Manusia seringkali terlupa bahawasanya kehidupan yang dikurniakan kepada mereka ini hanya sekali. Tidak dua kali. Dan tidak tiga kali.
Tetapi gaya mereka hidup seolah-olah mereka memiliki nyawa yang banyak. Sekalipun mereka tidak berfikir nyawa mereka itu banyak, tetapi mereka selalu menyedapkan hati dengan menyatakan “Aku memiliki masa yang banyak untuk hidup”.
Orang yang bijak dan orang yang tahu hakikat kehidupan ini tidak akan berfikir sebegitu rupa dan dengan sebab itu mereka akan mengunakan setiap detik yang dikurniakan dengan sebaik mungkin.
Benjamin Disraeli menyatakan “Kehidupan ini terlalu singkat untuk disia-siakan”. Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran:
“Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab: “Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyalah kepada orang yang menghitung.” Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu mengetahui.” (Al-Mukminun, ayat 112-114)
Kehidupan Ini Bukan Untuk Ditangisi
Sebahagian manusia yang tidak tahu akan matlamat mereka itu diciptakan, kita dapat melihat kehidupan mereka itu sangat sempit.
Kerapkali mereka bersedih dengan kehidupan mereka walhal di sekeliling mereka itu dipenuhi dengan segala kemewahan dunia.
Malang bagi mereka ini yang mana kehidupan mereka dipenuhi dengan kekecewaan dan kesedihan. Firman Allah SWT:
“Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit…” (Taha, ayat 124)
Kita melihat sebilangan orang kaya, mereka ini pada zahirnya tidak perlu risau akan makanan yang kurang sedap kerana mereka selalu menikmati makanan yang baik.
Apabila mereka bangun daripada tidur, mereka dapat menikmati minuman yang sejuk tatkala ramai orang di luar sana menikmati makanan dan minuman hanya untuk meneruskan kehidupan sahaja.
Tetapi ada juga orang seperti ini kehidupan mereka penuh dengan dukacita dan kesengsaraan.
Kata penyair Inggeris, Milton berkata: “Fungsi dan sifat akal itu boleh membuat syurga menjadi neraka dan neraka menjadi syurga”. Ya memang betul!
Apabila kita mencari kebahagiaan berpandukan persekitaran kita semata-mata, maka kita dapati kehidupan ini seperti syurga sedangkan ia neraka.
Dan apabila kita mengunakan akal dan mencari kebahagiaan itu dari dalam diri kita sendiri, maka kita dapati ia adalah syurga ketika mana orang menyatakan ia neraka.
Kata Al-Mutanabbi: “Orang yang berakal hidup susah dalam kenikmatan kerana akalnya. Sementara orang yang bodoh dalam kesulitan, dia berbahagia.”
Kenapa Kita Harus Bersedih?
Manusia yang tahu akan matlamat hidup yang sekali ini akan merasai kebahagiaan tatkala manusia lain merasai sebaliknya kerana mereka yang tahu akan matlamat hidup ini.
Tidak sama manusia yang ada GPS di dalam hutan yang luas dan orang yang tidak mempunyai GPS lalu mereka tersesat di dalam hutan.
Itulah perumpamaan orang beriman dan orang tidak beriman. Jadi kepada orang yang beriman, kenapa kita perlu bersedih, sedangkan kita ada Allah SWT sebagai tempat bergantung harap. Firman Allah swt:
“… maka Allah mengetahui apa yang ada di hati mereka lalu Dia turunkan ketenangan atas mereka…” (Al-Fath, Ayat 18)
Dalam firman Allah SWT yang lain:
“Jangan kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama Kita.” (At-Taubah, ayat 40)
Memang benar, setiap manusia itu dalam kehidupan mereka tentunya ada detik-detik kesedihan tetapi untuk kita mengenang detik-detik yang menyedihkan dan membawanya ke masa hadapan, ia merupakan musibah bagi kehidupan seseorang.
Ia merupakan tindakan yang bodoh dan gila. Sedangkan kebahagiaan yang mendatang itu merupakan sesuatu yang sangat berharga.
Sehinggakan ramai orang yang kaya jika ditanya kepada mereka adakah mereka sanggup menggadaikan segala kemewahan yang dimilikinya hanya untuk merasai kebahagiaan hidup, jawapan mereka tentunya, “Ya”.
Kata Great Napoloen di Saint Helena yang mana ketika itu beliau merupakan penakluk Eropah: “Saya tidak pernah mengenal kebahagiaan sepanjang 6 hari dalam hidupKu.”
Mahal sungguh kebahagiaan itu!
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bersedih, sesungguhnya rasa sedih itu akan selalu mengganggu kita dengan kenangan masa lalu.
Ia akan membuatkan hati kita sentiasa resah dengan segala kemungkinan di masa hadapan dan kita akan mensia-siakannya masa yang kita miliki.
Sesungguhnya rasa sedih itu akan hanya membuat hati menjadi kecut, wajah menjadi muram, semangat menjadi padam dan harapan menjadi pudar menghilang.
Mengapa kita harus bersedih? Sedangkan kesedihan itu hanya membuatkan musuh bergembira, membuatkan kawan bersedih dan membuatkan orang yang dengki berasa senang.
Penuhilah Dirimu Dengan Ilmu
Di antara perkara yang menjadikan seseorang manusia itu bahagia ialah apabila beliau menjadi orang yang berilmu.
Ia merupakan satu saranan yang bilamana manusia dalam keadaan gundah-gulana, maka terdapat suara-suara yang menyatakan, “Jumpa orang yang pakar supaya mereka dapat menolong merungkaikan pemasalahan ini” atau “Cari dan bacalah buku yang sesuai untuk masalah ini”.
Bukankah semua kenyataan itu merujuk kepada ilmu? Ilmu merupakan kalam yang menjadikan fikiran seseorang itu luas, menjadikan seseorang itu berpandangan jauh ke hadapan dan ilmu menjadikan seseorang itu mempunyai kemampuan untuk mengungkap hakikat segala sesuatu.
Tidakah kita melihat dalam banyak ayatNya menyatakan tentang kelebihan orang yang berilmu? Firman Allah SWT:
“…hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya hanyalah orang yang berilmu…” (Fatir, ayat 28)
Dalam firman Allah yang lain:
“…Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Az-Zumar, ayat 9)
Sesungguhnya orang yang berilmu mempunyai dada yang lapang, hati mereka itu merupakan hati yang tidak sempit, jiwa mereka tenang dan mempunyai wawasan yang luas bukan sahaja terhadap dirinya sahaja tetapi juga untuk masyarakat.
Mereka mempunyai jalan-jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah ketika mana manusia lain yang tidak mengetahui menemui jalan buntu.
Pengisian Untuk Kehidupan Yang Satu Ini
Saya pernah membaca satu kisah yang menceritakan seorang pesakit yang mana dikhabarkan oleh doktor tentang hayatnya yang sangat singkat.
Tetapi yang peliknya apabila berita itu diberitahu kepada pesakit itu, beliau bersiap-siap untuk menghabiskan masa yang beliau ada untuk pergi mengembara.
Sehinggakan doktor dan ahli keluarganya terpaksa menahan beliau dan disebabkan pesakit itu bersungguh-sungguh dengan hasratnya, maka keluarga dan doktor tersebut tidak mampu menghalangnya.
Beliau menghabiskan masa yang singkat itu untuk melihat keindahan dunia dan bukannya menunggu setiap saat yang memeritkan sehingga ajal menjemput pergi.
Sebab itu kita akan dapati ada dalm kalangan ulama terdahulu yang mana di saat beliau terlantar di katil dan menunggu saat kematian, tetapi mereka masih lagi membincangkan tentang ilmu dengan anak murid mereka.
Saya banyak kali menyentuh tentang hal ini, iaitu jadilah orang yang hidup “luar biasa” daripada hidup “biasa-biasa”.
Walaupun pada mulanya orang akan melihat kita ini dengan pandangan yang pelik walaupun perkara itu betul. Biarkan mereka!
Dunia memang begitu. Yang penting, semua amalan kehidupan ini kelak akan dipersembahkan di hadapan Tuhan yang mana kita selalu memohon kepadaNya, “Ya Rabb, bantulah hamba-Mu ini” dan bukannya orang lain.
Bersyukur Dengan Apa Yang Ada
Orang yang bersyukur merupakan orang yang sentiasa berbahagia di dalam kehidupan yang dikurniakan. Mereka tidak merungut dengan kekurangan yang ada dalam kehidupan mereka tetapi beranggapan mereka mempunyai kehidupan yang sempurna.
Malang bagi manusia yang dikurniakan dengan pelbagai kurniaan tetapi sentiasa merasai kurniaan itu tidak mencukupi, maka kehidupan yang sempitlah bagi mereka ini.
Jika kita menilai antara dua golongan ini, siapakah yang kaya sebenarnya?.
Terdapat satu kisah dirakamkan oleh Dr Aidh Al-Qarni dalam bukunya La Tahzan menceritakan tentang seorang pelaut yang terumbang-ambing di lautan selama 21 hari.
Ketika mana beliau terselamat dari bencana itu, dia ditanya oleh orang ramai tentang pelajaran yang terbesar yang dia pelajari daripada peristiwa itu.
Katanya: “Pelajaran terbesar yang dapat aku ambil daripada pengalaman ini adalah: jika anda masih memiliki air yang bersih dan makanan yang cukup, tidak perlu bersedih”.
Sebab itu ada seorang bijak menyatakan: “Kehidupan ini hanyalah sesuap nasi dan seteguk air. Adapun selebihnya adalah sesuatu kelebihan yang tidak terlalu diperlukan.”
Dalam kehidupan kita yang hanya sekali ini amat merugikan jika kita menghabiskan masa yang terhad itu untuk memikirkan perkara yang tak perlu.
Menyeksakan diri memikirkan sesuatu perkara yang tidak mendatangkan manfaat langsung, bahkan ia seakan-akan membunuh diri kita sendiri sedikit demi sedikit. Sungguh menyeksakan!
Apa yang kita miliki hari ini, kita syukuri dan percayalah, Allah akan jadikan kita insan yang bahagia dalam kembara hidup yang sekali ini.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq Bin Salim. Sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan, UTM Skudai, Johor.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.