,

Husnul Khotimah Yang Didambakan

Apa itu husnul khotimah?

Husnul khotimah adalah pengakhiran/kesudahan yang baik saat menjelang kematian. Setiap antara kita pasti mendambakan husnul khotimah akan tetapi tidak ramai yang berusaha untuk merebut husnul khotimah.

Cara kita menjalani kehidupan kita menentukan cara kita meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, kita mestilah berusaha supaya cara hidup kita menepati syariat yang ALLAH tetapkan dan memohon kepada ALLAH supaya pengakhiran hidup kita adalah pengakhiran yang baik.

Husnul khotimah adalah permulaan kepada kehidupan kita di alam barzakh. Jika kita meninggal dalam keadaan yang baik dan dalam keadaan ALLAH redha dengan kita, maka InshaAllah, proses seterusnya akan menjadi mudah dengan izin ALLAH.

Bila mana ALLAH mencintai seseorang hambaNya, maka ALLAH akan memuliakannya dengan kematian yang baik.

ALLAH akan sibukkan seseorang itu supaya melakukan amal soleh kemudian ALLAH akan mengambil nyawanya ketika sedang beramal soleh. ALLAH yang tentukan cara kematiannya dan ALLAH jualah yang mengaturkan cara kematiannya.

Adakah kita menyangka bahawa kematian ketika di dalam masjid, sedang solat, sedang sujud, sedang membaca Al-Quran adalah hanya kebetulan?

Adakah kita menyangka bahawa kematian ketika sedang berada di Mekah, ketika sedang haji dan umrah adalah kematian yang kebetulan?

Adakah kematian yang berlaku pada hari Jumaat, di bulan Ramadhan adalah suatu kebetulan?

Tiada yang kebetulan dalam hidup kita melainkan ALLAH yang Maha Kuasa yang mengaturkan cara kematian husnul khotimah kepada hamba-hamba pilihanNya.

Jika kita telusuri kisah hidup dan sosok mereka yang mendapat husnul khotimah, mereka adalah orang yang rapat dengan ALLAH. Mereka orang yang mengaplikasikan Islam dalam kehidupan seharian.

Mereka adalah orang-orang yang menjaga solat, menjaga hubungan dengan ALLAH, menjaga hubungan dengan manusia dan berakhlak mulia. Mereka datang dengan mulia sebagai khalifah ALLAH dan mereka kembali kepada ALLAH dalam keadaan yang mulia dalam husnul khotimah.

Hanya ALLAH jua yang berkuasa memberikan husnul khotimah kepada kita. Ada hamba ALLAH yang soleh ketika hidupnya akan tetapi pada saat akhir mereka kufur dan akhirnya mendapat kesudahan yang buruk.

Ada juga hamba ALLAH yang jahil pada mulanya akan tetapi pada saat menjelang akhir hidup mereka, mereka bertaubat dan berhijrah meninggalkan jahiliyah maka ALLAH kurniakan husnul khotimah.

Tiada sesiapa antara kita yang mampu meramal siapa yang akan ALLAH pilih untuk mendapatkan kematian yang husnul khotimah akan tetapi kita dituntut supaya melakukan amal soleh dengan ikhlas dan mengikut syariat yang betul.

Di samping itu, jangan pernah lupa untuk berdoa supaya kita tergolong dalam kalangan mereka yang ALLAH muliakan dengan kematian yang baik. InshaAllah.

Ya ALLAH, jika Engkau takdirkan kami mendapat su’ul khotimah, maka Engkau ubahlah takdir tersebut dan matikanlah kami dalam husnul khotimah.

Ya ALLAH, Engkau akhirilah bagi kami dengan pengakhiran yang baik dan janganlah Engkau akhiri ke atas kami pengakhiran yang buruk.

Amin ya Rabbal Alamin…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Kelantan. Merupakan pelajar ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.