, ,

Gelanggang Kehidupan Yang Berbeza Bagi Setiap Orang

“Setiap insan di atas muka bumi ini diberi satu sahaja peluang untuk menjalani kehidupan. Setiap orang menjalani kehidupan yang berbeza di gelanggang kehidupan.”

Adneen memulakan bicaranya. Matanya memandang padang bola sepak di hadapannya. Kehijauan padang bola itu menenangkan hatinya.

“Ada apa dengan gelanggang kehidupan, wahai adik abang yang petah bicara?” Suhaimi merenung adiknya yang masih merenung padang bola sepak yang masih basah kerana hujan di pagi hari.

“Hidup kita dengan gelanggang bola sepak tak jauh beza. Hidup kita macam padang bola sepak itu sendiri. Keadaannya yang luas dan besar menggambarkan tempoh yang kita akan lalui dalam hidup. Pengakhiran padang itu merupakan analogi kematian kita.”

“Mati itu pasti,” Suhaimi cepat-cepat menjawab.

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami, kamu dikembalikan.” (Surah Al-Ankabut: ayat 5)

“Pandai pun abang.” Adneen memuji abangnya.

“Ok, sambung teori Cik Adneen tentang gelanggang kehidupan tu.” Suhaimi tidak sabar dengan bicara adiknya.

“Jika kita lihat pada perlawanan bola sepak, ada pasukan lawan dan juga pasukan kita sendiri. Diri kita sendiri ialah pemain dalam perlawanan itu. Pasukan lawan diibaratkan sebagai pihak yang berusaha untuk menjatuhkan kita. Tidak kira sama ada menjatuhkan secara kasar atau lembut. Kita sebagai pemain haruslah berhati-hati dengan setiap strategi dan tindakan pihak lawan.”

“Jika kita alpa walaupun sesaat, pasti pihak lawan akan dapat menjatuhkan kita. Begitulah kehidupan kita.” Adneen terdiam seketika dan memandang abangnya. Dia tersenyum. Ingin dia teruskan bicaranya.

Suhaimi menyambung, “Dalam setiap perlawanan bola sepak, tidak sah jika tiada kecederaan yang berlaku. Betul tak? Kecederaan yang kita alami itu ibarat kejatuhan dan kegagalan kita dalam hidup. Jika pemain tercedera dalam perlawanan, mereka tetap akan berusaha untuk bangun walaupun kesakitan menguasai mereka. Begitu juga dalam kehidupan. Walaupun setelah mengalami kegagalan dalam hidup, kita akan berusaha bangkit kembali dan meneruskan kehidupan.”

“Bola yang menjadi objek rebutan setiap pemain diibaratkan sebagai cita-cita kita. Setiap insan mempunyai cita-cita yang ingin dicapai. Apabila seseorang pemain berjaya mendapat bola, tidak bermakna cita-citanya sudah tercapai. Hal ini demikian kerana seseorang pemain akan dikira berjaya apabila bola yang digelecek dapat disepak tepat ke dalam tiang gol. Tiang gol itu adalah indikator sesuatu impian itu berjaya dicapai.”

So?” Suhaimi bertanya adiknya.

So what abang?” Adneen ingin mendengar lagi bicara abangnya itu. Terasa seperti mendengar penceramah sedang menyampaikan ceramah motivasi. Ceramah motivasi kehidupan.

“Adneen habiskan teori gelanggang kehidupan tu, abang nak dengar.”

“Adneen nak abang yang habiskan. Ok?’’ Adneen buat muka merayu. Dia ingin tekun mendengar hujah abangnya tentang bola sepak kerana abangnya pernah menjadi pemain bola sepak.

Namun begitu, kecederaan yang dialami di lututnya pada suatu ketika dahulu membuatkan ayah melarang untuk terus menjadi pemain bola sepak. Akhirnya, abangnya akur dengan perintah ayah.

“Apabila seseorang pemain berjaya menjaringkan gol, semua penyokong pasti akan bersorak kegembiraan untuk pemain itu. Pihak penyokong diibaratkan sebagai orang-orang yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan kita. setiap pemain memerlukan penyokong. Tanpa penyokong, pemain tidak akan mampu beraksi dengan hebat. Jatuh bangun seorang pemain bergantung kepada sokongan yang diterimanya.”

“Perlawanan bola sepak juga mempunyai masa yang telah ditetapkan. Begitu juga kehidupan. Kita haruslah bijak dalam menggunakan masa yang diberi. Janganlah apabila ajal kita di hujung nyawa, barulah kita hendak menyesal dengan dosa-dosa kita. Jadi, marilah kita berusaha untuk menjalani kehidupan dengan cara yang betul supaya dirahmati Allah.”

“Abang tak menyesal tak jadi pemain bola sepak?” Adneen bertanya lagi.

“Tak. Abang bahagia dengan kerja abang sekarang sebagai seorang guru. Alhamdulillah, ayah larang abang jadi pemain bola sepak setelah cedera. Ada hikmah sebenarnya yang Allah nak beri kepada abang. Itulah hikmah terindah. Allah nak abang menyampaikan nasihat kehidupan kepada anak bangsa yang masih dahagakan ilmu dunia akhirat.”

“Adneen bangga ada abang macam ni. Nanti nak dengar lagi cikgu Suhaimi Zahari sampaikan nasihat kehidupan ye?” Adneen mengenyitkan matanya.

Terima kasih Allah untuk nikmat ini. Alhamdulillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.