,

Beranilah Melakar Mimpi

Saya percaya setiap daripada kita mempunyai mimpi, cita-cita dan impian dalam hidup. Impian untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi tidak kisah sama ada dalam bidang kerjaya, pelajaran, keluarga, perniagaan dan sebagainya.

Namun, saya perasan kita ada satu ketakutan dalam diri kita iaitu takut untuk bermimpi dan takut untuk mempunyai impian yang besar.

Tidak mungkin impian aku akan tercapai. Macam tidak logik saja.”

“Aku tidak nampak pun cara macam mana nak berjaya. Aku terima keadaan macam ini.”

Kita perlu berani untuk melakar impian yang besar kerana daripada impianlah, maka terlahir semangat dan usaha untuk mengejar impian kita.

Biarpun orang sekeliling kita mentertawakan kita kerana berasa mustahil dengan impian kita kerana mungkin mereka tidak menyedari di sebalik impian tersebut wujudnya kuasa yang mampu mewujudkan setiap impian iaitu ALLAH.

Kita perlu yakin dan bersangka baik kepada ALLAH kerana ALLAH akan menurut persangkaan kita.

Tulislah mimpi dan impian kita di atas kertas kerana suatu saat nanti kita akan melihat satu persatu impian kita tercapai dengan izin ALLAH.

Jadilah insan luar biasa hebat dalam apa jua aspek kerana kita ada ALLAH yang Maha Hebat.

Ketakutan kita akan kegagalan mungkin merupakan mimpi ngeri yang menghalang kita untuk bercita-cita besar.

Tetapi tenanglah sekiranya kita pernah gagal dan sedang gagal kerana setiap mereka yang berjaya dalam hidup, mempunyai cerita gagal mereka yang tersendiri yang berjaya menguatkan mereka untuk bangkit dan berjuang dalam hidup.

Orang yang berjaya selepas mengalami episod kegagalan dalam hidup merupakan insan bertuah pilihan ALLAH yang mendapat tarbiyah secara langsung daripada ALLAH kerana mereka yang gagal biasanya lebih rapat dengan ALLAH.

Maka apabila mereka mengecapi impian, keimanan dan keyakinan mereka lebih besar kepada ALLAH. Betapa manisnya kejayaan mereka apabila semuanya adalah kerana ALLAH.

Oleh itu, kita perlu jelas dengan hala tuju impian kita supaya ianya menjadi pushing force kepada kita di saat kita lemah semangat… di saat kita lelah… di saat kita hampir berputus asa… kita perlu tanyakan dalam diri kita:

Apa impian aku nanti? Impian yang tetap akan aku teruskan walaupun tiada jaminan pangkat, harta dan dunia. Sesuatu yang merupakan passion aku.

“Apa tujuan perjuangan aku?… apa yang aku kejar?… habuan dunia atau akhirat?”

Kenapa aku nak berjaya? Jika kerana duit, maka jika aku ada banyak duit adakah aku akan bahagia? Jika aku tidak bahagia?

Jika kita mampu menemukan jawapan yang tepat, maka teruskan merealisasi impian kita. Jika kita tidak menemukan jawapan yang dicari?

Istikharah dan mintalah petunjuk kepada ALLAH kerana setiap keputusan yang kita buat memerlukan pertolongan daripada ALLAH kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui setiap perkara dan keputusan dalam hidup kita.

Setiap orang sentiasa berharap agar setiap daripada impian mereka akan tercapai. Kita seharusnya perlu yakin dan berharap agar ALLAH membantu kita merealisasikan impian kita.

Akan tetapi jika kita telah berusaha sedaya upaya namun berlaku sebaliknya maka berbaliklah kepada ALLAH kerana kita merancang, ALLAH juga merancang tetapi perancangan ALLAH itu lebih baik untuk kita.

Jangan pernah berhenti berharap daripada rahmat ALLAH dan beranilah bermimpi kerana suatu saat nanti kita akan tersenyum kerana mimpi yang dianggap mustahil akhirnya terhidang di depan mata.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Kelantan. Merupakan pelajar ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.