Alhamdulillah.
Sekarang dalam kalangan kita semakin ramai yang berjaya.
Semakin ramai lahir golongan yang berpendidikan tinggi.
Semakin bertambah jumlah mereka yang bekerja dalam zon yang selesa.
Semakin melonjak naik bilangan para ahli perniagaan sama ada offline atau online.
Semakin ramai mereka yang banyak harta.
Semuanya hebat-hebat belaka.
Namun kaya dan berjaya di dunia sahaja tidak menjamin yang kita juga akan berjaya dan kaya di akhirat sekiranya tanpa ilmu dan amal.
Oleh itu, marilah kita menjadi kaya di dunia dan juga kaya di akhirat supaya nantinya kita menjadi insan yang paling bahagia di sisi Allah.
Jangan pula menjadi fakir nantinya di akhirat kerana terlalu sibuk mengejar harta dunia.
Kita perlu menjadi kaya dan berjaya tetapi bukan semata-mata untuk diri kita tetapi untuk agama Allah.
Para sahabat juga ramai yang kaya dan dengan menggunakan kekayaan mereka, maka Islam tersebar ke seluruh dunia.
Kita mahukan kaya yang diberkati Allah bukan kaya yang merupakan istidraj daripada Allah.
Istidraj iaitu kekayaan dan kejayaan yang akan menjauhkan kita daripada Allah dan membuatkan kita semakin melupakanNya.
Macam mana tu?
Jika kita semakin kaya dan berjaya tetapi dalam masa yang sama kita banyak meninggalkan perintah Allah, maka kita seharusnya muhasabah diri kerana kita takut kekayaan kita adalah satu istidraj daripada Allah.
Allah akan memberi dan terus menambah kekayaan kita sehinggakan suatu masa Dia akan menarik kembali dengan perkara yang tidak kita jangkakan. Nauzubillahi min zalik.
Kita inginkan kekayaan?
Kaya adalah apabila hidup kita diberkati oleh Allah. Hidup yang berkat apabila kita merasa cukup dengan pemberian Allah.
Rezeki yang sedikit tetapi mencukupi. Itulah keberkatan.
Keluarga yang kecil tetapi bahagia. Itulah keberkatan.
Pekerjaan yang biasa tetapi kita tenang bekerja. Itulah keberkatan.
“Kekayaan yang sebenar adalah apabila kita mempunyai sesuatu yang tidak mampu dibeli oleh wang ringgit.”
Keberkatan.
Kebahagiaan.
Keluarga.
Ketenangan.
Jika kita mempunyai semua itu, kita sebenarnya jauh lebih kaya daripada mereka yang mempunyai banyak harta.
Tetapi sayangnya sedikit sekali daripada kita yang bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita sentiasa inginkan apa yang orang lain ada. Kita sentiasa ingin lebih daripada orang sekeliling kita.
Kerana itu kita selalu merasa tidak cukup.
Allah sekarang meletakkan kita di dalam situasi yang sesuai dengan kita. Dia Maha Tahu yang terbaik untuk kita.
Boleh jadi jika kita terlalu kaya, kita semakin lupakan Dia kerana kesibukan kita dengan harta menghalang kita untuk solat awal waktu, menghadiri majlis ilmu dan bakhil untuk bersedekah.
Boleh jadi kita jika kita terlalu terkenal, kita akan jauh daripada Dia kerana kita terlalu inginkan perhatian manusia tanpa pedulikan perhatian Dia.
Boleh jadi jika kita terlalu berjaya, kita akan tinggalkan Dia kerana berasa diri lebih hebat dan boleh berjaya tanpa Dia. Tidak lagi berharap dan meminta kepada Dia.
Bila mana manusia diuji dengan kekayaan dan kejayaan, ramai yang tewas dengan ujian tersebut dan lupa diri.
Manakala apabila ramai yang diuji dengan kesusahan dan kemiskinan, semakin bertambah keimanan kepada Allah kerana hanya Allah tempat bergantung harap dan tempat untuk mereka mengadu.
Jika kita miskin, jangan risau dan bersyukurlah kerana Rasulullah sentiasa berdoa untuk berkumpul bersama orang-orang miskin di Syurga. Baginda melihat ramai penghuni Syurga terdiri daripada mereka yang miskin.
Hisab harta mereka juga sekejap kerana mereka tiada harta untuk dihisab kerana mereka mempunyai sekadar keperluan harian. Jarak antara orang kaya dan orang miskin adalah selama 40 tahun untuk masuk ke syurga.
Bergembiralah dan bersyukurlah kerana Allah tahu yang terbaik untuk kita.
Jika kita kaya, gunalah sebaik-baiknya harta amanah Allah dengan bersedekah untuk agamaNya. Kita tidak boleh terlalu bermewahan dan cukup sekadar bersederhana kerana setiap harta kita pasti akan dihisab.
Rasulullah berkata bahawa orang kaya akan lambat masuk ke syurga kerana setiap daripada hartanya akan dihisab oleh Allah. Maka apabila Abdul Rahman bin Auf salah seorang sahabat yang sangat kaya mendengar perkataan Rasulullah, dia segera bersedekah segala hartanya untuk agama Allah untuk mempermudahkan hisabnya di akhirat kelak.
Rasulullah dikelilingi para sahabat yang kaya raya. Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi adalah antara sahabat yang kaya-raya.
Mereka kaya namun segala harta mereka banyak berhabis dan disedekahkan untuk keperluan perang, hijrah dan sebarkan Islam.
Kekayaan itu penting untuk membantu agama Allah dan membantu mereka yang memerlukan.
Orang kaya bersedekah dengan hartanya.
Orang miskin bersedekah dengan tenaga dan pertolongannya.
Kaya atau miskin semuanya baik jika kerana Allah.
Yang penting adalah dasarnya kerana iman dan taqwa.
Di situ Allah melihat dan menilai kita.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana Muda Farmasi, UKM.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.