Membina persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Anshar adalah antara perkara penting yang dilakukan Rasulullah setelah hijrah ke Madinah.
Tujuannya? Supaya terjalin sebuah kerukunan dan kasih sayang antara sesama muslim dan jelas hala tuju pembangunan sosial mengikut syariat Islam.
Konsep persaudaraan bukan hanya sekadar berlaku di Madinah, iaitu antara Muhajirin dan Anshar, tetapi sudah berlaku sejak di Makkah lagi, iaitu di antara orang Islam di sana.
Antara hadith yang menerangkan konsep persaudaraan ialah:
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Janganlah kamu saling membenci, saling dengki, saling membelakangi, dan jadilah kamu semua hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak halal bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya lebih dari tiga hari.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Seorang muslim dengan muslim lainnya adalah bersaudara, tidak boleh menzalimi dan tidak boleh membiarkannya berada dalam kehinaan. Sesiapa membantu keperluan saudaranya maka Allah akan membantunya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan menghilangkan kesusahan ketika di hari kiamat, dan sesiapa menutup aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat.” (Hadith riwayat Bukhari)
Dalam Al-Quran juga telah disebutkan:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam),
maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah A-li’Imraan 3:103)
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)