Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA, seorang sahabat berjumpa Rasullullah SAW. .
Sahabat itu berkata, “Ya Rasullullah, saya mahu memagar tanah saya tetapi di atas tanah saya terdapat sepohon kurma kepunyaan orang lain.
Ya Rasullullah, tolong khabarkan kepada tuan pohon kurma yang ada di atas tanah saya ini untuk menjual pohon kurmanya kepada saya.
Lalu, Baginda memanggil tuan pohon kurma itu dan menyuruhnya memberi pohon kurma itu kepada tuan tanah tersebut kerana dia mahu mengusahakan tanah tersebut dan memasang pagar di sekelilingnya.
“Sebagai ganti, jika kamu memberikan pohon kurmamu, aku menjanjikan kepadamu sepohon kurma di dalam syurga,” kata Rasullullah kepada tuan pohon kurma.
Malangnya, tuan pohon kurma ini tidak bersetuju dengan tawaran tersebut dan tidak akan memberi pohon kurmanya kepada tuan tanah tersebut.
Baginda menawarkan tawaran tersebut di hadapan sahabat lain.
Lantas, ada di kalangan sahabat yang mendengar tawaran itu iaitu Abu Dahdah.
Apabila semua orang pulang, Abu Dahdah bertemu dengan tuan pohon kurma itu.
Beliau menawarkan untuk memberi seluruh kebun miliknya kepada lelaki itu sebagai pertukaran dengan pohon kurma tersebut.
Mendengar tawaran yang dikiranya sangat lumayan, lelaki itu bersetuju untuk menerima tawaran Abu Dahdah.
Setelah itu, Abu Dahdah bertemu Rasullullah dan memberitahu Baginda kes itu telah selesai.
Abu Dahdah memberitahu bahawa dia telah menukarkan seluruh kebunnya dengan sepohon kurma kepunyaan lelaki tadi.
Rasullullah menyuruh Abu Dahdah bertemu dengan tuan tanah itu dan memberikan sepohon kurma yang baru sahaja menjadi miliknya.
Abu Dahdah pun memberikan pohon kurma itu.
Abu Dahdah melakukan ini kerana ingin menolong Rasullullah dan ingin mendapat pahala.
Setelah itu, Baginda berpaling kepada Abu Dahdah lalu berkata, “Aku melihat banyaknya tandan kurma yang Allah beri kepada Abu Dahdah ini di dalam syurga kemudian hari,” lalu Nabi mengulang berkali-kali kenyataan itu.
Abu Dahdah pun pulang bertemu isterinya dan mengkhabarkan perkara tersebut kepada isterinya.
Dia mengajak isterinya berpindah dari rumah yang mereka duduki sekarang kerana rumah itu telah menjadi milik orang.
Rumah itu bukan lagi hak milik mereka kerana rumah tersebut berada di dalam kebun yang sudah dijualkan tadi.
Setelah isterinya mendengar perkara tersebut, isterinya berkata, “inilah bisnes yang paling menguntungkan kita” dengan muka yang manis dan ceria, gembira dengan apa yang telah dilakukan suaminya.
Subhanallah, betapa yakinnya sahabat nabi dengan janji Allah kepadanya sehingga ganjaran dunia dilihat kecil sahaja.
Abu Dahdah sanggup mengorbankan harta bendanya iaitu rumah dan kebun kurma miliknya demi ganjarannya di syurga kelak.
Di fikirannya mesti sudah terbayang kenikmatan syurga.
Sudah tentunya syurga yang tertinggi akan dikurniakan kepada sahabat nabi berbanding dengan kita yang mana amalnya biasa-biasa sahaja, sudah tentu tidak layak mendapat ganjaran syurga yang tertinggi di sisi Allah.
Jika kita di tempat Abu Dahdah, adakah kita sanggup mengorbankan rumah dan harta kita demi benda yang tidak terzahir di mata iaitu ganjaran sepohon kurma di syurga?
Sudah pasti kita berfikir berkali-kali bukan?
Disebut di dalam hadis lain, pada hari Abu Dahdah meninggal, Nabi Muhammad SAW mensolatkan jenazahnya
Setelah selesai mensolatkan jenazahnya, Baginda keluar masjid dan menaiki kuda.
Kuda itu berjalan perlahan-lahan, sahabat Baginda mengikuti di belakang kuda tersebut.
Semasa Baginda menaiki kuda tersebut Baginda bersabda, “Aku boleh melihat banyaknya tandan kurma yang tergantung-gantung menunggu Abu Dahdah di dalam syurga”.
Ini bermakna bahawa ini janji Allah SWT yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW yang benar-benar berlaku di syurga.