Hazmah telah berjaya membunuh ramai kaum musyrikin Quraisy dalam perang Badar. Lalu, salah seorang musyrikin iaitu Jubair bin Muth’im memberitahu hambanya iaitu Wahsyi, jika Wahsyi berjaya membunuh Hamzah untuk membalas dendam terhadap kematian pak cik kepada Jubair, maka Wahsyi akan bebas daripada hamba sahaya.
Lalu, Wahsyi mengambil peluang dengan ikut berperang dalam perang Uhud. Dia memerhatikan Hamzah dari bawah batu besar, ketika ada saja peluang maka Wahsyi terus melemparkan tombak kepada Hamzah sehingga Hamzah syahid di jalan Allah.
Setelah perang Uhud berakhir, Rasulullah bertanya mengenai Hamzah dan lokasi dia dibunuh. Sampai saja di sana, Baginda melihat perut Hamzah telah dibelah dan anggota tubuhnya telah dipotong-potong oleh musyrikin Quraisy. Rasulullah menangis sehingga sesak dadanya.
Maka, Hamzah dan para sahabat lain yang syahid ditanam dalam satu liang lahad.
Bukan Rasulullah saja yang sedih dengan kematian Hamzah, malah termasuklah para perempuan Anshar sehingga mereka meratapi kematian Hamzah. Setelah itu, diharamkan ratapan terhadap orang yang telah meninggal dunia.
Peristiwa ini memberi kesan kepada Wahsyi setelah dia memeluk Islam, ketika mana Baginda tidak mahu melihat wajahnya kerana dikhuatiri kenangan peristiwa pembunuhan Hamzah itu kembali dalam fikiran Baginda semula.
Disebabkan kecintaan kepada Rasulullah, maka Wahsyi bersungguh-sungguh di dalam Islam malah telah berhasil membunuh Musailamah Al-Kazzab iaitu seorang nabi palsu. Kata Wahsyi: “Aku telah membunuh manusia yang paling baik, pemimpin para syuhada, Hamzah bin Abdul Muttalib, dan aku telah membunuh manusia yang paling jahat, Musailamah Al-Kazzab.”
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)