,

Dhimad Al-Azdi Masuk Islam Setelah Bertemu Rasulullah Yang Disangka Gila

Semasa Dhimad Al-Azdi datang ke Makkah ketika musim haji masa awal-awal perkembangan Islam di sana, dia terpengaruh dengan tuduhan kaum musyrikin bahawa Rasulullah seorang yang gila.

Kebetulan, dia sudah biasa menyembuhkan orang gila. Jadi, dia ingin membantu untuk menyembuhkan Rasulullah. Masa mereka bertemu, Dhimad menawarkan diri.

Lalu, Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya segala puji tertentu hanya bagi Allah, kita memuji dan memohon pertolongan-Nya, sesiapa yang Dia beri petunjuk maka tidak ada seorang pun yang dapat menyesatkannya, dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka tidak ada seorang pun yang dapat memberinya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, Dia Maha Esa tidak ada sekutu bagi-Nya, dan sesungguhnya Muhammad Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam adalah hambad an Rasul-Nya.”

Apa respon Dhimad? Dia minta supaya Rasulullah ulang lagi. Lalu, Baginda ulang sebanyak tiga kali.

Kata Dhimad: “Aku telah mendengar perkataan tukang ramal, perkataan ahli sihir, perkataan para penyair, tetapi aku tidak pernah mendengar perkataan seperti yang engkau katakan. Perkataan engkau telah mencapai nilai puncak tinggi.”

Akhirnya, Dhimad berbai’ah kepada Rasulullah dan masuk Islam, dalam masa yang sama Dhimad juga berbai’ah untuk kaumnya juga supaya masuk islam.

Antara pengajaran yang boleh diambil adalah mengambil teladan daripada dua sikap Rasulullah iaitu sabar dan kelembutan.

Bayangkan, Dhimad berjumpa Baginda kononnya untuk sembuhkan penyakit gila, jadi sepatutnya sudah tentu perkara ni akan membuatkan seseorang marah, tapi berbeza dengan Rasulullah.

Baginda terima perkataan Dhimad dengan lembut dan tenang, sehingga memilih untuk masuk Islam.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)