Di setiap perjalanan dan di serata tempat kita pasti melihat. Melihat gelagat manusia dan juga makhluk hidup lain yang sedang merata.
Ada kaya dan ada miskin. Ada yang berkereta mewah dan ada yang hanya berbasikal tua. Itu beza di dunia.
Tetapi hakikatnya kita masih sama. Sama? Kita tetap sama iaitu kita hanya hamba Allah yang Esa.
Ada sebahagian kita yang memandang orang yang kaya itulah orang yang mulia. Dan sesetengahnya memandang hina benar dengan orang yang miskin yang tiada apa.
Sebenarnya itu hanyalah pandangan luaran di mata zahir. Bukan dalaman yang dilihat iaitu di mata batin (hati).
Kemuliaan itu terletak pada hati yang mempunyai sifat taqwa kepada Allah SWT. Bukan kecantikan, kemewahan dan sanjungan yang mengukirkan kemuliaan.
Jika itu kemuliaan yang disangka, kenapa masih ada yang terlihat kaya dan hidupnya mewah tetapi membunuh diri? Ada juga yang terjebak dengan jenayah? Ada yang masih retak rumah tangga mereka?
Fikir sejenak.
Jawapannya adalah soal hati. Hati ada taqwa? Atau hati kosong dan hanya diisi materialistik?
Orang bertaqwa itulah sebenarnya kemuliaan. Mungkin tidak mulia daripada pandangan manusia di bumi tetapi disanjung dan dikasihi oleh penghuni langit(malaikat).
Sesungguhnya orang bertaqwa tidak akan rugi.
Firman Allah swt yang bermaksud: “(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).” (Surah Muhammad ayat 36)
Orang yang bertaqwa sentiasa di dalam rahmat Allah SWT.
Orang mulia yang bila miskin, dia redha dan bersabar. Dan bila kaya, dia bersyukur dan tidak melupakan Sang Pencipta.
Jadi perbetulkan pandangan mata kita yang salah mentafsir. Kekayaan bukan bermakna dia mulia di sisi Allah.
Dan orang yang miskin tidak bermakna dia hina di sisi Allah. Kerana itu semua adalah ujian Allah yang bersifat sementara di dunia. Ia akan berakhir.
Pengakhiran itu akan bermula pula di alam akhirat. Menuju syurga atau neraka itu kebenarannya. Dan kehidupan di sana adalah selama-lamanya.
Tidak bertempoh. Tiada masa penamat seperti di dunia.
Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.” (Surah Yusuf, ayat 57)
Benarlah Allah itu Maha Adil. Taqwa dapat disemai dan dimiliki oleh sesiapa sahaja. Tidak kira siapa pun mereka.
Yang penting hati perlu ikhlas kerana Allah dan tidak dicampuri sifat mazmumah.
Sesiapa sahaja dapat memiliki taqwa. Bila ada taqwa, hati terasa bahagia. Rasa bahagia antara nikmat yang terindah anugerah Allah SWT.
Siapa yang lebih mulia? Jawapannya orang yang bertaqwa. Itulah sebenar-benar kemuliaan.
Noktah.
Waallahua’lam.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Mohd Fazli Abdullah. Seorang yang suka membaca. Turut menulis di Tazkirah.Net.
Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)