, ,

Adab Menguap Dan Bersin Yang Ramai Orang Tak Tahu

Bersin dan menguap mempunyai adabnya tersendiri.

Bersin adalah proses untuk membersihkan rongga terutama saluran pernafasan. Ia dapat menghalang debu, habuk dan benda asing serta beberapa penyakit.

Menguap pula terjadi kerana minimumnya oksigen dalam tubuh. Menguap adalah salah satu perkara di luar kawalan kita yang menyebabkan mulut kita terbuka luas dan menarik nafas kita sedalamnya.

Kebiasaannya, menguap ini terjadi kerana anda keletihan dan sangat mengantuk ataupun merasa bosan.

Bersin

Sunnah dan adab bersin

  • Ucap alhamdulillah

“Sekiranya salah seorang antara kamu bersin, maka ucapkanlah: “Alhamdulillah.” (Hadith riwayat al-Bukhari (6224) & Abu Daud (5033))

  • Tutup mulut dan perlahan suara

“Apabila Rasulullah SAW bersin, Baginda meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya sambil memperlahankan suaranya.” (Hadith riwayat Abu Dawud)

  • Doakanlah saudara kita

“Sekiranya salah seorang antara kamu bersin, maka ucapkanlah: “Alhamdulillah” (Segala puji hanya bagi Allah) dan bagi mereka yang mendengarnya (hamdalah tersebut), maka ucapkanlah: “Yarhamukallah” (Semoga Allah merahmatimu). Tetapi jikalau dia tidak menyebut alhamdulillah, maka usahlah kamu mendoakannya (ucap Yarhamukallah)).” (Hadith riwayat Muslim)

 

Menguap

Menguap dibenci Allah kerana ia daripada syaitan. Dan hanya terjadi apabila kita kekenyangan, bosan, malas dan sebagainya.

Sunnah dan adab menguap

  • Tutup mulut

“Jika ada di antara kamu menguap, hendaklah ia menutup mulutnya dengan tangan, sebab syaitan akan masuk (jika tidak ditutup).” (Hadith riwayat Muslim)

  • Tidak bunyi suara

“Apabila ada antara kamu yang menguap, tahanlah dengan sedaya upaya mungkin kerana apabila seseorang menguap sambil berbunyi, ‘hah!’ maka syaitan akan mentertawakannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari)

Hukum bersin ketika solat

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa bagi seseorang yang sedang solat, kemudian terbersin maka disunatkan untuk mengucapkan hamdalah dan ucapan tersebut hanya didengari oleh dirinya sendiri dan itulah mazhab Syafi’e.

Adapun untuk mengucapkan tashmit (Yarhamukallah) di dalam solat, maka ianya tidak dibenarkan dan boleh membatalkan solat.

Rujukan: IRSYAD AL-FATWA KE-169

Hukum menguap ketika solat

“Apabila salah seorang daripada kalian menguap dalam solatnya, hendaklah dia berusaha menahan menguap dia itu seboleh yang mungkin kerana syaitan akan masuk (mulut yang terbuka).” (Hadith riwayat Muslim daripada Abu Sa’id)

Menguap boleh menyebabkan solat kita tidak sah. Misalnya ketika kita membaca rukun qauli dalam keadaan menguap.

Hendaklah ketika menguap berhentikan dulu bacaan, sunat menutup mulut dengan belakang tapak tangan kiri dan meneruskan bacaan.

Moga perkongsian ini berguna, dan jika ada sebarang penambahan atau pembetulan, sangat dialu-alukan. Betulkan biasa, biasakan yang betul. Terima kasih.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.