,

Kegembiraan Rasulullah Dan Kaum Muslimin Yang Menunaikan Umrah Pada Tahun Ke-7 Hijrah

Seperti yang telah disepakati dalam perjanjian Hudaibiyah, maka Rasulullah dan kaum Muslimin menuju ke Makkah pada bulan Zulkaedah tahun ke-7 hijrah.

Kaum Muslimin memakai baju yang sama iaitu kain ihram, melantunkan talbiyah dengan suara lantang dan membawa haiwan korban.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, Rasulullah juga memerintahkan agar dibawa persenjataan kerana khuatir kaum musyrikin Quraisy tidak menepati janji dan menyerang kaum Muslimin.

Walau bagaimanapun, persenjataan itu tidak dibawa masuk ke Makkah tetapi dijaga oleh kira-kira dua ratus tentera berkuda Islam yang dipimpin oleh Muhammad bin Maslamah. Mereka berjaga-jaga di lembah Ya’jij di Marr Dzahran kira-kira 8 mil dari Makkah.

Lalu, Rasulullah dan kaum Muslimin memasuki Makkah dalam keadaan berwaspada sambil membaca talbiyah dengan suara yang tinggi bagi mengagungkan Allah Yang Maha Besar.

Bacaan talbiyah itu sendiri mengumandangkan tauhid, mengangkat syiar-syiar Allah, meruntuhkan kesyirikan dan mengalunkan pujian untuk Allah.

Ketika kaum Muslimin melaksanakan ibadah umrah, kaum musyrikin Quraisy berasa gentar apabila melihat kekuatan yang dimiliki kaum Muslimin.

Rasulullah tinggal di Makkah selama 3 hari bersama kaum Muslimin. Baginda sendiri mengimami para sahabat sebanyak lima kali solat fardhu secara berjemaah, ditambah dengan Bilal yang mengumandangkan azan di atas Ka’bah, secara tidak langsung menimbulkan rasa marah dalam kalangan kaum Quraisy, namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana mematuhi perjanjian Hudaibiyah.

Rasulullah tidak melupakan para sahabat yang menjaga persenjataan, lalu Baginda meminta para sahabat yang sudah berumrah untuk menggantikan tugas mereka yang menjaga senjata itu. Baginda mengetahui hakikat kerinduan jiwa kaum Muslimin terhadap Baitul Haram apatah lagi kaum Muhajirin itu sendiri kerana Makkah itulah tempat asal mereka.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)