,

Di Sebalik Tabir Kehidupan

Dalam kehidupan sekarang, kita melihat ramai dalam kalangan kita yang telah berjaya mencapai impian dalam hidup mereka.

Alhamdulillah dan tahniah diucapkan! Kita melihat kejayaan demi kejayaan dicapai oleh mereka dan barangkali ada terdetik di hati:

Bagusnya jika aku adalah mereka, kaya dan berjaya.”

“Untungnya berjaya macam tu, kenapa macam senang jer dia nak berjaya?”

Setiap antara kita hanya fokus kepada cerita kejayaan!

Kita tidak tahu setiap kesusahan dan seribu satu cerita gagal yang dihadapi oleh mereka yang berjaya.

Jika kita mempunyai peluang untuk bertanya, maka gunakanlah untuk belajar daripada mereka yang pernah jatuh tersungkur tetapi dengan gagah bangun berjuang demi menjadi orang yang berjaya.

“Belajar daripada kejayaan itu adalah normal tetapi belajar daripada kegagalan itu luar biasa!”

**********

Pemimpin

Di sebalik tabir kejayaan hidup seorang pemimpin atau ketua, kehidupannya tidak seperti insan biasa.

Tidurnya banyak terganggu kerana memikirkan hal kerja, keluarga dan pekerjanya. Masanya sangat terhad untuk keluarga.

Keluar bekerja saat matahari belum terbit dan pulang ketika terbenamnya matahari tanpa sempat menikmati pembesaran anak-anak di depan mata kerana tuntutan tanggungjawab yang besar tergalas di bahunya.

Kadangkala makannya tidak terjaga. Kesihatannya bergantung kepada ubat-ubatan yang diambilnya.

Kepenatan jelas tergambar di wajahnya namun dia tidak akan pernah menyerah!

Setiap trophi kejayaan yang dijulang mengingatkan kembali kepada setiap air mata yang pernah tumpah, setiap keringat yang pernah mengalir dan setiap jatuh bangunnya sebagai seorang pemimpin.

Namun kita hanya melihat senyuman gembiranya di saat dia menjulang kejayaan dan mengatakan senangnya dia mendapat kejayaan?

Businessman

Sekarang ramai dalam kalangan kita bergelar businessman. Jualan mencapai ribuan ringgit setiap bulan.

Kemudian boleh membeli rumah dan kereta yang diidamkan. Boleh meringankan beban keluarga dengan kejayaan yang dikecapi.

Pendek kata setiap yang dihajati pasti akan dapat dengan nikmat kejayaan yang Allah berikan.

Dia bermula dari bawah tanpa apa-apa ilmu, mengorak langkah dengan kemahuan yang kuat untuk berjaya.

Walaupun sale kurang sambutan, walaupun customer boleh dikira dengan jari dan walaupun profit jauh dari jangkauan namun dia tetap bersemangat untuk teruskan business dan cari sebanyak ilmu dan pengalaman untuk majukan perniagaan.

Belum dikira dengan pelanggan yang banyak kerenah dan perangai. Belum dikira dengan produk yang tidak laku.

Belum dikira business hampir bankrap. Belum dikira partner business khianat dan tidak amanah. Belum dikira dengan rumah dan kereta pernah dilelong.

Sehinggakan dia mampu untuk berdiri hari ini dengan semangat yang tidak pernah luntur dan mengatakan “aku telah berjaya”.

Parut kegagalan dirinya menjadi satu trofi yang perlu diraikan kerana dia belajar daripada kegagalan hidupnya sendiri.

Kita hanya boleh bercakap, “Bestnya beli rumah baru!” atau “Bestnya dapat kereta idaman!” tetapi hanya dia yang tahu peritnya untuk mendapatkan semua itu.

Pelajar

Dia menggenggam segulung ijazah dan tersenyum bangga di samping keluarga tersayang.

Ibu bapanya memeluk dan menciumnya dengan wajah yang basah dengan air mata. Dan orang hanya memandang, “Dia pandai sebab itu berjaya.”

Orang tidak tahu setiap hari dia merenung gambar kedua ibu bapanya untuk mendapatkan semangat untuk dia teruskan belajar walaupun perasaan malas menyelimuti dirinya.

Orang tidak nampak berapa banyak waktu tidur yang dikorbankan demi mencari secebis ilmu.

Orang tidak tahu berapa banyak air mata yang dia tumpahkan ketika berdoa kepada Allah di malam yang sepi demi mengharapkan kejayaan yang dapat membahagiakan kedua ibubapanya.

Orang tidak tahu berapa kerap dia berjumpa dengan pensyarah kerana pernah gagal peperiksaan dan mendapatkan sesi kaunseling.

Orang tidak faham bahawa itulah kali pertama ibu bapanya mampu untuk datang bersama dengannya merayakan kejayaannya bersama segulung ijazah.

Orang tidak pernah tahu dan tidak akan faham kerana hanya pengarah yang tahu di sebalik tabir kehidupan iaitu Allah.

**********

Hidup ini ada pasang surutnya. Kita tidak perlu menjadi orang lain untuk berjaya.

Cukup sekadar menjadi diri sendiri dan bersyukur dengan apa yang Allah berikan kepada kita. Kita akan bahagia apabila kita redha dengan apa yang Allah beri.

Dunia ini ibarat pentas lakonan.

Allah adalah pengarah hidup kita.

Kita adalah pelakon-pelakon drama kehidupan.

Jika kita ingin menjadi watak ‘orang lain’, siapa akan menjadi watak ‘kita’?

Hanya ada satu watak untuk diri kita dan lakonkanlah sebaiknya mengikut apa yang pengarah (Allah) inginkan supaya mendapat Anugerah yang agung iaitu SYURGA!

Wallahu a’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.