,

Ajari Anak Perempuanmu Erti Malu, Ajari Anak Lelakimu Erti Tanggungjawab

Jika sebelum kedatangan Islam, maruah wanita itu seolah-olah seperti sampah, dihenyak-henyak mengikut kehendak nafsu jahiliyyah.

Wanita pada ketika itu hanya dipandang sekadar alat pemuas nafsu. Tambahan, kelahiran anak perempuan merupakan sesuatu yang amat memalukan bahkan membunuh anak perempuan yang baru lahir itu satu kemuliaan.

Di dalam Al-Quran sendiri Allah menceritakan yang bermaksud, “Padahal apabila mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam), dan dia sangat marah.” (Surah An-Nahl: 58).

Ini jelas menunjukkan bahawa kelahiran anak perempuan seolah ‘bala’ besar yang bakal menimpa mereka pada zaman itu.

Datangnya Islam, membawa satu sudut pandang baru dalam meninggikan martabat kaum ini di mata masyarakat pada ketika itu. Kedudukan wanita diangkat dan dipandang mulia.

Bertambah kegembiraan dengan datangnya khabar daripada kekasih Allah membawa berita buat ibu bapa kepada si anak perempuan.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud: “Barangsiapa yang memelihara dua anak perempuan hingga dewasa maka ia akan datang pada hari kiamat bersamaku.” (Anas bin Malik berkata: Nabi menggabungkan jari-jari jemari beliau). (Hadith Riwayat Muslim 2631)

Memiliki anak perempuan adalah ujian tersendiri bagi ibu bapa, kurniaan tersebut mungkin menjadi anugerah yang tak ternilai dan pada satu ketika juga bisa menjadi musibah.

Saat orang tua berhasil mendidik anak perempuannya dengan baik sehingga menjadi muslimah yang taat, bertakwa dan menjaga maruah diri maka pada saat itulah ia menjadi hadiah terindah bagi orang tuanya.

Akan tetapi, jika gagal ibu bapa dalam mendidik anak perempuannya maka pada akhirnya anak itu menjadi racun yang bisa memusnahkan keluarga.

Beberapa hari lepas, tersebar di laman sosial berkenaan sebuah artikel yang dikeluarkan sebuah facebook page Warga Prihatin berkenaan gejala ‘Porn-Star IG’ yang semakin berleluasa dalam kalangan anak gadis kita.

Membaca artikel tersebut membuat hati penulis bagai disiat-siat melihatkan apa yang sedang berlaku kepada anak gadis ini.

Sekali lagi seolah-olah sejarah zaman jahiliyyah berulang kembali tetapi dimensi zaman ini lebih dahsyat apabila perempuan memainkan watak utama membiarkan diri mereka dipergunakan.

Terangkatnya sifat malu daripada diri anak gadis ini dengan mencari kepuasan yang bersifat sementara. Berkongsi hal yang sepatutnya menjadi privasi dikongsikan dengan rasa bangga.

Punca utama yang dikenalpasti daripada gejala ini adalah penyalahgunaan media sosial seperti WeChat dan Instagram sebagai medan menjual maruah diri. Penggunaannya tanpa sekatan dan menjadikan kes-kes seperti ini berleluasa ‘bak cendawan tumbuh selepas hujan’.

Ke mana melayangnya sifat malu mereka? Perasaan malu tidak lagi menjadi pakaian. Di mana silapnya? Yang lebih memilukan pupusnya budaya ketimuran di Malaysia yang masyarakatnya dikenali sebagai masyarakat beradab dan wanitanya punya sifat malu yang sangat tinggi.

Keghairahan berkongsi hal peribadi sehingga menggadaikan maruah seorang wanita seolah-olah maruah itu tiada nilainya.

Secara psikologi, anak gadis seawal umur ini dahagakan perhatian daripada orang sekeliling. Jika perhatian daripada ibu bapanya kurang, peluang untuk mencari perhatian dari sumber luar sangat tinggi dan di sinilah ‘jarum-jarum’ jantan durjana mula menusuki pemikiran mangsa mereka.

Saat malu tidak lagi menjadi benteng diri maka lebih mudahlah ‘kerja’ si pemangsa. Pesanan buat para ibu, didiklah anak gadismu dengan sifat malu, supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Dari sudut pandang lain, ‘Lelaki pemimpin masyarakat’, terma ini sudah sangat sebati dengan adat manusia.

Lelaki diletakkan sebagai insan yang berperanan dalam memimpin, namun apa yang berlaku sejak kebelakangan ini mengugurkan sedikit demi sedikit kredibiliti lelaki sebagai insan yang bertanggungjawab melindungi wanita.

Tergugat disebabkan sebilangan daripada kaum ini yang mempergunakan wanita untuk kepuasan diri sendiri.

Bila berbicara soal tanggungjawab, wajib bagi bapa menunjukkan tauladan terbaik menerapkan unsur bertanggungjawab kepada anak lelaki terutamanya apabila melibatkan urusan berkaitan dengan berlainan jantina.

Penerapan nilai tanggungjawab dalam diri anak lelaki ini mampu memberi impak yang sangat positif kepada perkembangan sosial mereka.

Bertanggungjawab dengan keputusan yang dibuat merupakan unsur terpenting bagi ketua keluarga.

Bertanggungjawab dalam setiap tindakan dilakukan supaya setiap perkara tidak hanya dipandang dengan kaca mata kesan jangka pendek sahaja.

Pesan buat sang bapa, “Didiklah anak lelakimu erti ‘tanggungjawab’.

Jika direnung dan diteliti kembali kedua-dua aspek ini ‘malu’ dan ‘tanggungjawab’ perlu bergerak selari.

Dan hasil daripada pengimplementasian kedua-dua unsur ini mampu melahirkan generasi yang berjaya membawa diri ke mana sahaja mereka diletak dan mampu berdepan dengan keganasan perang pemikiran yang berlaku pada zaman teknologi yang terlalu pesat dan cepat ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Syafiqah binti Mohamad. Merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Syafiqah Mohamad.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.