,

Jika Ini Suratannya, Demi Allah Dan Kerana Allah, Aku Ikhlas

“Awak.. Saya sukakan awak!”

Malam ini, bulan tidak kelihatan. Terlindung di balik awan barangkali. Bintang-bintang yang selama ini setia menghiasi langit malam jua tidak sudi memunculkan diri. Kelamnya malam, sunyi dan sepi. Seakan-akan mengerti gundah yang menghuni hati.

Ya Rabb. Di sini ada satu jiwa yang sedang gundah. Di sini ada satu luka yang mula bernanah. Baru sahaja ingin kering lukanya sudah berdarah kembali.

Pandangan dilemparkan jauh tenggelam dalam kepekatan malam. Kotak memori yang selama ini rapat terkunci terbuka kembali. Satu persatu kisah silamnya seolah ditayang di hadapan mata persis di layar perak.

******

“Awak!! Saya cintakan awak. Saya setia dengan awak selama ini. Kenapa awak sanggup curang dengan saya? Apa salah saya. Kenapa awak ingin musnahkan istana cinta yang telah kita ciptakan bersama. Lupakah awak dengan semua janji-janji awak pada saya?!” Soal Adawiyah bersama tangis yang semakin menggila.

“Aku dah tak cintakan kau. Aku dah jumpa yang lebih baik. Cukuplah setakat ini sahaja hubungan kita!” Lelaki itu pun melangkah pergi meninggalkan Adawiyah sendirian. Gadis yang selama ini dia cinta, namun kini tiada sedikit pun ruang untuk gadis itu menghuni hatinya.

Mudahkan cinta manusia. Waktu sayang masih mekar mewangi, segala apa pun rela dipersembahkan. ‘Demi cintaku aku akan berkorban’. Sumpah yang persis sampah. Dulu semua tentang cinta hanya yang indah-indah sahaja.

Namun bila hati berubah dan cinta dulunya mekar kini layu membusuk. Janji yang ditabur hanya tinggal ikrar tanpa makna. Kadangkala ragu-ragu.

Apa cinta itu definisinya luka, sedih dan kecewa. Atau sikap manusialah yang telah merubah ertinya?

******

‘Lompat… terjun ke bawah dan tamatkan segalanya. Tak guna kau hidup lagi. Dunia ini hanya derita. Selepas ini, kau takkan rasa sakit lagi. Semuanya akan berakhir..’

Halus suara itu berbisik. Hati mengiakan namun akal menafikan. Ada perselisihan di situ. Peperangan antara hati dan akal.

Harusnya akal diletakkan di tingkatan kedua selepas iman. Hati pula, di tingkatan bawahnya, kerana sifat hati yang berbolak-balik menjadikan hujah dari hati banyak canggahannya. Namun, bila nafsu yang menjadi ketua. Segalanya punah. Kerana nafsu itu sekutunya syaitan.

Adawiyah melihat ke bawah. Dia berasa gayat berdiri di bangunan yang setinggi 9 tingkat itu. ‘Kalau aku terjun, badan aku pasti hancur. Aku akan mati. Mati tu sakit ke?‘ Dia bermonolog sendiri.

Bicara tentang mati. Katanya mati itu sakitnya umpama 1000 tusukan pedang yang menikam. Ada pula yang mengatakan mati itu ngilu dan memeritkan, seperti daging yang disiat-siat. Itu mati yang biasa-biasa. Mati kerana ajal yang telah tiba. Tapi kalau mati kerana bunuh diri. Wallahu’alam.

” Satu… dua… tiga…” bibirnya mengira. Tersedu-sedan. Dalam berani ada takutnya. Adawiyah nekad. Melompat terjun ke bawah.

Satu tangan mencapai tangannya. Adawiyah celikkan pandangan mata melihat ke atas. ‘Gadis itu sudah gilakah?’

“Awak! Pegang tangan saya kuat-kuat. Saya cuba tarik awak ke atas.” Jerit gadis itu. Mujurlah perempuan yang dipegangnya ini kecil sahaja tubuhnya. Jadi tidaklah terlalu berat untuk dia menarik ke atas.

Dengan sekuat tenaga wanita yang dia punya. Dia menarik tubuh itu sekuat hatinya. Alhamdulillah dia berjaya. Adawiyah dipeluknya erat.

“Kenapa! Kenapa kau selamatkan aku, aku tak mahu hidup lagi!” Teresak Adawiyah dalam pelukannya.

“Istighfar sayang. Istighfar.” Bisik gadis itu. Cuba menenangkan Adawiyah.

******

Suasana sepi antara keduanya.

Tajam pandangan gadis itu padanya. Adawiyah jadi tidak selesa.

“Kenapa awak nak bunuh diri? Kenapa?”

Adawiyah senyap.

“Kalau awak ada masalah. Bukan ini jalannya. Awak tak fikirkan ke? Keluarga awak, kawan-kawan awak. Semua yang sayangkan awak,” soal gadis itu lagi.

“Siapa yang akan kisah pada aku? Keluarga? Ibu bapa aku pun tak pernah peduli pasal aku! Walaupun aku ni satu-satunya anak mereka. Mereka lebih pilih duit daripada aku! Kawan? Aku tak ada kawan. Semuanya tak guna. Kekasih, yang dulunya ada pun dah pergi tinggalkan aku. Apa yang tinggal untuk aku lagi? Siapa yang sayang aku lagi!” Bentak Adawiyah.

“Allah… Allah ada. Rasulullah ada. Yang sentiasa mencintai kau tanpa syarat,” bicara gadis itu.

Adawiyah masih tidak puas hati dengan jawapan yang diterima.

“Jika Tuhan sayang, kenapa Dia perlakukan aku begini? Kenapa dia ambil semua yang aku punya? Beritahu aku kenapa?” Soalnya sinis.

Gadis itu diam.

“Kau tak punya jawapan bukan. Bicara tentang Tuhan. Jika Tuhan itu ada untuk aku. Kenapa dia seksa aku sebegini!?” Bentak Adawiyah lagi.

“Astaghfirullahal’azim. Jangan salahkan Tuhan, kerana yang salah itu kita sendiri. Kerana kita yang buta. Punya mata tapi tidak melihat. Punya telinga namun tidak mendengar. Punya hati namun tidak cuba memahami. Semuanya salah kita.”

Adwiyah pula diam.

“Lihat sekeliling kita. Udara yang kita bernafas dengannya, siapakah yang meminjamkan?” Soal gadis itu.

“Jantung yang berdegup setiap detik ini, siapakah yang menggerakkan? Cinta, sayang dan perasaan yang kita rasai ini, siapakah yang menghadirkannya? Nyawa yang kita pinjam untuk terus hidup ini? Siapakah yang memberi?”

“Siapa? Semuanya daripada Allah, milik Allah. Betapa kita ini tidak punya apa-apa. Semuanya milik Dia. Dan butanya kita untuk melihat hadirnya Dia di setiap masa dan ketika, di setiap perkara dan di setiap makhluk ciptaanNya. Kita yang salah kerana terlalu alpa. Allah sentiasa ada, cuma kita yang tidak merasai adanya Dia.”

Adawiyah bungkam. Kehabisan hujah barangkali.

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat), Al-Mulk ayat dua,” bicaranya lagi. Dibacakan terjemahan ayat surah Al-Mulk yang dihafalnya.

“Ayat ini punya jawapan untuk soalan yang awak tanyakan tadi. Allah tidak kejam. Hidup dan mati itu ada sebagai ujian. Ada syurga dan neraka sebagai balasan. Dan terpulanglah pada kita untuk membuat pilihan,” tamat bicaranya di situ.

Sejak peristiwa pahit itu. Adawiyah tinggal bersama Qaseh, gadis yang menyelamatkannya malam itu.

Walaupun pada mulanya mendapat tentangan ibu dan bapa Adawiyah kerana risaukannya, namun dia berjaya yakinkan orang tuanya untuk memberi keizinan, dengan syarat setiap hujung minggu Adawiyah harus tetap pulang ke rumah. Aduhai ayah dan bonda, risau sungguh pada puterinya yang satu itu.

Ibu bapa manalah yang tidak sayang pada anak mereka? Mungkin zahirnya mereka dilihat mengabaikan anak-anak atas alasan sibuk mencari rezeki. Namun, jika difikirkan kembali, harta yang dicari bukankah untuk kesenangan anak-anak juga.

Cuma, dalam mencipta sebuah keluarga yang mawaddah, kasih sayang itu harus menjadi yang terutama. Seharusnya, ibu dan bapa perlu memastikan kesibukan mereka tidak sampai mengabaikan anak-anak.

Tinggal bersama Qaseh umpama satu peluang bagi Adawiyah untuk berhijrah. Dari situ dia berubah daripada jahiliah kepada solehah.

Bila Allah sudah menyalakan pelita hidayah, siapa sahaja yang mampu memadamkannya?

Bila Allah berkehendak pada hamba-Nya, siapa yang mampu menghalang langkahnya daripada mengecapi syurga?

Kun faya kun. Jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. Walau mustahil pada pandangan mata kita, namun tiada yang mustahil pada kekuasaan Yang Maha Pencipta. Sungguh, jika bersama Allah, kita takkan mungkin dikalahkan.

“Awak tahu siapa Rabiatul Adawiyah?” Soal Qaseh secara tiba-tiba.

“Rabiatul Adawiyah itu akulah,” jawab Adawiyah selamba.

“Hahaha, betul. Tapi, suatu ketika dahulu pernah hidup seorang wali wanita yang sangat zuhud. Dia mengabdikan segenap jiwa dan raganya untuk mencintai Allah, dan pastinya dia juga dicintai Allah. Wanita hebat itu namanya seperti awak. Rabiatul Adawiyah, bunga dambaan syurga.”

Adawiyah terpana. Benarkah? Ternyata namanya milik seorang wanita sehebat itu. Tiba-tiba dia jadi malu memiliki nama Rabiatul Adawiyah. Layakkah dia?

“Ada satu cebisan puisi Rabiatul Adawiyah yang sangat terkesan di hati saya…” sambung Qaseh lagi.

“Tuhan, aku mencintai-Mu dengan dua cinta, cinta kerana diriku dan cinta kerana diri-Mu. Cinta kerana diriku yang sentiasa mengingati-Mu. Dan cinta kerana diri-Mu sehingga terangkatnya tadbir dan Engkau kulihat..”

‘Ya Allah, jadikan aku sepertinya. Jadikan aku persis seperti Rabiatul Adawiyah,’ monolog hati Adawiyah.

******

Rintik-rintik hujan mulai turun membasahi bumi. Limpahan rahmat Allah mula menebar di segenap alam. Hujan itu rahmat bukan.

Adawiyah tersedar daripada lamunannya. Ada butir-butiran jernih yang bergenang di pelupuk matanya. Barangkali kerana rasa rindu pada kenangan lalu.

Hati yang gundah sedikit tenang melihat titisan hujan yang jatuh dari langit. Persis mutiara jernih yang berkilauan dek lampu yang memancar, jatuh bertebaran di muka bumi. Cantik, subhanallah. Ciptaan Allah itu tiada cacat celanya. Semuanya sempurna.

Adawiyah nekad. Esok dia harus selesaikan hal yang mengganggu jiwa dan pemikirannya dari tadi. Ya, esok semuanya akan berakhir.

******

Lelaki itu gugup. Jantungnya berdegup laju seperti mahu pecah. Bibirnya kelu. Namun dalam kepayahan dia cuba mengatakan sesuatu. Ini cubaan kali kedua setelah hari itu, yang di mana pengakuannya dibiarkan sepi tanpa jawapan.

Dia beranikan diri menatap gadis di hadapannya. Gadis yang membuat hidupnya berantakan selama beberapa lamanya. Gadis ayu ini telah mencuri hatinya.

Awak… saya suka awak!” Dengan sekali lafaz dia menuturkan. Perlahan namun cukup jelas didengari. Ada getaran pada suaranya.

Adawiyah diam lama. Dia menghela nafas. Haruskah dia terima atau menolak. Kenangan silamnya menjadikan dia trauma untuk menerima mana-mana lelaki. Namun jujurnya dia juga punya perasaan pada lelaki ini. Tapi, dia keliru. Mungkinkah pengakuan ini hanya permainan si dia. Ya Allah, bantulah.

“Maaf. Sudah ada yang menghuni hati saya. Dia yang saya cintai sepenuh jiwa dan raga. Dia yang turut mencintai saya tanpa syarat. Hanya Dia… selamanya,” tutur Adawiyah. Berat kata-kata itu diluahkan. Aneh, hatinya seakan tidak rela. Tapi biarlah, dia nekad. Pasti ini yang terbaik.

Lelaki itu diam. Berfikir-fikir sesuatu. Aneh jawapan gadis ini. Sepertinya ada yang tidak kena pada jawapan itu. Lelaki ini tersenyum. Dia sepertinya dapat meneka sesuatu.

“Dia yang menghuni hati awak juga turut menghuni hati saya. Dia yang awak maksudkan Allah bukan. Allah yang berada di hati awak turut berada di tingkatan yang pertama dalam hati ini. Dan saya menyukai awak juga, kerana Dia. Saya yakin, wallahi,” jawab lelaki ini. Bicara yang kedengarannya tulus dari hati.

Adawiyah terpana. Tidak menyangka lelaki ini tahu siapa yang dia maksudkan. Allah!

“Beginilah, jika awak setuju. Saya akan hantarkan rombongan meminang ke rumah awak. Mungkin saya agak tidak sopan bertemu awak sebegini. Namun, cinta saya bukan mainan. Saya akan buktikan cinta ini tulus kerana Allah dengan menjadikan awak yang halal buat saya,” lancar lelaki ini bicara.

Dia yakin gadis ini jawapan istikharahnya. Yang petunjuknya tidak datang dari mimpi, namun dari keyakinan hati. Hati itu bukankah Allah yang memegangnya.

Adawiyah tersipu malu. Ya Allah inikah jalan takdir yang telah Engkau tuliskan. Jika Allah sudah berkehendak. Siapakah aku untuk menidakkan. Hati ini rasa tenang. Tenang dengan bicara si dia yang meyakinkan. Moga ini yang terbaik. Bismillah.

Jumpalah ibu bapa saya nanti…” bicara Adawiyah. Cukuplah sebaris ayat ini menjawab segala persoalan yang diajukan lelaki ini. Biarlah sebaris ayat ini menjadi satu kata yang menggambarkan seluruh rasa hatinya.

Lelaki itu tersenyum lebar mendengar jawapan Adawiyah. Alhamdulillah.

Adawiyah membalas senyumannya. Manis.

‘Jika ini suratannya, demi Allah dan kerana Allah, aku ikhlas.’

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang melanjutkan pelajaran di UPSI.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.