Sebuah bengkel rawatan Islam anjuran pengamal perubatan Islam di Malaysia iaitu Gabungan Persatuan Perawat Islam Malaysia (GAPPIMA) diadakan di dewan seminar. Maria ketika itu cekat mencatit setiap bait-bait ilmu yang disampaikan.
Sebelum mengakhiri kelas perubatan Islam, Ustaz Zikri mengingatkan kepada hadirin tentang ruqyah yang dilarang.
Menurut al-Juraisi, ruqyah yang dilarang oleh syarak dapat dijelaskan sebagai ruqyah yang tidak mempunyai apa-apa makna yang diiktiraf dalam Islam.
Ianya seperti ruqyah pada zaman jahiliyah yang terkandung dalamnya unsur syirik yang jelas atau samar yang membawa kepada syirik.
Terkini, banyak ayat-ayat jampi diislamisasikan oleh bomoh-bomoh dengan menukarkannya dalam bentuk ayat-ayat Al-Quran antaranya Qul Huwallah songsang.
Oleh itu umat Islam diminta berhati-hati sekiranya menemui pengamal perubatan yang samar-samar ini.
Setelah habis bengkel, Maria menaiki tangga fakulti dalam keadaan lesu dan tak bermaya. Dari siang tadi, badannya lenguh-lenguh dan begitu panas.Tiba-tiba telefonya berdering dan lekas diangkatnya.
“Maria, ibu kamu semakin sakit teruk,” kata Pak Danial, ayah kepada Maria.
Buku-buku di tangan Maria terjatuh dan terlangkup begitu sahaja. Takungan air matanya tidak terempang lagi dan pecah deras.
Maria mengetap bibir dan tersungkur di bahu tangga dalam limpahan khuatir dan kesedihan. Ibunya disantau sejak berbulan-bulan lamanya. Penyakit ibu juga tidak sembuh-sembuh sampai sekarang.
AKU pulang ke kampung halaman atas keizinan pihak universiti. Kajianku tentang Hinduisme tergendala buat seketika. Kampungku terletak di daerah pedalaman yang tersisih dari dunia metropolitan.
Aku sampai ke kampung halaman ketika larut malam mengundang. Butiran zikir tidak terhenti di sudut hatiku.
Di dapur tradisional, Pawang Ngah yang terkenal di kampung itu memasukkan daun sirih dan bahan-bahan upacara ke dalam gobek seraya dibakar lalu mengeluarkan kepulan asap-asap yang mengelabu.
“Ayah. Di mana ibu dan siapa pula lelaki di dapur,” sosekku kepada ayah.
“Ibu berada di bilik bersama adik kamu. Di dapur itu Pawang Ngah, tabib yang akan merawat ibu kamu. Dia orang lama di kampung kita.”
“Apa? Pawang?” Aku terhenyak dalam keremukan, “Ayah bukankah kita tidak boleh mempunyai apa-apa hubungan dengan ahli sihir. Mengapa ayah…”
“Shhhh. Habis tu kamu ingin lihat ibu kamu terpekik melolong setiap malam.”
“Tak nak, ayah tetapi pasti ada cara yang lain yang lebih islamik. Ruqyah contohnya..”
Aku tidak mahu menyalahkan ayah. Mungkin kerana budaya kampung ini yang masih kuat dengan amalan tradisi nenek moyang.
Tiba-tiba lampu rumah terpadam. Kedengaran bunyi kaca pecah dan jendela terbuka terkatup mendebarkan perasaanku. Bunyi pintu terkuak. Kemudian lampu terpasang semula dan wajah ibu kelihatan di sudut pintu.
“Ille Ille Ille.. !!!” Ibu menjerit dalam bahasa Tamil dengan kuat. Dalam keadaan itu mulutku terkumat-kamit.
Cuba sesekali aku mengimbas kembali nasihat pengamal perubatan Islam bernama Ustaz Zikri, untuk sentiasa tenang hadapi situasi seperti ini.
Kemudian Ibu semakin meracau. Botol air mineral bercampur garam dan bacaan ruqyah pemberian Ustaz Zikri yang terperosok dalam kantung beg, aku keluarkan.
“Adik, pegang badan ibu,” aku menyuruh Ebeid menenangkan ibu di tikar pembaringan. Dengan perlahan air ruqyah itu kusapu di bahagian kepala dan diusap ke bahagian dada.
Aku percaya dengan konsep yang diajar oleh Ustaz Zikri lagi iaitu konsep Asbab, Musabab dan Musabbibal Asbab dalam perubatan Islam.
Prof. Dr. Jahid Sidek ada menerangkan, Sains perubatan moden hanya menghubungkan antara Asbab dan Musabab. Bila sakit kita makan ubat (asbab), kita sihat (musabab). Itu dibuktikan dalam kajian sains. Tetapi meninggalkan Musabbibal Asbab (Allah).
Sebagai perawat Muslim kita harus mementingkan Musabbibal Asbab iaitu Allah yang Maha Penyembuh.
Banyak urusan kita diuruskan oleh-Nya yang tidak dapat dibuktikan oleh sains, kecuali dengan kuasa dan kehendak Allah. Dalam soal asbab-musabab dalam perubatan moden juga tidak lengkap.
Banyak yang tersembunyi dan tidak dapat diterangkan dengan baik.
Contohnya penyakit berkaitan jiwa, (contoh was-was, cemburu dan rasa dengki) adalah disebabkan oleh iblis, syaitan dan jin bersifat iblis dan syaitan.
> bersambung Berdepan Dengan Santau (bahagian 3-akhir) <
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com
Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)