,

Salah Satu Buah-buahan Di Syurga

At-Tin, Buah Syurga (bahagian 1)

Tahukah anda yang buah tin adalah salah satu buah-buahan yang ada di syurga? Ia juga mempunyai khasiat yang sangat banyak?

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: Dari Sahih Al-Bukhari, Muhammad s.a.w bersabda: “Kalau aku katakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia (buah Tin). Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu, makanlah buah ini. Sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya”. (Hadis riwayat Abu Darba Suyuti).

At-Tin adalah sebuah pohon yang berasal dari tanah Arab. Ia menjadi kebanggaan bangsa Arab kerana diberkati. Malah, ia pohon tertua di dunia dalam sejarah peradaban kemanusiaan.

Pada  musim kemarau, buah tin dijadikan sebagai menu makanan yang lazat dan sedap. Pada musim hujan pula, ia dijadikan sebagai makanan kering.

Orang-orang Tunisia, Paraoh (Mesir Kuno) dan Yunani menjadikan buah tin sebagai makanan dan ubat-ubatan. Buah tin sebenarnya berasal dari hujung Selatan Jazirah Arab.

Kemudian, buah ini tersebar ke Asia kecil iaitu Anatolia, Turki, dan Afghanistan. Manakala, di Eropah melalui orang-orang Tunisia, Yunani dan Timur pula melalui Syria sehingga India.

Allah s.w.t menggunakan pohon tin sebagai kata sumpah dalam Kitab-Nya yang membicarakan tentang hal-hal yang luar biasa melalui surah At-Tin. Sumpah-Nya itu merupakan bukti yang nyata akan kepentingan pohon tin.

Ia menjadi isyarat penting bahawa memiliki banyak manfaat dan khasiat di dalamnya. Pohon tin dapat menghasilkan banyak buah. Buah-buahan tersebut memiliki keistimewaan dengan kandungan vitamin yang sangat banyak. Buah ini juga memiliki rasa yang lazat dan aroma yang harum.

Sungguh Allah s.w.t telah menyediakan semua keperluan ke atas pokok yang diperlukan oleh manusia daripada buah ini. Di mana, ia memiliki vitamin yang lengkap untuk kesihatan manusia. Buah tin juga banyak diolah menjadi makanan ringan atau dikeringkan terutamanya pada bulan Ramadhan.

 Buah tin tidak mengandungi garam, lemak dan kolesterol tetapi mengandungi kalium, serat dan zat besi yang lebih tinggi. Hasil penelitian dalam 100 gram buah tin, mengandungi 20% daripada kebutuhan zat serat harian tubuh badan manusia. Dari jumlah tersebut, lebih 28% adalah jenis serat terlarut.

Sebagaimana firman Allah Taala: “Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan) mu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-NYA zahir dan batin. Dan diantara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.” (Surah Luqman: 20)

Penelitian melalui kajian yang dijalankan, menunjukkan buah tin ini, terlalu banyak khasiat dan manfaatnya kepada manusia. Daun pohon tin yang hijau sebelum gugur, dapat dijadikan sebagai makanan ternak dengan cara mencampurkannya dengan buah-buahan yang segar atau kering.

Dalam penelitian ini juga telah ditemui, bahawa 100 kg campuran buah-buahan lain dengan campuran daun tin. Ia setara dengan 186 kg jerami gandum atau setara 110 kg jerami semanggi. Setara juga dengan 97 kg kulit padi, 89 kg jejawut, 89 kg gandum dan 50 kg biji kapas.

Buah tin ibarat Sebuah bungkusan yang terdapat ratusan bunga. Ia tersebar di atas stand bunga yang terbahagi kepada dua jenis bunga.

Pertama, bunga jantan yang terdapat pada bahagian dekat mulut bungkusan, ia berperanan secara umum dalam proses pembuahan. Kedua, bunga-bunga betina tersebar pada bahagian muncung, ia berperanan dalam memberikan makanan dan perkembangan binatang-binatang atau menproduksi buah setelah terjadi proses pembuahan.

Pohon tin jantan dan betina dapat dibezakan melalui buah pra-matang yang tumbuh dari pohon tin. Setelah itu, diklasifikasikan pohon ini kepada dua jenis iaitu jantan dan betina. Pohon jantan (caprifiguier) merupakan tempat penampungan lebah-lebah pembuah.

Buah dari pohon ini digunakan untuk membiak bagi lebah-lebah tersebut dan buahnya tidak bisa dimakan manusia. Adapun pohon betina (figuier domestique), menerima lebah-lebah yang membawa benih pembuahan pada bunga-bunga buah tin betina. Ia menghasilkan buah Tin yang matang dan enak di makan.

Tin dan lebah khusus untuk proses penghasilan pembuahan. Lebah (blastophaga psenes) dari keluarga (agonidae) memainkan peranan sangat penting dalam proses pembuahan tin (ficus carica). Buah tin jenis ini, tidak dapat berbuah kecuali melalui lebah. Namun, lebah jenis ini, tidak boleh melahirkan dan membiak kecuali melalui buah tin.

RUJUKAN
1. Ensiklopedia Mukjizat Al-Quran dan Hadis (kitab asal al-I’jaz al-‘ilmi fi Quran wa al-Sunnah). Prof. Dr Hisham Thalbah. 2008. Indonesia.
2. Tafsir Al-Azhar. Prof. Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amirullah. 2007. Jilid10. Pustaka Nasional Singapura.
3. Tafsir Al-Munir (juzu ‘amma). Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaily. 2001. Persatuan Ulama Malaysia.
4. Tafsir Ibnu Kathir. Dr. ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdurahman bin Ishaq Alu Syaikh. 2008. Jilid10. Pustaka Imam asy-Syafi’i.
5. Buah Tin Sebagai Diversifikasi Ubat Diabetes Melitus. Faiz Zuhad Mushoffi. 2010. Institusi Pertanian Bogor.
6. www.pohontin.wordpress.com. 2015.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurain Afifah Bt Zakariya (nama pena: Ain Ma).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.