Sepasang kaki itu lesu melangkah seusai kuliah. Sambil mengelap peluh yang terbit di dahi dengan sehelai tisu, Hasnani menilik jam analog jenama Adidas yang melingkari pergelangan tangannya.
Waktu menunjukkan 25 minit melepasi jam 1 tengah hari. Azan Zohor pula berkumandang dari masjid di dalam kampus Universiti Ulul Albab Malaysia (UUAM) tidak berapa lama kemudian.
Gema azan itu cukup mengingatkannya bahawa kakinya sudah lama tidak mencecah lantai masjid. Hatinya terdetik untuk menukar haluan yang pada asalnya bercadang untuk terus ke kafé membungkus makanan untuk dimakan di hostel.
Langkahnya dipacu ke arah rumah Allah itu – satu destinasi yang telah lama terabai dari kamus hidupnya.
Melangkah ke dalam masjid, lalu terus mendirikan solat sunat tahiyatul masjid. Seterusnya solat Zohor berjemaah lengkap diiringi solat sunat rawatib.
Tenang
Indah. Perasaan itu terlalu indah tak tergambarkan. Namun dalam jiwa itu sebenarnya masih terselit sezarah resah yang belum lenyap.
Selama ini dia rasa dia sudah cukup baik bila cuba untuk menjadi dirinya sendiri. Namun ternyata pendiriannya selama ini sebenarnya silap.
Sudah agak lama jiwa seorang Hasnani tidak mengecapi suasana setenang ini. Bahkan dia sendiri sudah lupa, bila kali terakhir dia menjejakkan kaki ke masjid.
Bukan sekali dua housematenya yang bertiga itu mengajaknya untuk mengimarahkan masjid, malah selalu tanpa jemu. Setiap kali dipelawa, ada saja alasan yang direka untuk menolak.
“Maaflah korang.. Nani first day ABC (Allah Bagi Cuti). Senggugut sangat ni.”
“Ermm.. Harini tak dapatlah.. Esok nak kena hantar bahath dah.”
“Lain kali boleh kan? Sebab Nani ada discussion kat maktabah malam ni.”
Dan pelbagai lagi alasan. Kadang-kadang sengaja mengunci diri di dalam bilik sambil buat-buat tidur.
Paling membuatkan Hasnani segan bercampur rimas diadun pula dengan rasa serba salah adalah dengan kehadiran Syamila, salah seorang housematenya yang tidak pernah putus asa mempelawanya berusrah.
Situasi yang sangat membuatnya tidak selesa. Segan kerana Syamila itu bukan siswi jurusan keagamaan, bahkan jurusan Bioteknologi Makanan.
Malah, dua lagi housematenya juga bukan dari jurusan keagamaan. Tetapi semangat mereka dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah mengalahkan Hasnani sendiri yang merupakan siswi jurusan Dirasat Islami.
Tadabbur
Selesai berwirid. Masjid al-Falah ketika ini sedang sepi, mungkin kerana siswa siswi di kampus itu sedang menghadiri kuliah masing-masing.
Namun kelihatan juga sebuah halaqah usrah siswi di satu penjuru ruang solat muslimah dan beberapa orang siswi sedang tekun mengulang surah hafazan.
Dia melangkah ke sebuah rak yang dipenuhi dengan susunan naskhah mashaf Al-Quran dan kitab tafsir Al-Quran.
Bagaikan terngiang-ngiang lagi pesan Ustazah Hayati, pensyarah subjek Sirah Nabawi sewaktu kuliahnya tidak berapa lama dahulu.
“Antum semua ni, tulab Dirasat Islami. Course yang sepatutnya menjadikan antum semua paling rapat dengan Al-Quran. Sebab apa? Sebab semua subjek yang ada dalam pengajian ini bermasdarkan al-Quran dan sunnah.”
“Ikat hati antum dengan Al-Quran. Kalau boleh dalam beg tu, bawa senaskhah tafsir Quran ke mana saja antum pergi. Supaya bila waktu senggang, antum boleh jadikan tadabbur al-Quran tu sebagai satu budaya.”
Tapi nasihat itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Tafsir Quran yang hanya bersaiz poket dibawa sekadar untuk melunaskan syarat – menghafaz surah hafazan di saat musim imtihan.
Habis imtihan, dibiarkan berhabuk di atas rak buku di hostel. Apa yang memenuhi beg sandang Cath Kidstonnya selain nota kuliah, alat tulis, dompet dan smartphone – sudah tentulah perfume, losyen tangan dan set lengkap make-up.
Bukan Hasnani jika wajah polos tanpa secalit solekan. Kalah diva!
Jari-jemarinya yang runcing sedang lincah membelek helaian-helaian salah satu jilid dari Tafsir fi Zilal Al-Quran karya agung Sayyid Qutb rahimahullah itu.
Benarlah kata Ustazah Hayati, kalau al-Quran dibaca hanya untuk imtihan, apa yang kamu dapat hanya setakat untuk imtihan sajalah. Tak lebih dari itu.
Niat itu penting. Jika dari awal niat sudah salah, sampai bila-bila pun tetap salah. Kecuali jika sedar dan cepat diperbetulkan.
Bicara Al-Hujurat
Surah Al-Hujurat. Jarinya terhenti di saat matanya tertancap pada ayat pertama dalam surah itu. Surah ke-49 yang terkandung lapan belas ayat.
Surah Madaniah yang pernah dihafaznya ketika berada di dalam semester satu sekadar untuk memenuhi muqarar subjek Tilawah Al-Quran.
Tanpa pernah tadabbur. Apa lagi memperhalusi maksud setiap baris ayat-ayatnya.
Dia memulakannya dengan selafaz ta’awwuz. Di satu sudut yang agak terpencil dari kelompok jemaah muslimah lain, dia cuba hadirkan sepenuh hati dan jiwanya bersama Al-Quran.
Kali ini, dia bukan sekadar ingin membaca. Dia juga cuba ingin mendekat, seperti mana dekatnya Allah kepada hambaNya yang lebih dekat dari urat di leher.
Satu demi satu kalimah cinta Ilahi itu dia baca dan dia cuba selami. Namun dia masih gagal menemukan titik gentar di dalam hati. Hitam sangatkah hati ini, ya Allah?
Dia teringat lagi pesan Ustazah Hayati, yang menurutnya dipetik dari Kitab Zad Al-Ma’ad karya agung Ibn Qayyim al-Jauziyah.
“Kalau tak dapat menangis kerana takutkan Allah, cubalah paksakan juga untuk menangis.”
‘Kalau tak dapat juga ustazah?’ rintih batinnya. Apa lagi yang dia boleh buat setelah dipaksa jiwanya enggan juga?
Kata-kata Ustazah Hayati terngiang-ngiang kembali di pendengarannya. Nafasnya dihela dalam-dalam sebelum meneruskan pembacaannya.
Dengan satu harapan, agar air matanya yang sudah lama membeku kembali cair mengalir membasuh dosa-dosanya.
Sejenak bibirnya yang sedang terkumat-kamit mengalun surah itu terhenti pada ayat kedua belas.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.”
Tangannya menggeletar. Ayat itu terasa menjentik sanubarinya. Kitab tafsir itu didakap ke dadanya yang sudah mula sesak dengan rasa sebak.
Sekarang sudah jelas dengan ayat kedua belas surah Al-Hujurat itu. Peristiwa dua minggu lepas yang membuatkan jiwanya resah, gundah tanpa sudah.
Dua minggu lepas
Hujung minggu yang sibuk. Tidak seperti kebiasaannya, hujung minggu pasti Hasnani akan pulang ke rumah orang tuanya di Nilai.
Jika tidak, carilah kelibatnya di mana-mana panggung wayang atau kompleks membeli-belah di kota metropolitan itu bersama rakan-rakan sekepalanya.
Namun pada minggu itu agendanya berbeza sama sekali. Maklumlah siswi tahun akhir, kesibukannya juga berganda.
“Kau tahu Nani, si Shah tu dah break dengan Yana,” ujar Lela memulakan perbualannya dengan Hasnani pagi itu. Hubungan mereka menjadi rapat kerana mengambil subjek elektif yang sama pada semester itu.
Hujung minggu itu Lela, siswi Sains Biodiversiti terpaksa berkampung di rumah sewa yang diduduki Hasnani demi menyiapkan tugasan subjek Multimedia bersama.
Pagi itu mereka bersarapan di ruang tamu rumah sewa Hasnani dengan sarapan yang dibungkus dari warung berdekatan sambil menghadap laptop masing-masing dengan tugasan yang dipertanggungjawabkan.
“Shah? Shah yang mana? Apasal aku lambat tahu?” Bertalu-talu soalan yang dilontarkan Hasnani sambil mulutnya laju mengunyah sarapan.
Manakala matanya tertancap pada skrin laptop dan tangan kirinya ligat menscroll tetikus tanpa wayar mencari-cari bahan di pustaka maya UUAM untuk tugasan mereka.
“Kau ni dah kenapa? Lately aku tengok kau ni slow sikit hal ehwal gosip dalam kampus kita ni. Shah la, Shah Rizam yang pernah jadi crush kau tu. Budak course Farmasi yang hafiz 30 juzuk tapi kasanova tu.”
Dengan penuh perasaan Lela menghuraikan deskripsi tentang seseorang yang menjadi objek bualan mereka. Hampir tersembur nasi goreng pattaya yang berada di dalam mulut Hasnani. Mujur sempat ditahan.
“Weyhh.. Setakat crush je kot. Since aku tahu mamat tu playboy tegar, ah tak kuasa nak ambil tahu pasal dia lagi,” ujar Hasnani sambil menyedut sedikit minuman laici dalam tin.
“Teruk betul mamat tu. Harap muka je kacak. Tak gunalah 30 juzuk dalam dada tu. Perangai dah macam…” Belum sempat Hasnani menghabiskan kata-kata meluatnya yang penuh kegeraman, tiba-tiba Syamila yang muncul tanpa dijangka mencelah perbualan itu.
“Biarlah dia Nani. Perangai dia tu biarlah antara dia dengan Allah. Kita cuma tahu perangai dia yang kita nampak. Entah-entah belakang kita, dia dah start berubah sikit demi sikit.. Hmm. Kan?”
Syamila yang sebenarnya sudah lama mendengar perbualan itu dari biliknya keluar dengan niat untuk menjernihkan keadaan.
Dia tidak mahu suasana lagha dengan unsur ghibah itu terus-terusan menjadi budaya sahabat-sahabatnya.
Hasnani dan Lela berpandangan dengan bibir yang dicebik sedikit. Sedikit meluat bernanah di hati.
Tanpa dipelawa, Syamila melabuhkan punggung di sebelah Hasnani di sofa itu. Suasana sepi agak menjanggalkan mereka sebelum Syamila memecah sunyi itu.
“Maaflah kalau tiba-tiba ganggu privacy korang. Mila tak bermaksud…”
“Dah lah Mila. Aku mengaku, yang aku ni tak sewarak kau. Tapi aku tak hipokrit, walaupun mulut aku ni laser, perangai tak semalaikat kau. Inilah diri aku. Tak perlu kau nak paksa-paksa aku jadi macam kau.”
Segala gajet, laptop, fail dan tugasan yang berlambak di atas meja dikemas Hasnani. Kasar tingkahnya, semacam mahu menunjuk perasaan yang memberontak.
Lela yang sedari tadi cuma memerhati turut mengambil langkah yang sama. “Lela, jom blah. Kita siapkan assignment kat rumah kau je.”
Syamila terkedu. Hari itu, Hasnani keluar dari rumah sewa itu dan tak pulang-pulang.
Melerai Dosa
“Assalamualaikum.” Tersentak lamunannya saat disapa lembut oleh seseorang.
Bertambah tersentak melihat seorang gadis berkerudung labuh biru cair itu menyapanya tersenyum lembut sambil menghulur salam seolah-olah tiada apa-apa yang pernah berlaku di antara mereka.
Peristiwa dua minggu lepas masih lagi membebani pundaknya. Mana mungkin dia lupa. Dengan hati yang berat, dipaksa juga tangannya menyambut salam persaudaraan itu.
Lalu dengan tak semena-mena, dia mendakap tubuh gadis berkerudung labuh itu. Wajahnya disembamkan di bahu gadis itu.
Air mata yang tertahan sedari tadi berderai deras tanpa dipaksa bersama esakan halus. Buat beberapa ketika, gadis itu membiarkan sahaja Hasnani mencurahkan segala air matanya tanpa sepatah pun kata.
“Mila.. Aku minta maaf kat kau. Aku banyak dosa dengan kau.. Hati aku kotor Mila.. Kotor..” ujar Hasnani, dengan segala kerendahan diri sekaligus meruntuhkan tembok keegoannya.
Sesekali beberapa orang jemaah siswi menoleh ke arah mereka berdua, namun tetap saja disibukkan dengan urusan masing-masing.
Mujur saja lokasi mereka berdua berada agak terpencil dari tempat tumpuan jemaah.
“Mila pun minta maaf. Mila ada salah Mila juga. Mungkin ada cara Mila yang buatkan Nani terasa hati,” balas Syamila, air matanya juga menitis.
Tangannya mengeratkan dakapan sambil mengusap-usap mesra pundak sahabatnya, menyalurkan ketenangan. Dia dapat merasakan Hasnani sangat memerlukan seseorang untuk membantunya berubah.
“Tak Mila. Kau dah terlalu baik.. Cuma aku yang tak pandai nak hargai sahabat. Allah dah bagi sahabat yang sangat baik, tapi aku tak pernah nak bersyukur.” Esakan Hasnani sudah mulai reda.
Saki baki air mata diseka dengan hujung tudung bawal satin yang dipakainya. Baru terasa lapang dadanya setelah semua yang terbuku diluahkan semahunya.
Seingatnya Syamila tidak sekali pun pernah menyakitinya, baik dari segi tingkah mahupun kata. Syamila sering berusaha menyedarkannya dengan penuh hikmah.
Dia sedar hatinya yang cukup bermasalah. Sangkanya bila dia cuba menjadi diri sendiri, dia akan menemukan kebahagiaan yang dicari.
Kesilapan lalu membuatnya semakin matang dalam berfikir. Bukannya salah untuk menjadi diri sendiri, yang salah bila tidak berusaha memperbaiki kejahilan dan kesilapan dalam diri.
Malah, sangat dituntut untuk muhasabah dan mengislah diri yang penuh dosa berbanding kononnya bangga menjadi diri sendiri yang bergelumang dengan dosa maksiat.
“Kekhilafan itulah yang mematangkan kita, Nani. Apa yang dah terjadi semuanya ada ibrah yang Allah nak kita renung. Kita sama-sama muhasabah. Kita sama-sama islah diri. Lepas ni kalau Mila salah, Nani tegur. Macam tu juga sebaliknya. Boleh kan?”
Ujar Syamila, sambil tangannya menggenggam erat jari jemari Hasnani. Bibir merekah Hasnani menguntum senyum paling manis seraya membalas, “InsyaAllah, kau kena bantu kuatkan aku.”
Waktu datang silih berganti. Asar menjelma dengan laungan azan menyeru umat Muhammad bersegera mendirikan tanggungjawab sebagai hamba.
Petang itu berlalu dengan janji dua sahabat, untuk membentuk diri sendiri yang lebih baik dan saling memperbaiki.
******
Glosari :
- Bahath – tugasan/assignment
- Maktabah – perpustakaan
- Halaqah – bulatan
- Antum – kamu semua (kata ganti diri)
- Tulab – pelajar (kata jamak)
- Masdar – sumber
- Imtihan – ujian/peperiksaan
- Lagha – sia-sia
- Ghibah – umpat
- Islah – baiki
- Muqarar – sukatan/silibus
- Ibrah – pengajaran/teladan
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Amalina Muhd Amin (Nuna Amin) dan berasal dari Batu Pahat, Johor.
Berminat untuk menulis artikel dan menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1)? Klik di sini untuk keterangan lanjut.