, ,

3 Sebab Kenapa Aku Benci Brother Security Guard

“Zik, dua minggu lagi aku dah tidak bekerja di sini lagi,” kata abang Sabri sebelum kami memulakan solat fardu Zohor secara berjemaah.

Namaku Zik (bukan nama sebenar) dan kini aku bekerja sebagai salah seorang penjawat awam di daerah kecil di Sarawak iaitu di Lawas.

Di sinilah aku mula berkenalan dengan seorang yang entah kenapa kini aku mula membencinya iaitu Brother Security Guard, abang Sabri.

Tugasnya setahu aku menjaga pagar bangunan di mana tempat kami bekerja, memastikan orang ramai meletakkan kenderaan di tempat yang betul dan memastikan keselamatan pejabat kami daripada orang yang tidak dikenali semasa ketiadaan kami di pejabat.

Setelah hampir 4 bulan kami berkenalan,

semuanya seakan-akan berakhir begitu sahaja apabila dia memberitahu aku hasratnya untuk berhenti kerja 2 minggu dari sekarang.

‘Berhenti Kerja?’ Terdetik persoalan di dalam hati aku. Lalu kami berdua memulakan solat fardu Zohor secara berjemaah seperti kebiasaan.

Selepas selesai kami menunaikan solat dan berdoa, aku mulakan kembali pertanyaan kepada abang Sabri berkaitan hajat dia untuk berhenti kerja sambil mencari tempat untuk bersandar, “Abang kenapa nak berhenti kerja? Apa perancangan abang selepas ini? Isteri abang kerja apa sekarang?”

Bertalu-talu soalan tiba-tiba keluar dari mulutku seakan untuk mendapat kepastian kenapa dia membuat keputusan tersebut dalam keadaan dia yang sudah berkeluarga dan ditambah lagi dengan kos sara hidup yang kini semakin meningkat.

Jawabnya tenang, “InsyaAllah selepas ini mengikut perancangan, abang akan usahakan perniagaan ketam dengan keluarga dan untuk pendapatan tambahan, abang juga bercadang untuk menawarkan khidmat membaiki paip-paip bocor di rumah-rumah orang.”

“Ohh…” jawabku spontan sambil aku terpinga sekejap dengan jawapan yang diberikan.

Sambungnya lagi, “Selama 3 tahun abang bekerja, anak abang selalu bertanya tentang mana ayahnya, maklumlah kerja 12 jam sehari ikut shift, 7 hari seminggu dan susah nak ambil cuti,

memang jarang ada masa untuk bersama dengan keluarga.”

Ditambahnya lagi, “Rindu abang nak solat berjemaah di masjid dan duduk bersama di majlis bacaan surah Yasin. Oh ya, isteri abang kerja sebagai suri rumah sahaja.”

Aku terdiam sejenak dan entah kenapa perlahan-lahan aku berdiri lalu meminta izin untuk beredar bagi meneruskan saki-baki pekerjaan yang belum aku selesaikan di pejabat.

Sambil aku duduk, aku tak tahu kenapa aku asyik terfikir dan mempertikai keputusan yang telah diambil oleh abang Sabri, sefikir aku siapalah aku untuk mempersoalkan keputusannya. Persoalannya, kenapa aku ingin sangat mengetahui sebab di sebalik pertikaian dan ketidak puashatian yang aku timbulkan.

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya juga merungkai 3 sebab kenapa aku rasa benci dengan Brother Security Guard ini.

***

1. Dia Ajak Aku Solat Di awal Waktu

Pertama kali aku jumpa dan berkenalan dengan abang Sabri semasa aku solat Zohor “on time”, masa tu di surau bangunan tempat aku kerja.  Lepas tu, aku on/off solat tepat pada waktunya disebabkan pemikiran kolot aku, “Boleh solat nanti masa rehat.”

Masa itulah aku mula hormat betul dengan Brother Security Guard ini apabila dia perasan aku tak solat tepat pada waktunya.

Dia pergi ketuk pintu pejabat aku dan minta izin daripada bos aku untuk bawa aku solat sekali.

Terkejut beruk juga aku masa tu, mana sangka zaman sekarang masih ada juga insan yang berani buat macam tu.

Mungkin sebab itulah aku benci sangat kalau dia dah berhenti kerja, sebab dah takda sahabat nak pimpin dan tegur aku untuk solat awal waktu lagi masa kerja nanti.

2. Sahabat yang Baik Akhlaknya

Kedua, aku percaya dan yakin dia sahabat yang baik akhlaknya. Setiap kali aku bertemu dengan dia, dia confirm senyum siap angkat tangan lagi.

Dialah orang pertama yang ajak aku main futsal dengan penjawat awam lain yang kerja kat situ, siap masukkan aku terus dalam group whatsapp futsal mereka supaya aku tahu bila masa mereka bermain.

Dia juga yang kenalkan aku dengan rakan-rakan yang lain dengan bangganya. Inilah sebab aku benci kehilangan dia, dialah sahabat yang tidak melihat siapa aku sebelum dia hendak melakukan kebaikan.

3. Bersangka Baik dengan Rezeki Allah

Ketiga, aku pernah beritahu dia yang malam hari di sini bosan dan takda apa nak buat. Dia kata kat aku, “Zik bagus kau pergi masjid, masjid sini ada banyak aktiviti terutamanya antara Maghrib dan Isyak.”

Aku nak cuba juga apa yang dia kata, Alhamdulillah sempat juga aku merasa majlis berzikir selama 12 malam berturut-turut sempena sambutan Maulidurrasul, seterusnya kuliah Maghrib, bacaan surah Yasin dan sekarang aku istiqamah ikut kelas tajwid setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Bila jumpa dia, aku cerita dan ucapkan terima kasih atas nasihat dia. Satu hari tu dia ada beritahu aku, “Untung dapat hadir bacaan Yasin di masjid, abang lama dah tak pergi.” Mungkin itulah antara sebab dia memilih untuk berhenti kerja.

Seingat aku, dia sendiri beritahu yang dia rindu dengan aktiviti-aktiviti ke masjid ni,

sebab itu dia tidak kisah untuk berhenti kerja demi mengatur kembali masa dia bersama keluarga dan untuk ibadat.

Inilah sebab aku benci, aku benci kehilangan nasihat daripada dia yang tak putus-putus untuk membawa aku kearah kebaikan.

***

Sebab itu aku sengaja memilih untuk membenci dia kerana aku cuba untuk cemburu di atas nikmat ketenangan, kebaikan dan tawakal yang Allah berikan kepada dia.

Bukan bermaksud agar kebaikan itu hilang daripadanya, namun aku turut berharap agar Allah mengurniakan kekuatan untuk aku mencontohi kebaikan yang direzekikan Brother Security Guard ini untuk aku aplikasikan dalam kehidupan seharianku juga.

Semoga kamu terus berada dalam rahmat dan kasihNya. Terima kasih Brother Security Guard.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohamad Zikri Bin Haizan. Merupakan seorang penjawat awam. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.