Mahabbah bermaksud pengorbanan, perjuangan, takwa, keadilan, kejujuran, amanah dan bertanggungjawab. Mahabbah ada dalam jiwa setiap manusia, tidak kira orang itu Muslim, bukan Muslim, baik atau jahat sekali pun.
Mahabbah meliputi manusia sesama manusia, manusia dengan makhluk lain dan manusia terhadap Allah SWT Pencipta seluruh alam.
Mahabbah boleh berlaku melalui beberapa cara iaitu ucapan, percakapan, hati, niat dan perbuatan.
Mahabbah berpandukan niat yang baik, ucapan zikir kepada Allah SWT diikuti dengan perbuatan baik akan mendapat reda daripada Allah SWT.
Kasih sayang sesama manusia akan membuahkan mahabbah yang boleh memandu dan membimbing mereka ke arah kebahagiaan dunia serta akhirat.
Namun, mahabbah yang lahir daripada kasih sayang terhadap seseorang disanjung sebagai idola tidaklah memberi apa-apa erti untuk perjalanan ke akhirat kelak.
Sebagai seorang Muslim, apa sahaja perbuatan, aktiviti atau amalan dalam kehidupan seharian haruslah mendapat keredaan di dunia dan akhirat.
Adalah mustahil wujudnya akhirat tanpa kehidupan dunia terlebih dahulu dan tidak bererti kehidupan dunia sekiranya tidak mengambil kira kehidupan di akhirat nanti.
Untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT, kita hendaklah sentiasa berusaha melaksana serta mematuhi perintah-Nya, di samping menyanjungi Rasulullah SAW.
Umpamanya seperti bagaimana seorang anak mendapat kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa, iaitu dengan cara menuruti perintah, mendengar nasihat, tidak melakukan perkara yang boleh membuatkan ibu bapa marah dan bersedih.
Begitulah juga halnya dengan Allah SWT, lebih lagi kita perlu melakukan perkara yang diperintahkan dan menjauhi perkara dilarang. Untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT, dianjurkan supaya kita melakukan amalan sunat.
Dalam hadis qudsi, “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepada-Ku, dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya.” (Riwayat Bukhari)
Melakukan amalan sunat tetapi tidak melakukan perintah yang diwajibkan dan meninggalkan larangan Allah SWT terlebih dahulu, tidak mungkin akan mendapat mahabbah daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Tidak ada satu amalan atau perbuatan yang afdhal melainkan melaksanakan perkara diwajibkan dulu.
Firman Allah SWT dalam hadis qudsi:
“Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya.” (Riwayat Bukhari)
Setelah amalan wajib dilakukan, barulah boleh diikuti dengan amalan sunat secara istiqamah. Seseorang yang sentiasa melakukan ibadah sunat akan dikasihi oleh Allah SWT. Dengan kasih sayang Allah, apa sahaja perkara yang didengar, dilihat atau dilakukan adalah kerana Allah SWT.
Apabila kita mendapat mahabbah daripada Allah SWT, maka Allah SWT akan memberitahu kepada malaikat Jibril untuk mengasihi kita seperti mana dijelaskan dalam hadis,
“Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah SWT menyeru Jibril dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si fulan maka hendaklah engkau mengasihinya. Jibril pun mengasihinya, kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si fulan maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya. Dengan itu penduduk langit pun mengasihinya, setelah itu orang yang itu dikasihi dan diberi sambutan di bumi.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun, untuk mendapat mahabbah daripada Allah SWT, perlu dipastikan terlebih dahulu siapakah golongan yang mengasihi kita.
Sekiranya mereka adalah terdiri daripada orang fasik dan melalaikan, sudah pasti tidak akan membawa kita kepada mahabbah Allah SWT.
Sekiranya kita dikasihi oleh golongan yang bertakwa, ulama, mereka yang sentiasa membuat kebaikan, dan mendekatkan diri dengan Allah SWT, maka kita juga akan mendapat mahabbah daripada Allah SWT.
Mahabbah sebagai permata yang sangat berharga, dan sudah pasti kita tidak sekali-kali akan meletakkan permata dimiliki pada tempat tidak sepatutnya atau mengorbankannya pada perkara yang sia-sia.
Contohnya, meletakkan mahabbah kepada benda yang disayangi seperti kereta, perhiasan, rumah dan sebagainya yang dibimbangi boleh menghalang kita daripada melakukan kewajipan, malah membawa pula kita kepada kemungkaran.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.