,

Impian Yang Berkilauan

Setiap orang di dunia ini pasti ada impian kecil di dalam hatinya, walaupun sekarang dia melakukan perkara yang bertentangan dengan impiannya.

Tetapi, kalau kau rasa ingin mencuba mendapatkannya apa salahnya kan?

Kau ada satu impian. Kau mula mencuba mendapatkan impian itu. Malangnya impianmu itu ditentang keras. Malah jalan yang kau lalui juga sungguh sukar sehinggakan kau ingin mengalah.

Orang di sekeliling memandang rendah dengan usahamu. Mereka merasakan mustahil kau akan berjaya. Bagi mereka, orang biasa macam kau mana mungkin dapat menggapai bintang di langit.

Mereka bukan sahaja tidak membantu, malah mereka sering merendah-rendahkanmu. Memberi kata-kata negatif yang melemahkan semangatmu.

Kalau kita sentiasa memegang apa yang orang kata, sampai bila-bila kita tak akan maju. Kalau kau asyik fikirkan kritikan dan kecaman, hidup kau tak akan berubah. Sebab kau hanya statik berdiri di tempat yang sama.

Impian tidak menjadi kenyataan, kau pula hidup di dalam kesedihan. Jangan biarkan apa yang orang kata menguasai fikiranmu. Tapi jadikan kata-kata negatif itu sebagai pemangkin untuk kau berusaha menjadi lebih baik.

Kadang-kadang, walaupun impian kita sungguh besar dan kita yakin yang kita akan berjaya. Belum tentu lagi orang akan setuju dengan apa yang kau fikirkan. Itulah hakikat hidup, menjatuhkan semangat orang adalah satu kebiasaan.

Teman, kalau kau betul-betul inginkan impian itu, teruskan! Jangan dengar kutukan orang, pekakkan telinga kau. Kerana ini adalah hidup kau, kau yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas hidup kau.

Lainlah apa yang kau nak buat itu bertentangan dengan syarak. Itu jelas sudah salah dan tidak boleh untuk kita lakukan.

Berapa banyak kisah orang yang berjaya bermula daripada,

“Kau tak boleh buat punya. Tak ada lagi orang yang berjaya mencapai impian itu.”

Orang yang berjaya itu memilih gerak hatinya walaupun kata-kata negatif dilempar pada mereka.

Sebab apa? Sebab mereka percaya yang mereka boleh lakukannya. Dan mereka percaya tak ada yang mustahil di dalam dunia ini. Mereka ikut kata hati mereka.

Orang seperti mereka adalah contoh terbaik untuk kita ikuti. Kadangkala, kita perlu keraskan hati kita untuk melakukan sesuatu. Jangan terlalu diturutkan kata-kata orang.

Barangkali mereka hanya melepaskan rasa kesal mereka kerana gagal mendapat apa yang dihajati. Sebab itulah mereka merendah-rendahkan kita.

Teman, kejayaan itu ada di hadapan. Kita akan mendapatnya jika kita mula melangkah. Tetapi jika kita berhenti, sampai bila-bila kita tak akan mencapai kejayaan itu.

The truth is nobody knows what’s inside of you.
Only you know what’s inside of you.
Only you know what you can accomplish.
What you’re capable of. Your dreams, your desires, your ability, you only know.
Whatever you feel in your gut, follow that.
-Jennifer Lopez-

Berusahalah sebaik mungkin dan jangan letakkan harapan terlalu tinggi. Bukanlah tidak yakin kita akan berjaya tetapi sebagai langkah berjaga-jaga supaya kita tak kecewa.

Kerana kalau kita meletakkan harapan terlalu tinggi kita akan berisiko mendapat kemurungan jika gagal mencapai misi.

Kerana aku sendiri sudah melaluinya.

Aku meletakkan harapan sangat tinggi. Lalu, bila aku gagal mendapat apa yang aku impikan aku berasa sedih yang teramat. Aku kecewa, aku putus asa. Akhirnya aku berhenti melangkah, hidup di dalam kesedihan sepanjang masa.

Sehinggalah aku sedar bahawa kalau kita nak buat sesuatu kita kena bersederhana. Biarlah separuh hati kita yakin yang kita akan berjaya dan separuh lagi tidak mengharap. Kalau berjaya kita bersyukur, kalau gagal tak apa ada lagi rezeki lain untuk kita.

Kalau nak sesuatu kita kena usahakan. Bukannya hanya berdoa dan pasrah dengan takdir. Kita kena berdoa, berusaha dan bertawakal. Barulah betul.

Kau kena tahu, jalan yang kau bakal lalui bukan senang seperti yang kau jangka. Ia sangat sukar dan melelahkan kau sebenarnya.

Semuanya hanya terletak pada kau. Sama ada kau tetap nak cuba walaupun dalam keadaan merangkak. Atau berhenti ketika kau sendiri sangat hampir dengan garisan penamat. Semuanya terletak pada tangan kau.

Kuncinya hanyalah,

“Kuatkan semangat. Kau boleh buat.”

Percayalah, kau akan berjaya menjadikan impian kau sebagai realiti jika kau berusaha mendapatkannya. Yakin pada diri sendiri, hanya kau sahaja mampu menolong diri sendiri.

Kejayaan itu bermula daripada blood, sweat and tears.

Jalan itu kelam tak bercahaya
Aku meredah dengan rasa takut
Ada juga rasa berani yang tenggelam timbul
Aku was-was dengan tindakanku
Tetapi bila aku teringatkan akan apa yang aku mahukan
Tanpa gentar terus aku meredah kegelapan malam
Dengan meletakkan sepenuh hatiku,
bertawakal pada Tuhan
-yaya-

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Krystal Hazel (nama pena).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.