, , ,

Bagaimana Doa Ibu Memberi Kesan Kepada Dirinya

“Che Yah. Keputusan peperiksaan kau macam mana?”

“Alhamdulillah…”

“Hari tu kau kata tak boleh jawab masa exam. Rasa blur je. Serius okey?”

“Yup. Alhamdulillah. Masa jawab tu memang aku blur pun. Tapi kann… aku rasa berkat doa mak aku kot.”

“Maksud kau?”

“Sebelum aku masuk dewan exam, aku call mak aku.”

“Err… semua orang pun call mak kot sebelum exam.”

“Aku tak tahu orang lain. Tapi aku rasa serius berkat doa mak aku, exam aku kali ni result aku okey. Kau bayangkan, aku study paper tu last minit kot. Esok nak exam, malam tu baru aku baca buku. Tapi natijahnya, satu apa pun maklumat tak lekat kat kepala. Esoknya sebelum aku jawab exam, aku call mak aku. Mak aku tanya sedia dah ke nak jawab exam? Aku menangis masa tu. Aku cerita kat mak, apa pun aku baca macam tak masuk. Tapi mak aku rilek je. Mak aku siap cakap, padan muka aku sebab salah aku belajar last minit.”

“Biar betul?!”

“Haah. Tapi lepas aku dah habis nangis tu mak aku cakap satu ayat yang cukup buat aku tenang nak jawab paper. Nak tahu ayat azimat mak aku?”

“Apa?”

“Mak aku cakap, walau kakak belajar last minit ke apa ke, mak sentiasa doakan kakak. Doa mak sentiasa ada buat kakak, sentiasa iringi kakak. Mak doakan kakak tenang. Mak jauh dari kakak. Doa je mak mampu hantar.”

Baiti diam. Faham. Begitulah asam garam seorang penuntut ilmu. Ada sahaja badai yang melanda.

“Lepas tu mak suruh aku buat solat sunat dua rakaat. Dia cakap, lepas tu kakak buka tafsir Al-Quran cari Surah Al-Thalaq, baca ayat 2 sampai 3 dengan terjemahnya sekali.

Aku buat macam mak aku suruh. Kau nak tahu apa isi ayat tu?”

Baiti mengangguk kecil. Ingin tahu.

“Yang aku faham, surah ni macam bagi jaminan kat akulah. Ni apa yang aku faham. Mungkin dekat orang lain isi pemahamannya lain. Allah SWT akan buka je pintu keluar bagi setiap makhluk ciptaan Dia kalau makhluk tu ikut apa yang Dia suruh, dan bila kau ikut, Allah akan bagi rezeki yang kadang tak terjangka. Macam tulah lebih kurang.”

“Ohhh.” Terkedu. Deep. Cucuk papp… tepat pada jantung! Laju tangan membuka apps tafsir Al-Quran di smartphone.

“Barang siapa bertakwa kepada Allah maka Dia akan menjadikan jalan keluar baginya, dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak ia sangka, dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah maka cukuplah Allah baginya, Sesungguhnya Allah melaksanakan kehendak-Nya, Dia telah menjadikan untuk setiap sesuatu kadarnya.”

(Surah Al-Thalaq: 2-3)

Allah itu hadirkan setiap teguran dengan lembut kepada hambaNya. Laju tangan Baiti menekan butang bookmark pada ayat tersebut. Moga ayat itu sentiasa menjadi penguat daripada Allah untuk dia.

Dalam hati terdetik secebis doa, “Semoga aku sentiasa sedar bahawa takwaku harus aku berikan kepada siapa. Semoga aku menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur. Azam lepas ni kena selalu call mak. Moga barakah doa seorang ibu itu sentiasa ada memayungi seorang yang bergelar anak.”

Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata,

“Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi SAW menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi SAW menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi SAW menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’”

(HR. Bukhari no. 5971 dan Muslim no. 2548).

Wallahu’alam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nuramni Izzati binti Salim. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.