,

Di sinilah Tenggelamnya Qarun Bersama Hartanya

memilih jalan kehidupan

qarun

Kadang-kadang apabila kita sedang diulit kebahagiaan dan kegembiraan pasti akan tiba ujian menduga. Awan tidak selalunya cerah pasti suatu ketika mendung akan menambil tempat menabur benih-benih suram.

Begitulah jua hakikat hidup kita sebagai manusia pasti tidak akan lekang dengan ujian yang menduga. Dalam diri manusia itu ada fitrah, yang sentiasa inginkan kebaikan dan kebahagiaan. Namun ujian akan tiba untuk menguji sedalam mana cinta dan takwa kita kepada Yang Maha Pencipta.

…ujian itu adalah tanda kasih sayang Allah swt terhadap hambaNya

Sudah menjadi fitrah manusia yang dikurniakan nafsu akan teralpa dengan keindahan fana persona dunia. Namun manusia juga dikurniakan akal fikiran dan juga iman yang mampu mengatasi nafsu. Maka, ujian itu adalah tanda kasih sayang Allah swt terhadap hambaNya.

Bagaimana Allah swt kasih akan hambaNya?

Bukti kasih sayang Allah swt terhadap hambaNya adalah dengan pelbagai cara dan bentuk ujian terhadap hambaNya. Ujian itu salah satu tanda bahawa Allah sedang merindui hambaNya. Ada sesetengah orang diuji dengan limpahan harta kekayaan dan ada pula sesetengah orang diuji dengan kemiskinan hidup serta menanggung sakit yang berpanjangan. Sesungguhnya Allah swt bukan saja-saja menghadirkan ujian bahkan melainkan untuk menguji sejauhmana ketakwaan hambaNya.

Sesungguhnya Allah tidak akan menguji hambaNya dengan bebanan yang berat melainkan atas kemampuan hambaNya sendiri.

Apakah kita bersedia untuk diuji ataupun tidak itu bukanlah persoalannya kerana Allah swt lebih mengetahui apa keperluan setiap hambaNya. Sesungguhnya Allah tidak akan menguji hambaNya dengan bebanan yang berat melainkan atas kemampuan hambaNya sendiri.

Begitulah sayangnya Allah swt sebagai Pencipta kita sekalian alam sedangkan kita masih terus hanyut dengan godaan nafsu yang menipu. Apakah kita sedar atau pura-pura tidak sedar. Mahukah jika kita ini digelar sombong oleh Allah swt semata-mata kerana kita alpa dan lalai dari mengingatiNya. Masya-Allah sanggupkah kita menderhaka terhadap Pencipta kita sendiri?

Intipati kisah umat terdahulu

Jika kita menyingkap kembali kisah daripada umat yang terdahulu pasti banyak siri tauladan yang bisa dijadikan pedoman mahupun sempadan.

tasik qarun
Tasik yang dikatakan tenggelamnya Qarun

Merenung kepada kisah yang berlaku kepada hartawan Qarun pada zaman terdahulu iaitu tokoh ini dikurniakan harta kekayaan yang melimpah oleh Allah swt. Tapi dimana silapnya si Qarun ini sehinggakan dia ditelan bumi?

Sebelum Qarun menjadi kaya dia seorang yang taat akan perintah Allah swt. Namun setelah doanya dimakbulkan iaitu setelah dikurniakan harta kekayaan Qarun telah lupa diri sehingga berpaling daripada Allah walaupun telah berkali-kali nabi Musa as mengingatkannya supaya kembali ke pangkal jalan. Nasihat nabi Musa as tidak diendahkan oleh Qarun malah dia menjadi bertambah sombong dengan harta kekayaan yang dimilikinya itu seolah-olah harta itu mutlak hak miliknya.

Beralih kepada kisah kedua iaitu kejadian yang berlaku kepada nabi Ayub as yang menderita sakit yang berpanjangan. Kita renung kembali bagaimana teguhnya iman nabi Ayub as walaupun ujian yang begitu berat menimpa baginda tetap bertakwa kepada Allah swt. Begitu setia baginda mengabdikan diri kepada Allah swt walaupun kekayaan, kesihatan dan zuriatnya hilang dalam sekelip mata namun sedikit pun tidak merobohkan benteng takwa baginda.

Biarpun pelbagai cara iblis cuba menghasut nabi Ayub as supaya kufur namun iblis tetap kecewa hampa apabila tentera laknatullah itu masih tidak berjaya memperdaya nabi Ayub as.

Biarpun pelbagai cara iblis cuba menghasut nabi Ayub as supaya kufur namun iblis tetap kecewa hampa apabila tentera laknatullah itu masih tidak berjaya memperdaya nabi Ayub as. Di sini jelas mempamerkan akhlak terpuji baginda yang wajib kita contohi.

Jika kita asyik leka dengan urusan dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim jadi apakah bekalan yang akan kita bawa apabila pulang ke kampung akhirat kelak? Pilihan di tangan kita sendiri sama ada mahu terus hanyut bersama sifat Qarun mahupun mengambil kisah nabi Ayub as sebagai pedoman untuk menjadi seorang muslim kelas pertama di hadapan Pencipta kita kelak.

Kesimpulan

Pokok pangkalnya iman. Jika iman di hati kita teguh maka terjagalah jiwa kita daripada dakwat-dakwat hitam yang bisa mencelorengkan hodoh terhadap peribadi. Jadi jalan kehidupan yang manakah menjadi laluan kita? Sama ada jalan yang menuju kepada kehidupan yang abadi ataupun jalan kehidupan fana semata.

 

 

Maklumat Penulis

Ditulis oleh Mohd Hafizie (Hang Lekir). Seorang Guru di kota. Penulis separuh masa. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.