Assalamualakum w.b.t kepada pembaca yang budiman,
Masa semakin pantas dengan teknologi,
Manusia juga semakin leka dan berebut-rebut mencari rezeki,
Hingga ada yang tidak hiraukan halal toyyiban dalam perniagaan,
Barangkali perbuatan tersebut menjadi kebiasaan dan ikutan.
Ya, ikutan dan kebiasaan adalah dua perkara yang susah diubah dalam hidup bergelar insan.
“Eh, dia jual benda tu elok je takda apa-apapun,” marah seorang peniaga jajan tersebut.
“Memanglah engkau nampak dia ok, tapi engkau tahu tak hati dia tenang ke tidak jual makanan ni?” Balas rakan baiknya.
“Alahh, makanan untuk budak-budak biasalah depa duk makan ni, ” dengan selamba peniaga tersebut menjawab.
“Sekarang engkau tak kahwin memanglah semuanya suka hati je. Nanti engkau ada anak baru engkau tahu perasaan ibu bapa bila anak-anak makan benda gini, ” nasihat rakannya.
Rakannya menyambung lagi, “Jangan ikut sangat orang lain nak berniaga engkau pun berniaga jual benda-benda gini. Memanglah ada cop halal negara lain tapi tak semestinya toyyiban (terbaik) dari sudut sumber bahan, kesihatan dan aspek lain.”
“Ohh, aku ingat ok je bila berniaga yang budak-budak suka makan ini, ” balas peniaga yang kebingungan.
“Aku cadangkan engkau jual makanan yang berkhasiat untuk budak-budak. Jual lah biskut, kek ke apa-apa yang diorang minat tapi jual biar depa mampulah. Budak bukan makan banyak sangat. Hang kecikkan saiz baru harga makanan pun murah.” Cadang rakannya kepada peniaga tersebut.
“Baguih jugak hang ni ye.. Itulah aku pernahlah terdengar makpak budak-budak ini marah depa beli jajan ni. Aku pulak apalagi marahlah jugak sebab makpak yang bagi duit..” terkeluar juga loghat kedah peniaga tersebut.
*Perbualan di atas mungkin pernah terjadi dalam kehidupan seharian kita.*
Golongan peniaga semakin bertambah “bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan”. Namun, tidak semuanya berniaga dengan penuh sunnah.
Rata-rata peniaga dan usahawan di Malaysia telah pun menghadiri pelbagai seminar bahkan sering diberikan kata-kata motivasi bahawa ;
“Perniagaan adalah sunnah Rasullulah s.a.w !!” Kata-kata yang sering dikongsi oleh motivator.
Walaubagaimanapun, berapa ramai yang mematuhi kriteria perniagaan sunnah sebenar-benarnya?
Contohilah sahabat-sahabat Rasullulah seperti Abdurrahman bin Al Auf, Zubbair Ibnu Awwam, Talhah bin Ubaidillah dan Shuhaib bin Sinan merupakan sahabat-sahabat usahawan yang paling berjaya dan mereka sering menginfakkan harta demi Islam.
SubhanaALLAH hebat bukan?
Tidak ramai yang mampu bertindak sedemikan dalam membantu pembangunan ummah.
Jadi..
Sekurang-kurangnya, ikutilah sepenuhnya tingkah laku Rasullulah s.a.w ketika berniaga di Syam kali kedua seperti yang diceritakan oleh pembantu Saidatina Khadijah, Maisarah bahawa baginda berniaga dengan jujur dan bekerja keras dalam berniagaan.
Makanya pesan penulis “Jual-lah betul-betul,” ketika urus niaga dijalankan seperti Rasullulah s.a.w
Berniagalah dengan penuh sunnah, usah sekadar mengambil namanya sahaja tetapi ambillah keseluruhan kebaikan dalam diri Rasullulah s.a.w.
Selamat berniaga dengan penuh sunnah dan moga kalian berjaya di dunia dan akhirat!
*Info Tambahan:*
9 TIPS BERNIAGA MENGIKUT SUNNAH :
1) Tidak pernah berdebat
2) Teknik menjual yang unik
3) Sentiasa tersenyum
4) Jujur
5) Tidak bersumpah palsu
6)Bukan mengejar harta semata-mata
7) Fasih bertutur kata
8) Lemah lembut
9) Keuntungan maksimum adalah mungkin
Rujukan :
1) Jurnal bertajuk “Perniagaan Muhammad s.a.w Setelah Era Kenabian: Sebuah Tamadun Baru” oleh Suwandi, Muhammad Hakimi dan Wan Nasyrudin (2017), Terbitan UKM Press.
2)Laman Web: https://www.thevocket.com/9-cara-rasulullah-berniaga-yang-boleh-kita-contohi/
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Sis Aainaa Zaki. Mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dan Diploma Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat, UniSZA. Sebarang info boleh rujuk FB (Aainaa Zaki) dan Instagram (Aainaa Zaki).
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.