,

Setelah Bercerai Dengan Zaid Bin Harithah, Zainab Binti Jahsyin Bernikah Dengan Rasulullah, Apa Hikmahnya?

Allah menurunkan ayat Al-Quran berkaitan larangan untuk ber ‘bin’ selain daripada ayah kandung sendiri, kerana sebelum ini Zaid iaitu anak angkat Rasulullah dipanggil sebagai Zaid bin Muhammad:

“Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai “maula-maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Ahzaab 33:5)

Jadi, setelah Zaid bin Harithah bercerai dengan Zainab binti Jahsyin, Allah ingin mengajarkan hikmah bahawa tiada larangan untuk berkahwin dengan bekas isteri kepada anak angkat, kerana yang dilarang adalah berkahwin dengan bekas isteri kepada anak kandung.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” (Surah Al-Ahzaab 33:37)

Syariat ingin menegaskan pembatalan sistem atau tradisi anak angkat yang selama ini mengikut kebiasaan adat, mereka seolah-olah mempunyai pertalian darah sehingga di ‘bin’ kan kepada selain ayah kandung sendiri. Bahkan, pernikahan Rasulullah dan Zainab atas perintah Allah juga secara tidak langsung menghapus hukum sebelumnya dan menerapkan hukum-hukum baharu iaitu boleh bernikah dengan bekas isteri kepada anak angkat.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)