,

Berdepan Dengan Santau (bahagian 1)

PUSAT RAWATAN ISLAM AL-HIDAYAH, pada hari minggu pusat rawatan itu penuh dengan tetamu yang mendapatkan khidmat rawatan.

Namaku Maria Qibtiya, pelajar akhir pengajian Akidah dan Agama di universiti tempatan. Bagi melengkapkan pengajian, aku menyambung latihan industri di pusat rawatan alternatif terdaftar di bawah jabatan agama Islam selama enam bulan bersama sahabat karibku Durrar.

“Kenapa isteri kamu berbau lembu?” Soal Ustaz Zikri. Tenaga perawat yang sudah berpengalaman itu berasa hairan dengan kedatangan sepasang pelawat berbangsa India Muslim yang kepingin berawat di sini.

“Itulah Ustaz. Kami ada berjumpa tabib yang pandai berubat. Dia gunakan kaedah sebatan dengan tali ikat hidung lembu, tapi penyakit isteri saya tidak jua pulih-pulih. Tolonglah isteri saya ustaz,” luah Encik Phalavan.

Encik Phalavan mengeluh akan nasib yang menimpa isterinya yang terkena angin ahmar. Pelbagai pakar perubatan dicari Encik Phalavan tetapi semuanya hambar.

Ketika itu Maria, dengan bertudung bawal dan berbaju kurung moden biru menyibak-nyibak helaian kertas tentang maklumat pesakit.

Selaku perawat wanita, dia mencuba untuk berjiwa lelaki dalam mengharungi lautan ilmu perubatan Islam.

“Maria, ada pengunjung wanita dari jauh ingin berawat. Kamu uruskan ya.”

“Baik Ustaz Zikri.” Mariyya menyapa isteri Encik Phalavan dengan ramah mesra. Sambil memeriksa keadaan wanita itu. Itulah pesakit pertama sepanjang bermulanya praktikalnya di sini.

Setelah menyelidiki sejarah perubatan pesakit, memang pesakit ada mengunjungi dukun yang menggunakan unsur-unsur jin dalam proses perawatan.

“Puan saya minta izin untuk potong gelang merah di tangan puan ini ya.”

Melalui pengalamannya, Maria yakin jika gelang merah itu adalah tangkal yang diberi oleh seorang pawang. Setelah mendapat keizinan, gelang itu diserahkan kepada Durrar.

“Durrar, pergi bakar gelang ini.”

Melihat Durrar yang agak kekok itu, sekerlip memori menjengah dalam ingatan. Bagaimana aku menghadapi sendiri penyakit santau yang menimpa keluargaku.

Ceritanya bermula kala semester enam. Masih segar membugar dalam mindaku, kami membuat kajian tentang topik Hinduisme. Berdialog dengan sami di kuil adalah tugas kami semua selaku pelajar Akidah dan Agama.

“Mariaaa……” sebuah bisikan nyaring menusuk telingaku dari sudut kejauhan. Kelihatan kelibat lembaga hitam dengan rambut gondrong berkerusut, mata merah mencalak, bertenggek di atas tembok memerhatikan Maria.

Maria mendakap lengan Durrar. Kepalanya berpusing manakala dadanya terasa sesak.

“Mengapa Maria? Ada sesuatu yang tak kena.”

“Aku dengar ada sesuatu panggil nama aku atas tembok kuil tadi,” ujar Maria dalam gigil.

Durrar mendongak dan mengelayau mencari sesuatu di atas.

“Mana… tak ada apa-apa pun,” tegas Durrar.

Maria memandang ke atas kembali. Kelibat itu hilang seperti dalam cerita filem sensasi.

Hujan turun menikami bumi Nilai, Seremban. Setelah berdialog bersama golongan sami, rombongan dari fakulti pengajian akidah dan agama pun pulang.

“Betul. Aku dengar ada sesuatu panggil nama aku tadi.” Maria memaksa Durrar untuk mempercayainya.

“Maria. Mungkin itu bayangan kau aje. Atau kau tak baca ayat kursi dengan yakin sebelum masuk kuil tadi. Aaa… nanti di rumah jangan lupa baca ayat ruqyah banyak-banyak.”

Maria angguk. Pipinya digembol tanda protes.

“Kedudukan ruqyah patuh syariah dianggap sebagai salah satu perubatan yang terpenting yang diambil daripada wahyu al-Quran al-Karim dan Hadis. Ianya masih lagi kekal diamalkan oleh orang Islam semenjak zaman dahulu sehingga sampai pada zaman era globalisasi kini.

Ruqyah patuh syariah bermaksud bacaan ayat al-Qur’an al-Karim dan sebahagian doa-doa bersumberkan daripada hadis Nabi SAW serta menghembuskan nafas ke atas orang yang sakit atau dalam erti kata lain menjampinya.

Selain itu, ruqyah juga digunakan dengan cara menghembuskan nafas ke atas anggota badan yang ditimpa penyakit (Muhammad Ratib, 2012)**.”

** RUQYAH TERAS PERUBATAN ISLAM Phayilah Yama Ikmal Zaidi Hashim Farhah Zaidar Mohamed Ramli Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

 

> bersambung Berdepan Dengan Santau (bahagian 2) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%