,

Cinta Itu Benih Kesungguhan

Dari jauh aku memerhati gelagat mak cik Ainon. Perlahan-lahan dia menyelak helaian muka surat yang akan dibacakan di hadapanku. Surah Al-Kauthar.

Jelas kesungguhan yang terpancar pada kedut wajah ibu tua itu.

Mak cik Ainon adalah antara pelajar yang sangat aku kagumi. Seorang ibu tua yang bukan sahaja cintakan ilmu, bahkan dia antara anak muridku yang benar-benar mempamerkan perintah yang terkandung dalam surah al-Asr.

Mempunyai disipilin yang begitu tinggi berkaitan soal masa. Masakan tidak, 20 minit sebelum kelas bermula, sosok wanita itu pasti sudah terpacak di dalam kelas.

“Ustaz, mak cik ulang balik ye surah ni. Tak lancar lagi”.

“Boleh je mak cik.” Aku sekadar tersenyum.

Satu persatu perkataan disebut. Kadangkala, ibu-ibu yang duduk berhampiran dengan mak cik Ainon turut sama membantunya. Dia sedikit pun tidak berasa kekok.

Meski mak cik Ainon sudah menjangkau usia separuh abad, kegigihan dan semangatnya dalam menuntut ilmu mungkin saja mengatasi usaha anak muda sepertiku.

Jujur aku akui, meskipun mak cik Ainon sedikit ketinggalan berbanding teman-teman sepengajian yang lain terutama dari segi kelancaran dan sebutan huruf, namun mak cik sedikit pun tidak pernah mempamerkan simptom-simptom penyakit ‘putus asa’.

Bahkan perkara tersebut menjadi pemangkin untuknya terus menapak ke hadapan tanpa memilih untuk terus terjatuh.

“Ustaz, cuba dengar bacaan mak cik. Ada silap lagi tak?” Mak cik memulakan bacaan.

“Alhamdulilah. Baik bacaan mak cik. InsyaAllah, kalau mak cik latih dan sentiasa lazimi baca al-Quran, bacaan mak cik akan bertambah baik… macam malam ni.”

Kata-kata tadi berhasil mengukir senyuman pada ulas bibir mak cik Ainon.

“Terima kasih, ustaz “

Ada perkara penting yang aku pelajari daripada seorang insan yang bernama mak cik Ainon, iaitu perihal cinta.

Tentang soal cinta lewat kesungguhannya terhadap ilmu. Betapa cinta itu menurutku, adalah benteng yang mampu menutup segenap ruang daripada ditembusi rasa sakit yang meranapkan.

Sakit yang mampu mematikan api keazaman dan kesungguhan. Soal cinta yang benar-benar tertanam di dalam hati, sehinggakan rasa penyerahan terhadap ketertewasan itu bahkan tidak wujud lagi.

Benih-benih cinta harus mulai tertanam di dalam diri. Pada apapun yang dihajati, asal ia dimulakan dengan rasa cinta, di hujungnya pasti tidak akan berakhir dengan kekecewaan. Dengan cinta, kita akan bermati-matian mengejar apa yang dimpikan.

Seperti mak cik Ainon yang sentiasa mendidik hatinya dengan kecintaan terhadap ilmu. Sehingga hari demi hari, yang mulai tumbuh dari benih cinta dalam hatinya adalah batang pohon kesungguhan yang sentiasa memberi teguh pada dirinya.

Yang semakin utuh sehingga dirinya tidak terdaya ditumbangkan angin kekecewaan dan kekalahan.

Untuk seseorang seperti mak cik Ainon yang sentiasa inginkan peningkatan dan kebaikan dalam dirinya, pastinya dia memillih untuk tidak berputus asa kerana yang mendorongnya untuk menjadi seperti itu adalah berkat rasa cintanya terhadap ilmu.

Benar. Kita harus sentiasa mendidik jiwa dengan rasa cinta. Dalam apapun hal yang kita kerjakan. Dan untuk seorang hamba yang hidup bertuhan, paling tidak cinta itu harus selamanya diabadikan kepada yang Maha Kuasa kerana daripada cinta itulah, lahirnya sebuah kesungguhan.

“Terima Kasih mak cik Ainon… atas ilmu yang diberikan lewat kesungguhan yang mak cik pamerkan.” Bisik suara kecilku.

Kata Pak hamka : Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Sabirrin bin Md Zahar. Merupakan pelajar Biomedik di UIAM, Kuantan. Ikuti perkembangan beliau di Instagram: muhd.sob_zahar dan juga blog kolaborasi bersama rakan iaitu leinspirationmy.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%