaman kamu? Apakah kamu tidak rela wahai kaum Ansar, orang-orang pergi membawa kambing dan unta sementara kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat tinggal kamu? Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dii tangan-Nya, yang kamu bawa pulang lebih baik daripada yang mereka bawa. Seandainya bukan kerana hijrah, nescaya aku ingin menjadi salah seorang Ansar.”
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)