,

Kesetiaan Amr Bin Abasah Untuk Masuk Islam

Masa zaman awal Islam di Makkah, Amr bin Abasah yang datang dari luar Makkah adalah antara orang yang terpengaruh dengan kaum musyrikin yang melabel Rasulullah dengan pelbagai gelaran buruk.

Lalu, dia menaiki tunggangan dan berusaha mencari Rasulullah, masa tu Baginda sedang bersembunyi, hindarkan diri daripada tindakan keji kaumnya. Setelah Amr bin Abasah bermohon untuk ketemu Rasulullah, dia bertanya beberapa soalan kepada Baginda.

Rasulullah menyatakan bahawa dirinya adalah seorang Nabi yang diutuskan Allah untuk menyambung silaturrahim, menghancurkan berhala-berhala, agar mentauhidkan Allah dan tidak mensekutukan dengan sesuatu apa pun.

Amr bin Abasah mengambil keputusan untuk mengikut Rasulullah, namun Baginda memberi respon: “Sesungguhnya engkau tidak akan mampu untuk itu pada hari ini, tidakkah engkau melihat keadaanku dan keadaan orang-orang di sekitarku? Tetapi, kembalilah kepada keluargamu, dan jika engkau telah mendengar aku telah muncul, maka datangilah aku.”

Beberapa tahun selepas itu, ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, Amr bin Abasah tahu tentang perkara tersebut dan bertanya kepada orang-orang yang berasal dari Madinah. Kata mereka, kaum Rasulullah di Makkah nak bunuhnya tapi gagal. Lalu, Amr bin Abasah bergegas ke Madinah untuk ketemu Baginda semula.

Dia bertanya kepada Rasulullah, adakah Baginda masih mengingatinya. Jawab Rasulullah, “Ya, engkau yang menemuiku di Makkah.”

Sebagai pengajaran daripada kisah ini, lihat bagaimana Rasulullah mengarahkan Amr bin Abasah untuk kembali semula kepada kaumnya supaya dia tak mendapat seksaan, memandangkan keadaan Islam di Makkah pada awalnya masih belum stabil.

Lalu, atas kesetiaannya kepada Rasulullah, beberapa tahun selepas itu, dia nekad untuk bertemu semula Baginda setelah keadaan Islam semakin aman di Madinah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)