, ,

Umar bin Al-Khattab – Amirul Mukminin Pertama

Siapa yang tidak mengenali Umar bin al-Khattab?

Seorang yang terkenal dengan kebijaksanaan dan tegasnya. 

Bukan itu sahaja, beliau bahkan tergolong dalam kalangan orang Quraisy yang ternama. 

Tatkala kaum Quraisy terlibat dengan peperangan, maka Umarlah yang akan diutus sebagai jurubicara mewakili kaumnya.

Kemuliaan nasab beliau adalah disebabkan oleh keluarganya tergolong dalam kalangan Bani Makhzum yang turut menjadi sebahagian daripada pemimpin Quraisy. 

Selain itu, ibunya iaitu Hantamah merupakan anak perempuan kepada Hisyam. 

Bermakna, ibu Umar ini merupakan saudara perempuan kepada Amr bin Hisyam atau dikenali sebagai Abu Jahal.

Maka, tidak hairanlah betapa kerasnya permusuhan Umar terhadap Nabi SAW sebelum beliau memeluk Islam.

Cukup 40 Orang

Imam Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah menyatakan bahawa apabila Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul. 

Umar bin al-Khattab bersikap keras kepada Baginda bahkan juga kepada umat Islam.

Tidak lama selepas itu beliau pun memeluk Islam. 

Diriwayatkan bahawa tatkala Umar memeluk Islam, ketika itu sudah ada 39 orang lelaki dan 20 orang perempuan yang sudah memeluk Islam. 

Maka, dengan beliau memeluk Islam, maka cukuplah bilangan lelaki menjadi 40 orang.

Ibn Abbas pula berkata: “Seramai 39 orang lelaki dan perempuan sudah memeluk Islam dan berada bersama Rasulullah SAW ketika itu. 

Maka, apabila Umar memeluk Islam, maka genaplah 40 orang. 

Setelah itu, Malaikat Jibril pun turun dengan membawa wahyu firman Allah yang bermaksud, “Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.” 

-QS Al-Anfal 8: 64

Maka termakbul sudah doa Rasulullah SAW suatu ketika dahulu. 

Baginda berdoa memohon agar salah seorang daripada dua orang pemimpin Quraisy memeluk dan menguatkan Islam. 

Baginda berdoa: “Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang daripada dua orang yang Engkau kasihi; Umar bin al-Khattab atau Amru bin Hisyam (Abu Jahal).”

Dikurnia Hikmah

Banyak yang kita ketahui tentang sosok yang bernama Umar bin al-Khattab ini. 

Masakan tidak, beliau merupakan salah seorang sahabat nabi yang terkenal dengan hikmah yang dianugerahi Allah. 

Baik sebelum Islam malah lebih menyerlah setelah beliau memeluk Islam.

Ibn Mas’ud berkata: “Seandainya ilmu dan hikmah Umar itu diletakkan di satu bahagian neraca timbang, dan diletakkan pula ilmu manusia yang lain di bahagian yang satu lagi, lebih beratlah timbangan ilmu Umar.”

Ibn Umar, anak lelaki Umar bin al-Khattab juga mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Saya diperlihatkan di dalam mimpi bahawa saya didatangkan dengan satu bekas berisi susu. 

Lalu, saya meminumnya. Bakinya, saya berikan kepada Umar bin al-Khattab.”

Para sahabat bertanya: “Apakah maksud mimpi tersebut wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ilmu.”

Terlalu banyak kisah yang boleh dibaca tentang hikmah dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh Umar bin al-Khattab. 

Namun, cukuplah untuk diceritakan di sini beberapa riwayat yang jarang kita dengari tentangnya. 

Antara lain sebagaimana yang diungkapkan oleh Qabisah bin Jabir: “Demi Allah saya tidak pernah melihat orang yang amat baik kepada rakyatnya lebih daripada Abu Bakar al-Siddiq.

Saya juga tidak pernah melihat orang yang membaca kitabullah, kemudian memahami agama-Nya, memelihara hududullah dan digeruni oleh orang ramai selain daripada Umar bin al-Khattab...”

Gelaran Amirul Mukminin

Terdapat satu lagi perkara yang menarik tentang khalifah Islam yang kedua ini iaitu beliaulah yang mula-mula menggunakan gelaran Amirul Mukminin bagi merujuk kepada jawatan khalifah. 

Hal ini sebagaimana yang diceritakan sendiri oleh Umar. 

Katanya: “Sewaktu Abu Bakar menjadi khalifah, apabila orang ramai memanggil dirinya, mereka akan menyebut, “Wahai Khalifah Rasulullah!” 

Kemudian, apabila orang memanggil diriku, mereka menyebut, “Wahai Khalifah Khalifah Rasulullah.”

Ia merupakan satu nama yang panjang. Lalu saya mengatakan, “Kamu semua ialah orang mukmin dan saya merupakan pemimpin (amir) kamu semua.”

Juga disebutkan bahawa sebelum ini dalam urusan surat menyurat daripada beliau, akan ditulis, “Daripada Umar, Khalifah Khalifah Rasulullah SAW.”

Setelah itu, surat yang datang daripada beliau ditulis dengan, “Daripada Umar, Amirul Mukminin.”

Sebagaimana yang diketahui, pada zaman beliau wilayah Islam telah berjaya dikembangkan. 

Ketika itu, banyak ekspedisi pembukaan (futuhat) telah membawa kejayaan sehinga Dar al-Islam dapat dikembangkan dan berjaya merobek kekuasaan Rom dan Parsi

Iraq, Syam, Mesir, al-Jazirah, Diyarbakir, Armenia, Azerbaijan, Parsi dan sebagainya.

Walaupun sudah mencapai kedudukan tertinggi dalam sebuah kerajaan Islam, semua itu tidak mengubah sikap dan tingkah laku Umar al-Khattab yang dahulu. 

Sifat zuhud membuatkan beliau sangat mengutamakan kebajikan rakyatnya melalui penubuhan institusi baitulmal walaupun dirinya sendiri juga layak menerima bantuan baitulmal.

Begitulah Umar bin al-Khattab. 

Kekerasannya dahulu kepada umat Islam berubah menjadi sangat kasihkan mereka.

Rujukan:

Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Anfal 8: 64