,

Amr Bin Al-Ash Masuk Islam

Sebelum memeluk Islam, Amr bin Al-Ash begitu kuat menentang Islam. Pernah dia mencadangkan agar kaum Quraisy memberi hadiah kepada raja Najasyi supaya raja Najasyi bermusuhan dengan Rasulullah dan Islam.

Ketika berada di kawasan raja Najasyi, kebetulan ada sahabat Nabi iaitu Amr bin Umayyah Adh-Dhamari yang baru saja selesai ketemu raja Najasyi. Amr bin Al-Ash bercadang untuk membunuh Amr bin Umayyah supaya kelak kaum Quraisy mengatakan bahawa dia melakukan tindakan berani kerana telah membunuh utusan kepada Nabi Muhammad.

Amr bin Al-Ash pun bertemu dengan raja Najasyi dan memberi hadiah-hadiah mahal mewakili kaum Quraisy. Ketika Amr bin Al-Ash meminta supaya raja Najasyi menyerahkan Amr bin Umayyah untuk dibunuhnya, maka raja Najasyi marah dan memukulnya. Setelah berlaku perbualan antara raja Najasyi dan Amr bin Al-Ash, dia mengambil keputusan untuk masuk Islam tetapi memilih untuk merahsiakan keislamannya.

Setelah ketemu Khalid bin Al-Walid yang terbuka hatinya untuk menerima Islam, Amr bin Al-Ash bertanya: “Wahai Abu Sulaiman, kamu mahu ke mana?” Dia menjawab: “Demi Allah, jalan itu telah jelas, orang itu benar-benar nabi, demi Allah aku akan pergi kemudian masuk Islam, sampai bila lagi?”

Kata Amr bin Al-Ash: “Aku juga demi Allah datang dengan maksud tidak lain selain untuk masuk Islam.”

Akhirnya, mereka berdua pergi ke Madinah untuk bertemu Rasulullah. Amr bin Al-Ash berkata: “Wahai Rasulullah, aku berjanji setia kepadamu dengan syarat Allah mengampuni dosa-dosaku sebelumnya.”

Kemudian, Baginda menyatakan: “Wahai Amr, berjanjilah kerana Islam itu memutuskan dosa-dosa sebelumnya dan hijrah itu memutuskan dosa-dosa sebelumnya.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)