,

Khalid Al-Walid Masuk Islam

Umratul Qada’ (Umrah yang dilakukan setelah perjanjian Hudaibiyah) sangat memberi kesan pada kaum Quraisy yang berada di Makkah kerana terlihat kaum Muslimin begitu tenang dan datang ke Makkah sememangnya untuk beribadah bukannya bermusuhan.

Sebahagian kaum Quraisy berkumpul di Darun Nadwah manakala sebahagiannya berada di atas bukit Hidhab untuk melihat Rasulullah dan kaum Muslimin memasuki Makkah.

Khalid bin Al-Walid ada berdiri di hadapan kaum Quraisy yang tengah berkumpul dan berkata: “Ini jelas bagi setiap orang berakal bahawa Muhammad bukanlah tukang sihir ataupun penyair, perkataannya bersumber dari Tuhan seluruh alam, kerana itu setiap orang yang berakal patut mengikutinya.”

Ketika Abu Sufyan mendengar perkara tersebut, dia segera mencari Khalid dan bertanya adakah benar Khalid mengucapkan sedemikian.

Ketika Khalid mengatakan bahawa itu ucapannya, Abu Sufyan berasa marah dan tidak berpuas hati. Mereka ditenangkan dan dileraikan oleh Ikrimah, katanya: “Tenanglah Abu Sufyan, demi Allah aku khuatir mengucapkan kata-kata seperti yang diucapkan Khalid dan aku memeluk agama seperti yang dia peluk, patutkah kamu membunuh Khalid atas pendapat yang dia anut, lihatlah kaum Quraisy, mereka semua berbai’at kepadanya. Demi Allah aku khuatir belum juga berlalu satu tahun lagi penduduk Makkah secara keseluruhan mengikutinya.

Setelah Khalid bin Al-Walid masuk Islam, Islam semakin muncul di setiap rumah kaum Quraisy baik secara sembunyi mahu terang-terangan.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)