,

Berdepan Dengan Santau (bahagian 3-akhir)

Dalam perubatan Islam, masalah kesihatan fizikal pun boleh disebabkan oleh makhluk ghaib iaitu jin dan syaitan.

Hayati maksud Surah As syuara’ ayat 80 yang berrmaksud: “Maka apabila aku sakit, Allah yang menyembuhkanku”.

Pawang Ngah yang sedang berdiri di situ terpana dengan kehadiran Maria. Mayang di tangannya terlepas jatuh ke lantai. Pawang yang sudah tua itu keluar dalam keadaan tidak puas hati.

“Ibu…” aku mendakap erat tubuh Ibu yang terperosok lemah. Darah yang keluar dari mulutnya kubersihkan.

“Maria… Ibu sudah tidak larat…” esak Ibu.

“Sabar ibu, Maria cuba pujuk ayah bawa ibu berawat ke pusat rawatan Islam.”

PONDOK Pawang Ngah kelihatan begitu usang. Daun-daun bakau melambai-lambai terjulur seperti tangan raksaksa. Seorang anak muridnya berpakaian hitam turut di situ bermusyawarah berkenaan gadis bernama Maria.

Di pondok ini jua, lubuk di mana manusia terpukat dalam jerat kesyirikan yang jelas, orang-orang yang tidak berfikir panjang, yang merenggut nyawa kerana dengki dan dendamnya, bernafsu serakah, yang ingin melariskan produk perniagaan masing-masing, tangkal azimat, kebal, dan banyak lagi ilmu-ilmu sihir padahal ianya melibatkan perjanjian antara jin dan syaitan.

Akhirnya makhluk halus inilah yang akan merosakkan kebahagiaan dan keharmoniaan rumah tangga, masyarakat, dan negara dan lebih teruk merosakkan diri sendiri.

“Kita akan mencari jalan bagaimana ingin menghapuskan Maria.” Pawang Ngah bersama anak muridnya merencana sesuatu.

MALAM ketika bulan mengambang, Pawang Ngah mulai memasang mantra dan azimat untuk menyantau Maria. Gambar, helaian rambut yang dicuri di sikat, dan patung vodoo dicengkam dalam genggaman.

Suasana senyap sunyi. Maria duduk di tikar sejadah. Tasbih ditangannya tidak lekang diputarkan. Dia dapat merasa ada sesuatu yang tidak senang menyerbu hatinya.

Kreeekk Kreeekkk, bunyi anomotopia di silling kedengaran seperti ada sesuatu yang merangkak.

Maria bangun perlahan seraya peluh berkucuran membasahi pipi. Namun dia percaya perasaan takut selain daripada Allah adalah perbuatan syirik tersembunyi. Maria memberanikan diri membaca ayat ruqyah, berzikir dan bertahlil seperti yang dinasihatkan Ustaz Zikri.

Ya Allah, hanya Engkau yang kumaksudkan, dan hanya keredhaanMu yang aku kehendaki.”

Hanya itu yang terlintas di hatinya. Hinggalah gangguan itu sepertinya perlahan-lahan menghilang. Ditelani bunyi desibel hujan yang lebat yang selang menjelang.

Halilintar dari langit menyambar pondok Pawang Ngah. Badan Pawang Ngah terasa panas seperti terbakar ketika membaca jampi. Satu badannya tidak terasa kekejangan dan dia berlari keluar.

Akhirnya Pawang Ngah jatuh tersungkur di kolong rumah dan terguling-guling di atas tangga kayu.

Beberapa hari setelahnya, Maria membawa ibunya berjumpa pakar perubatan Islam untuk merawat masalah yang menimpa. Akhirnya terbongkar jua bahawa yang menyihir ibu Maria adalah kenalan ibunya terdekat sendiri.

Buktinya penemuan barang berupa bungkusan kain putih yang diisi paku, rambut dan beberapa serpihan tulang di dalam kereta ibu menjelang hari itu. Barang misteri pemberian kenalan ibu itu segera aku serahkan kepada Ustaz Zikri untuk dihapuskan.

“Tapikan Ustaz Zikri, kenapa saya juga diganggu oleh makhluk halus seperti gangguan suara dan sesak-sesak dada? Adik saya juga turut mendapat gangguan mimpi. Sedangkan yang disantau hanyalah ibu saya?”

“Itulah kesan sihir, bila ibu dah kena, anak-anak pun turut terkena tempiasnya. Kerana itu dosa syirik adalah dosa paling besar kerana memudharatkan satu keturunan,” lafaz Ustaz Zikri.

“Oh, begitu. Syukur alhamdulillah semuanya sudah selamat.”

Segalanya sudah berlalu, tak terduga kini aku menjadi salah seorang pengamal perubatan Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Pawang Ngah pula dilandai strok dan lumpuh seluruh badan telah pun kembali ke pangkuan Ilahi. Pawang Ngah juga sempat bertaubat selepas meminta khidmat nasihat daripada pak cik saudaranya sendiri iaitu Ustaz Zikri.

“Apa perubatan Islam ini? Semuanya karut.” Seorang tetamu menengking Ustaz Zikri dari luar.

Akan tetapi dengan tenang, Ustaz Zikri tidak melayani provokasi itu. Seterusnya dia masuk kembali ke dalam pusat rawatan.

“Bagaimana dengan isteri Encik Phalavan?” soal Ustaz Zikri.

“InshaAllah, rawatan susulan akan dilakukan selepas ini. Mudahan isteri Encik Phalavan tidak lagi menemui mana-mana bomoh yang menggunakan kaedah jin dan syaitan sebagai metodologi rawatan.”

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani mengatakan: “Jauhilah sifat syirik, baik syirik lahiriah ataupun batiniah. Sifat syirik lahiriah seperti menyembah patung atau berhala, sementara syirik batiniah seperti bersandar kepada makhluk dan hanya memerhatikan kepadanya, baik dalam kemudharatan ataupun dalam manfaat.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)