,

Apa Peristiwa Yang Menyebabkan Berlakunya Fat’hul Makkah?

Kaum Quraisy telah melakukan kesilapan apabila membantu bani Bakar menyerang bani Khuza’ah sedangkan bani Khuza’ah adalah sekutu bagi kaum Muslimin, secara tidak langsung kaum Quraisy sendiri telah menyakiti kaum Muslimin.

Lebih dua puluh orang bani Khuza’ah telah dibunuh oleh bani Bakar di kawasan mata air bernama Watir. Setelah itu, Amr bin Salim Al-Khuza’i bersama empat puluh orang daripada bani Khuza’ah telah pergi ke Madinah untuk bertemu Rasulullah dan memberitahu kekejaman yang dilakukan bani Bakar yang dibantu kaum Quraisy. 

Pada ketika itu, Rasulullah berada bersama sahabat. Setelah itu, Baginda menyatakan: “Engkau telah diberi pertolongan, wahai Amr bin Salim, semoga Allah tidak menolongku jika aku tidak menolong bani Ka’ab.” Ketika awan melintas, Baginda bersabda: “Sungguh awan ini berlalu untuk memudahkan kita menolong bani Ka’ab.”

Setelah mendengar berita itu, Rasulullah mengirim surat kepada kaum Quraisy: “Jika kamu melepaskan diri dari persekutuan dengan bani Bakar, kamu harus membayar denda pembunuhan terhadap Khuza’ah. Jika tidak aku mengisyitharkan perang melawan kamu.”

Namun, kaum Quraisy memilih untuk tidak melepaskan diri daripada bani Bakar dan ingin berperang dengan kaum Muslimin.

Secara tidak langsung, kita tahu bahawa Fath Makkah bukanlah dicetuskan oleh orang Islam kerana Rasulullah sendiri memberi pilihan kepada kaum Quraisy, namun kaum Quraisy sendiri yang memilih untuk berperang.  

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)