Kaum musyrikin sedar bahawa Rasulullah ada seorang yang dipercayai di Mekah, tapi apabila Baginda mengatakan bahawa dirinya utusan Allah, mereka terus menolaknya.
Mereka beranggapan bahawa rasul sepatutnya daripada malaikat, bukannya manusia. Dalam Al-Quran ada dinyatakan:
“Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ”
Padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).”
(Surah Al-An’aam 6:8)
Bukan itu saja, malah mereka inginkan rasul yang tidak makan atau minum seperti manusia biasa, dan tidak berjalan di pasar, seolah-olah bukan manusia!
“Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar,
dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)?
Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).”
(Surah Al-Furqaan 25:20)
Tak puas lagi menolak rasul, mereka tuduh pula bahawa Rasulullah sebagai orang gila, tukang tenung, penyair, tukang sihir, pendusta, dan macam-macam lagi.
Lalu, Allah turunkan ayat Al-Quran untuk menjelaskan bahawa para rasul terdahulu juga dihina kaum mereka dan diberikan balasan azab atas perbuatan mereka.
“Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.”
(Surah Al-An’aam 6:10)
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)