,

Kenapa Perlu Makan Buah Tin

At-Tin, Buah Syurga (bahagian 3-akhir)

Buah tin rendah sodium tidak mengandungi garam, lemak dan kolesterol. Namun, mengandungi kalium yang tinggi, kalsium, serat dan zat besi. Malah, kaya dengan benzaldehida iaitu senyawa anti-kanser, betakarotin dan beberapa vitamin penting seperti vitamin A, B, dan C.

Pemakanan buah tin secara harian, menjadi ubat yang sangat efektif untuk terapi penyembuhan buasir. Enzim yang terdapat di dalamnya memperelokkan proses percernaan. Sangat kaya dengan phenol dan benzaldehid semulajadi sebagai zat anti-tumor dan dapat membunuh mikro-organisme patogen, dan virus dalam tubuh manusia. 

Bagi pengidap asma dan kerap batuk, buah tin sangat berguna untuk saluran pernafasan. Buah ini bertindak menormalkan sistem pernafasan dengan lebih baik.

Bagi bisul biasa dan bisul bernanah juga boleh hilang dengan menggunakan buah tin yang telah dipanggang. Malah, buah tin bertindak sebagai pembersih kulit yang baik dan dapat menghilangkan jerawat di muka.

Caranya, makan secara rutin buah ini, atau tumbuk buah tin segar dan oleskan pada wajah, biarkan selama 10 hingga 15 minit. Terapi ini dilakukan kerana, buah Tin mengandungi beberapa mineral alkali yang bermanfaat untuk membantu mengatur keseimbangan pH tubuh dan ini baik untuk kesihatan kulit.

Zat-zat yang terdapat dalam buah tin adalah zat-zat pembersih yang boleh dipakai untuk mengubati luka luar dengan cara melumurkannya pada tempat terkena luka.

Sehubungan dengan itu terdapat berbagai khasiat buah tin, menurut Dr. Oliver Alabaster, pengarah institut pencegahan penyakit di George Washington University Medical Centre, seseorang yang mengambil buah tin telah mengambil makanan yang menjamin kesihatan diri dalam jangka masa panjang.

Maka tidak hairanlah, buah tin disebut oleh pakar-pakar pemakanan pada masa ini sebagai makanan nutraseutikal (functional food). Ia bukan hanya mengandungi zat-zat yang berkhasiat tetapi lebih daripada itu.

Malah, bermanfaat sebagai penjaga tubuh dan mampu mencegah serangan penyakit-penyakit tertentu. Lembaga penasihat buah tin di California juga telah mengatakan buah tin atau ara sebagai nature’s most nearly perfect fruit, iaitu buah yang hampir mencapai tahap kesempurnaan secara keseluruhan.

Maha Suci Allah yang telah menciptakan buah Tin, dimana terbukti secara ilmiahia mengandungi manfaat yang sangat luar biasa.  

Akhir kata, kami sertakan ayat al-Quran Surah Ali-Imran ayat 191 sebagai renungan bahawa Allah tidak akan menciptakan sesuatu di alam semesta ini dengan sia-sia. “Wahai Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, maha suci engkau, maka peliharalah kami dari seksa api neraka”.

Hadis tentang anjuran memakan buah Tin, iaitu buah syurga: Dikisahkan Rasulullah diberi buah tin dan memakannya. Kemudian Rasulullah bersabda, “Jika engkau berkata ada buah yang diturunkan dari syurga, maka aku boleh katakan, inilah buahnya, kerana sesungguhnya buah syurga tidak mempunyai biji. Oleh kerana itu makanlah, buah tin kerana ia dapat menyembuhkan buasir” (Hadis Riwayat Abu Darda RA).

Setiap yang diciptakan Allah itu ada kebaikan, manfaat, pengajaran dan sebagainya yang kita boleh jadikan ia sebagai perjalanan hidup.

Bahkan, semuanya telah Allah Taala nyatakan di dalam kitabnya al-Quran mengenai banyak hal. Ia sebagai ikhtibar dan pengajaran untuk diamalkan di dalam kehidupan. Sebagaimana buah tin, yang pada luarannya adalah biasa tetapi mempunyai khasiat yang sangat baik sehinggakan Allah Taala memberi nama surah at-Tin.

Bukan itu sahaja, ia dikuatkan dengan Hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan buah tin adalah antara penawar bagi penyakit selain madu. Oleh itu, amalan pemakanan buah tin haruslah diamalkan dalam kehidupan seharian.

RUJUKAN
1. Ensiklopedia Mukjizat Al-Quran dan Hadis (kitab asal al-I’jaz al-‘ilmi fi Quran wa al-Sunnah). Prof. Dr Hisham Thalbah. 2008. Indonesia.
2. Tafsir Al-Azhar. Prof. Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amirullah. 2007. Jilid10. Pustaka Nasional Singapura.
3. Tafsir Al-Munir (juzu ‘amma). Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaily. 2001. Persatuan Ulama Malaysia.
4. Tafsir Ibnu Kathir. Dr. ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdurahman bin Ishaq Alu Syaikh. 2008. Jilid10. Pustaka Imam asy-Syafi’i.
5. Buah Tin Sebagai Diversifikasi Ubat Diabetes Melitus. Faiz Zuhad Mushoffi. 2010. Institusi Pertanian Bogor.
6. www.pohontin.wordpress.com. 2015.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurain Afifah Bt Zakariya (nama pena: Ain Ma).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%