Korang tahu tak, sebahagian sumber hukum Islam hanya diperoleh pada zaman Nabi Muhammad Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam, kemudian sebahagian hukum yang lain pula diperoleh selepas kewafatan Baginda.
Secara tidak langsung, kita akan sedar bahawa Islam bukan agama yang jumud atau kolot, tetapi ia berkembang seiring peredaran zaman.
Al-Quran hanya menyebut secara asas mengenai sesuatu perkara, setelah itu ia diperincikan melalui hadith dan ijtihad ulama’ muktabar supaya sesuai dengan perkembangan manusia.
Ketika zaman Rasulullah, mudah bagi para sahabat untuk terus bertanya kepada Baginda. Malah, Baginda kebiasaannya akan memperoleh wahyu daripada Allah sebagai penyelesaian bagi masalah yang timbul. Jika tiada wahyu daripada Allah, barulah Baginda akan berbincang bersama sahabat untuk mencari jalan keluar, namun Allah tetap membimbing Baginda untuk membuat keputusan.
Namun, setelah kewafatan Rasulullah, jika ada permasalahan baru yang timbul, bagaimana? Maka, di situlah peranan ulama’ dalam memberi ijtihad.
Sumber syariah terbahagi kepada dua, iaitu:
1. AL-ADILLAH AL-RAISIYYAH (sumber primer) : Al-Quran dah hadith
2. AL-THANAWIYYAH (sumber sekunder) : Bersifat ijtihadi seperti ijmak, qiyas, masalih mursalah, istihsan, istishab, urf, sadd al-zariah dan amal ahl Al-Madinah. Diperoleh melalui ijtihad fuqaha’ yang berkelayakan, fokus untuk menyelesaikan masalah yang tidak dinyatakan dalam Al-Quran dan hadith.
Jadi, apa yang perlu kita faham adalah…
Al-Quran dan hadith merupakan dua sumber hukum utama, melalui kedua-duanya kita melaksanakan undang-undang Islam yang tetap dan tidak boleh dipinda. Contohnya, pengharaman arak, zina, judi, khinzir, dedah aurat atau riba, pengharamannya akan kekal sehingga hari kiamat.
Kemudian, sumber hukum bersifat ijtihadi itu pula boleh berubah mengikut kesesuaian waktu dan zaman, namun tetap menjadikan Al-Quran dan hadith sebagai rujukan.
Hubungan antara hukum yang bersifat juz’i (pecahan) dan objektif yang bersifat kulli (keseluruhan) menjadi teras perbincangan dalam maqasid al-syariah (tujuan yang dikehendaki syarak) yang mana ia telah berkembang sepanjang sejarah perundangan Islam sehingga hari ini.
Jadi, maqasid al-syariah menjadi landasan penting dalam pembentukan sesuatu hukum supaya objektif pensyariatan hukum itu akan tercapai.