,

Kaum Wanita Islam Yang Melarikan Diri Setelah Perjanjian Hudaibiyah Tidak Dipulangkan Semula, Kenapa?

Antara isi perjanjian Hudaibiyah ialah sekiranya orang Islam yang berada di Makkah melarikan diri ke Madinah, maka orang Islam itu perlu dipulangkan semula ke Makkah. Jadi, antara sahabat yang dipulangkan semula ialah Abu Jandal dan Abu Bashir.

Namun, berbeza bagi wanita Islam yang berjaya melarikan diri ke Madinah, kerana Allah menurunkan ayat Al-Quran khusus bagi mereka. Beberapa sahabiah yang dipimpin oleh Ummu Kulthum bin Uqbah bin Abu Mu’ith berjaya melarikan diri daripada menjadi tahanan di Makkah.

Lalu, kaum kafir Quraisy meminta agar Rasulullah mengembalikan mereka, sesuai mengikut perjanjian yang telah ditandatangani.

Namun, turun ayat Al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir.

Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya.

Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Mumtahanah 60:10)

Berdasarkan ayat ini, Syeikh Muhammad Al-Ghazali memberikan pandangan bahawa kaum Muslimin enggan mengembalikan kaum wanita yang berhijrah kepada wali mereka demi menyelamatkan agama mereka, mungkin saja para sahabat memahami perjanjian tersebut hanya untuk kaum lelaki saja, atau kerana mereka khuatirkan jika wanita Islam itu dipulangkan semula akan mendapat seksaan dan penghinaan.

Sungguh, Islam sememangnya benar-benar melindungi kaum wanita.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)