, ,

Menjadi Rasul Terakhir

Wahyu pertama yang diterima di Gua Hira’ menandakan Nabi Muhammad SAW secara rasminya telah dilantik sebagai rasul akhir zaman.

Namun, begitu Baginda masih lagi tertanya-tanya dengan apa yang dilaluinya di gua tersebut.

Tanpa membuang masa, Saidatina Khadijah RA terus membawa suaminya itu menemui sepupunya bernama Waraqah bin Naufal

Beliau seorang penganut agama Nasrani yang pandai membaca tulisan Arab dan Ibrani. 

Walaubagaimanapun, ketika itu Waraqah sudah lanjut usianya dan kedua matanya telah buta.

Persoalan Terungkai Akhirnya

Sebaik sahaja melihat Nabi Muhammad SAW, Waraqah bertanya kepada Baginda: “Wahai anak saudaraku, ceritakan kepadaku apa yang engkau telah lihat.” 

Lalu, Baginda pun menceritakan apa yang dilaluinya di Gua Hira’ tempoh hari.

Usai mendengar jawapan nabi, beliau berkata: “Itulah Namus (Malaikat Jibril) yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS

 Aku berharap agar aku sempat hidup ketika engkau diusir oleh kaummu.”

Baginda bertanya: “Adakah benar kaumku kelak akan mengusirku?” 

Jawab Waraqah: “Ya, bahkan sesiapa sahaja yang menerima apa yang kamu terima ini pasti dia akan dimusuhi oleh kaummu.” 

Ujar Waraqah lagi: “Jikalau aku masih ada ketika itu, sudah pasti aku akan membantumu!”

Namun, tidak lama selepas itu, Waraqah bin Naufal pun meninggal dunia. Sayang sekali beliau tidak dapat menunaikan hasratnya untuk membantu Baginda SAW.

Seruan Pertama

Setelah berpuas hati mendengar apa yang diberitahu oleh Waraqah bin Naufal Baginda berasa hairan kerana wahyu tidak lagi turun sejak kali pertama itu. 

Tempoh yang lama itu kemudiannya menjadikan Nabi SAW bersedih. Tiga tahun lamanya wahyu terputus.

Akhirnya Malaikat Jibril AS pun turun. Beliau membawa wahyu kedua berupa Surah al-Mudathir ayat 1 sehingga 7

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). 

Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. 

Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Inilah perintah Allah SWT untuk menyerukan risalah Baginda SAW secara sembunyi kerana ayat ini tidak memerintahkan supaya dizahirkan terlebih dahulu. 

Maka, mereka yang sudah memeluk Islam ketika itu apabila ingin mendirikan solat, terpaksa pergi ke kawasan bukit bagi mengelakkan daripada diketahui oleh orang Musyrikin.

Namun, perkara ini akhirnya terbongkar juga. 

Tatkala Sa’ad bin Abi Waqqas dan beberapa orang sahabat lain sedang mendirikan solat di satu kawasan bukit, tiba-tiba mereka ditemui oleh sekumpulan orang Musyrikin.

Lalu terjadilah perbalahan antara kedua-dua kumpulan itu sehingga menyebabkan ada di antara mereka yang cedera.

Lalu, rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam dijadikan tempat untuk para sahabat mendirikan solat. 

Kini, mereka tidak lagi boleh mendirikannya di kawasan terbuka seperti sebelum ini.

Tempoh dakwah secara sembunyi ini berlangsung selama tiga tahun.

Para Sahabat Diseksa

            Melihatkan keadaan yang semakin mencabar, akhirnya Rasulullah SAW mengizinkan sebahagian para sahabat untuk berhijrah. Lokasinya adalah ke negeri Habsyah.

Walaubagaimanapun, tempoh dakwah secara sembunyi ini telah mengorbankan ramai sahabat Baginda SAW di tangan orang Musyrikin Quraisy. 

Mereka ini terdiri daripada golongan hamba dan miskin yang telah memeluk Islam. 

Lalu diketahui oleh tuan-tuan mereka dan terus diseksa dengan begitu kejam sekali.

Antara sahabat yang diuji sedemikian rupa ialah Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir serta bapanya Yasir dan ibunya Sumaiyyah. 

Yasir dan Sumaiyyah antara yang diseksa oleh tuannya iaitu Abi Huzaifah bin al-Mughirah. Namun, Sumaiyyah sendiri telah dibunuh oleh Abu Jahal.

Begitulah cabaran yang perlu dihadapi oleh sebahagian para sahabat RA di awal permulaan dakwah Islam. 

Mereka ini kebanyakannya orang-orang yang tidak memiliki puak dan juga harta. 

Maka, sebab itulah mereka ini mudah untuk diseksa sesuka hati tuan-tuan mereka.

Apa yang pasti, hal ini telah menyedihkan Rasulullah SAW dan membincangkan bersama para sahabat yang lain.

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%