,

Jangan Sempitkan Rezeki Dengan Sebab Dosa

Ramai yang berasa tertekan dan gelisah kerana menghadapi situasi 'sempit rezeki'. 

Lebih-lebih lagi dalam suasana hambatan ekonomi yang mencengkam serta kos kehidupan yang semakin tinggi.

Kerana terlalu memikir dan melayan tekanan hidup itu tanpa rasa tawakal dan pengaduan kepada Allah Yang Maha Bijaksana dan Mengetahui, maka hari demi hari, dilaporkan semakin bertambah ramai jumlah sang pengembara yang terpaksa pulang mengejut kerana disapa tetamu tak diundang, 'The Silent Killer" yang menjadi sebab musabab membawa kepada kematian.

Tetamu senyap itu adalah tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Saat awal dilanda kemelut (tekanan hidup) ini, bagi sebahagian masyarakat Islam yang mampu, mereka mungkin cuba mendapatkn khidmat kaunseling daripada kaunselor bertauliah.

Tak cukup dengan itu, mereka bertemu dengan pakar-pakar motivasi.

Lalu beberapa tip dan panduan dibekalkan untuk tindakan jangka pendek dan jangka panjang.

Antaranya faktor pengurusan masa, faktor disiplin, faktor belajar daripada kegagalan, faktor meraih peluang dan macam-macam lagi.

Mereka juga disarankan agar membaca karangan-karangan hebat mereka yang dinobat sebagai 'paling berjaya' dalam bidang-bidnag yang popular - ekonomi, pentadbiran, pengurusan, kewangan dan lain-lai  lagi.

Saat itu, berkobar-kobar semangat mereka untuk meraih kejayaan dan keuntungan yang berlipat ganda.

Namun apanila terjun semula ke alam realiti, masalah sebenar mereka masih juga tidak hilang.

Masalah hidup makin bertimpa-timpa. Pintu rezeki semakin menyempit dan hutang pula semakin menyempit melilit pingang.

Kawan-kawan yang kononnya rapat dan berikrar sehidup semati dengan kita dulu pun, ramai yang angkat kaki hilang entah ke mana.

Tanpa kembali kepada Islam, jawapan kepada 'ketidak-tentuan' rezeki kita itu tidak akan diperolehi sampai bila-bila.

Apabila pintu rezeki ditutup Allah SWT, maka dunia terasa menghimpit.

Inilah yang dinamakan 'khizyun' yakni kehinaan dunia akhirat. Wal 'iyazubillah.

Dari awal lagi, Islam mengajar umatnya bahawa meningalkan ketaqwaan dalam apa jua aspek kehidupan akan mengundang kemiskinan dan kemelaratan.

Macam-macam kemiskinan boleh berlaku apabila takwa tidak dimiliki.

Semuanya termaktub di dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

Jika pun tidak miskin harta, seseorang yang melakukan dosa terus-menerus tanpa taubat boleh jadi miskin iman, miskin hidayah, miskin ilmu, miskin akhlak dan adab, miskim maruah dan jati diri.

Dalam kata-kata yang lain, apabila takwa menjadi faktor 'pengundang' rezeki, keberkatan dan rahmat Ilahi, maka kesan dosa, maksiat dan mungkar adalah sebaliknya.

Lalu, pernahkah terfikir dan terlintas di hati kita bahawa dosa yang kita lakukan sama ada terhadap Allah SWT dan sesama manusia selama ini menjadi faktor atau penyebab 'sempit' dan 'terhalangnya' rezeki Allah SWT daripada kita?

Tersebut di dalam sebuah kitab Musnad: "Sesunguhnya manusia terhalang daripada rezeki lantaran dosa yang dilakukannya."

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh ad-Dailami, Nabi SAW bersabda: "Perbuatan zina itu mendatangkan kefakiran." Memang benar. Itulah hakikatnya.

Melalui hadis-hadis Nabi SAW berkenaan keutamaan amalan, bukanlah istighfar kepada Allah SWT, menghubungkan silaturrahim, memberi sedekah, mengeluarkan zakat dan banyak lagi menjadi faktor 'pengundang' dan 'pembuka' pintu-pintu rezeki?

Semua itu tidak lain adalah amalan takwa.

Firman Allah  SWT:

وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ آمَنوا وَاتَّقَوا لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكاتٍ مِنَ السَّماءِ وَالأَرضِ 

"Jikalau penduduk sesuatu kampung (negeri) beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan bukankan ke atas mereka (pintu-pintu) keberkatan dari pihak langit dan pihak bumi.." (Al-A'raf:96).

Manusia yang tinggi takwanya mampu pula mengagih-agihkan kurniaan dan rezeki Allah kepada insan-insan yang lain.

Demikianlah pengalaman benar pemandu-pemandu teksi di zaman Tok Kenali rahimahullah, wali Allah SWT dan alim besar kelahiran negeri Serambi Makkah.

Sekiranya beliau menaiki mana-mana teksi, maka dengan izin Allah SWT, selepas itu pemandu-pemandu teksi tersebut akan mendapati penumpang teksinya tidak putus-putus dari awal pagi hinggalah ke petang.

Bukankah ia satu kurniaan Allah SWT hasil ketakwaan?