,

Hikmah Pernikahan Zainab Binti Jahsyin Dengan Zaid Bin Harithah

Zaid bin Harithah merupakan hamba Rasulullah yang kemudiannya dijadikan anak angkat, malah pada awalnya Zaid dibinkan dengan Baginda, iaitu Zaid bin Muhammad sebelum turun perintah Allah mengenai larangan ‘bin’ kepada anak angkat.

Allah ingin menikahkan Zaid bin Harithah dengan Zainab bin Jahsyin iaitu wanita mulia bani Asad. Hikmahnya adalah untuk menghapuskan perbezaan kasta sosial kerana sebelum ini taraf ‘hamba’ memang dipandang hina tetapi melalui pernikahan Zaid iaitu hamba dan Zainab iaitu wanita mulia, maka ia akan memberi suatu gambaran bahawa semulia-mulia di sisi Allah ialah taqwa bukannya taraf atau kasta sosial.

Maka, Rasulullah melamar Zainab untuk Zaid. Pada awalnya, Zainab tidak bersetuju dan meminta masa untuk berfikir. Lalu, Allah menurunkan ayat:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah Al-Ahzaab 33:36)

Maka, Zainab bersetuju untuk menjadi isteri kepada Zaid yang mana pada ketika itu Zaid masih lagi dipanggil Zaid bin Muhammad. Zaid menikahi Zainab dengan mahar 10 dinar, 60 dirham, kerudung, selimut, baju panjang, 50 mud gandum dan 10 mud kurma.

Namun, setelah bernikah lebih kurang setahun, Allah mentakdirkan mereka berdua tidak bertemu kesefahaman, sehingga Zaid ingin menceraikan Zainab. Pada mulanya, Rasulullah menghalang dan meminta Zaid mempertahankan perkahwinan itu, namun akhirnya mereka tetap bercerai.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)