,

Kenapa Allah Selalu Uji Aku, Bukan Orang Lain

Kita sudah berada di bulan Rejab dan semakin hampir dengan bulan paling mulia iaitu bulan Ramadhan.

Kita hanya semakin hampir, namun adakah Allah SWT masih memberi peluang untuk kita sampai ke Ramadhan tersebut?

Kekadang hati ini gopoh memikirkannya, tapi hanya terus memikir tanpa ada sebarang tindakan.

Perjalanan hidup kita di muka bumi bukanlah terlalu panjang atau sangat panjang untuk kita terus leka.

Setiap saat, umur kita meningkat dan bukan untuk dibanggakan. Sepertiga malam kita entah ke mana kita sia-siakan.

Doa kita berapa kali air mata keinsafan keluar dari dalam diri?

Hanya tinggal persoalan tanpa jawapan. Kita masih meneruskan perjalanan ini tanpa tujuan yang pasti.

Kita kadang tersedar dari lamunan kelalaian yang panjang, kita kembali berada pada tahap iman yang baik tapi selepas itu kembali merudum imannya entah ke mana.

Yang pasti kita masih terus bergerak di bumi Allah SWT ini.

Saat hati mula resah, kita kembali bersujud. Sepertiga malam kita bangun, solat tahajud dan solat hajat ditunaikan.

Kemudian, Allah SWT hilangkan rasa resah dalam diri.

Apabila timbul kesenangan, kita kembali lupa akan sujud sepertiga malam untuk-Nya. Nama pun INSAN, jadi Allah SWT Maha Tahu kita sering alpa dan leka.

Tapi Allah SWT Maha Penyayang, DIA tidak marah atau murka. Kita masih terus melangkah di bumi Allah SWT tanpa sebarang masalah.

Sekali-sekala, Allah SWT timpakan ujian, kita salahkan Allah SWT kenapa uji kita, tidak orang lain???

Menjadi persoalan yang sentiasa ada dalam benak hati. Sungguh, kita ini hamba-Nya yang tidak bersyukur.

Berapa lama tempoh sihat kita daripada sakit kita? Berapa banyak nikmat-Nya yang kita kecapi sebelum musibah ditimpakan?

Kita terus, terus dan terus menyalahkan takdir. Ujian apakah ini, Ya Allah???

Hati membentakkan. Kekadang marah kita hingga hati rasa buat apa kita solat… sujud mengabdikan diri setiap hari terasa tiada gunanya kalau Allah SWT tidak sayang.

Subhanallah… kembalilah pada Allah SWT, yakinlah Allah tidak menguji hamba-Nya di dalam ruang lingkup yang hamba-Nya tidak mampu untuk hadapi.

Buka mata hati ini untuk pandang dengan lebih jelas ke liang zarah yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Kemudian, Allah SWT hadirkan di sekeliling dengan peristiwa, seseorang atau apa saja untuk tegur kita tanpa kita sedar mahupun tidak.

Kita terjaga semula daripada tidur dan mengetahui Allah SWT Maha Penyayang, ujian-Nya tanda cinta.

Sungguh warna-warni dunia ini. Sulaman dan anyaman penuh berliku supaya kehidupan kita semakin kuat untuk kita harungi mengikut peringkat usia kehidupan kita.

Teruslah bermuhasabah dalam menempuh kehidupan ini.

Coretan hati buat insan-insan yang mengerti. Semoga kita sentiasa dalam Rahmat Allah SWT.

“Ya Allah, hamba-Mu ini sangat lemah saat diuji, jadikan kuatkan hati ini untuk menghadapinya. Ya Allah, hamba-Mu ini sangat alpa dengan kehidupan dunia, jadi sedarkanlah. Ya Allah, hamba-Mu ini yakin tiada tempat lain yang boleh mengadu, jadi dengarkanlah luahan hati ini.”

Aamiin… aamiin… aamiin Ya Rabbal’alamiin.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Zafirah binti Ismail. Berasal dari Kuala Ketil, Kedah. Hobi beliau ialah menulis.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.