, ,

Mitos Nikah Itu Indah

“Dan di antara tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.” (Surah Ar-Rum : 21)

Melihat pasangan yang sangat romantik di luar sana pastinya menimbulkan sedikit rasa ‘seronoknya kahwin’ terutama dalam kalangan gadis dan para bujang.

Tidak dinafikan juga pasangan yang hangat bercinta semakin berbunga-bunga hati mereka ingin melangsungkan pernikahan.

Sewaktu itu, pastinya dalam benak minda mereka bahawa segala tentang nikah itu pastinya indah ditambah pula dengan budaya drama mahupun filem cinta melayu kini yang semakin menonjolkan tema cinta.

Namun, seperti konsep berpasangan lelaki dan perempuan, begitulah juga kehidupan ini termasuk pernikahan. Jika ada manis, ada juga masamnya.

Justeru itu, penulisan kali ini ingin mendedahkan hakikat sebenar bagi menjawab mitos bahawa segala tentang nikah itu indah.

Zaman sekarang ramai orang bila tengok orang lain kahwin, dia pun nak kahwin tapi sebenarnya dia pun tidak tahu apa matlamat dia dalam perkahwinan.

Isteri Cili Padi

Cili padi itu sifatnya memiliki warna cantik; merah dan hijau, adakalanya jingga. Namun, apabila dimakan, pedasnya mampu memanaskan lidah. Terasa asap akan keluar melalui lubang telinga.

Peliknya, yang pedas itulah penambah selera. Tiada pedas adakalanya mampu membunuh selera makan.

Ketika dalam proses berkenalan dan pertunangan, si gadis itu tampak manis pada pandangan mata. Cukup seri wajahnya, lemah-lembut tutur katanya, sopan-santun perwatakannya.

Mudah kata, itulah penyejuk mata penenang hati si bujang.

Namun, selepas pernikahan tiada lagi watak penenang jiwa itu. Wataknya berubah menjadi ‘pedas’ dengan kuat bebelnya, kuat mengungkitnya, kuat naik anginnya.

Adakalanya sehingga si suami merasa teruji sungguh membawa amanah sebagai suami. Sungguhpun begitu, jika ‘si pedas’ ini tiada di rumah pastinya si suami merinduinya.

Itulah pengikat hati. Se’pedas’ manapun isterinya, itulah yang menambat hatinya. Itulah hakikat pernikahan sebenar sebagai suami isteri, bersabar kerana Allah dalam mendidik ahli rumah.

Suami Ustaz Celup

Sebelum pernikahan, si gadis berangan, selepas pernikahan nanti ingin sentiasa bersentuhan dengan si suami. Romantik sungguh berpegangan tangan sentiasa, pahala pun dapat dosa pun gugur sama, katanya.

Namun, selepas pernikahan, sebaliknya berlaku. Boleh dikira berapa kali sehari dapat berpegangan tangan dengan suami kerana si suami rajin ke surau atau masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

Jadinya, si suami ingin sentiasa menjaga wudhu’nya untuk memudahkan urusan solat, malas katanya mengambil wudhu’ berulang kali untuk mengelakkan baju basah.

Angan si isteri terus terpendam hingga akhirnya terkubur sepi. Begitulah hakikat pernikahan sebenar sebagai suami isteri, bertoleransi kerana Allah untuk memudahkan urusan ibadah pasangan.

Isteri Tukang Makan

Sejak kecil, si bujang sudah biasa merasa makanan enak hasil air tangan ibu. Tidak ingin tahu bagaimana caranya si ibu menyediakan makanan, asalkan dirinya dapat menjamah makanan hasil air tangan ibu itu sehingga kenyang.

Begitu juga diharapkan daripada bakal isteri, sebelum ke tempat kerja sarapan tersedia atas meja, selepas pulang dari kerja makanan tengah hari tersedia juga atas meja, begitu juga dengan makan malam.

Dari waktu pagi hingga ke malam ingin makan tersedia rapi di atas meja hanya, menanti dijamah dengan layanan seindah hotel bertaraf lima bintang. Itulah angan si bujang.

Namun, selepas pernikahan, angan-angan itu sekadar angan-angan. Si isteri tidak tahu memasak, malas pula ke dapur kerana tidak biasa katanya. Segala makanan minuman perlu diminta terlebih dahulu barulah disediakan.

Namun, kebanyakan masa meja makan di dapur itu kosong kerana tiada apa yang disediakan. Bertabahlah si suami menyediakan sarapannya sendirian sebelum ke tempat kerja.

Si suami juga sudah biasa menjamah makanan di kedai pada waktu tengah hari. Makanan waktu malam pun disediakan si suami kerana tidak ingin menyusahkan isterinya.

Namun, setiap kali tersedianya makanan, si isteri pasti turut makan bersama malah lebih banyak berbanding suaminya.

Begitulah hakikat pernikahan sebenar, berlapang dada dengan kekurangan dan kelemahan pasangan.

Suami Tukang Campak

Hidup sudah dirutinkan dengan kekemasan dan ketelitian. Itulah kebiasaan sejak kecil sehinggalah mengakhiri waktu bujangnya.

Keadaan sekeliling perlu sentiasa kemas, habuk disapu, meja kerusi perabot dilap, setiap barang berada di tempatnya, segalanya perlu diurus sempurna dan sistematik.

Namun, segalanya berubah selepas pernikahan. Si suami setiap kali pulang dari kerja hanya sekadar meletakkan barang di mana sahaja yang ternampak dek matanya.

Kasut yang sebelum ini diambil di rak kasut, hanya diletakkan di depan pintu selepas pulang kerja. Tuala yang sebelum ini diambil di penyidai tuala, hanya dicampak atas katil selepas digunakan.

Terlalu banyak yang kontra berbanding rutin harian si isteri yang sentiasa dalam kekemasan, kebersihan, dan ketelitian yang sistematik.

Namun, si isteri tidak merungut. Barang dicampak itu diletakkan kembali ke tempat asalnya, barang yang berhabuk dilap sempurna, segala yang tidak teratur disusun sebaiknya.

Rutin itu berulang setiap hari. Begitulah hakikat pernikahan sebenar, melonggarkan keteguhan prinsip demi menjaga hati pasangan.

Itulah antara hakikat dalam pernikahan. Dalam manis, ada masam. Dalam suka, ada duka. Itulah lumrah perjalanan kehidupan ini termasuklah pernikahan. Namun, segala yang menjadi lumrah itu pastinya dapat diatasi.

Antara kepentingan memilih pasangan bersandarkan pada agama (ketakwaan) ialah hanya dengan agama dapat mendidik diri seseorang menerima baik buruk pasangan dan bertindak bijak dalam mengendalikan konflik rumahtangga.

Kasihan melihat ramai pasangan anak muda yang berlapar dahaga menahan diri semata-mata ingin mengumpulkan ribuan duit hantaran, namun jodoh pernikahan tidak sampai dua tahun.

Semua ini kerana kurangnya penghayatan agama dalam kehidupan. Hanya melalui agama dapat melentur ego seorang isteri untuk tunduk taat kepada orang yang asing dalam hidupnya.

Hanya melalui agama juga dapat menyemaikan sabar yang tinggi dalam diri si suami untuk mendidik isterinya.

“Aku ingin kahwin cepat kerana tidak mahu terus berdosa, ingin segera halal.”

Jangan terkejut, jika selepas pernikahan banyak lagi dosa lain yang kita lakukan tanpa sedar; tidak taat pada suami, mengungkit pemberian, mengecilkan hati pasangan. 

 “Aku ingin kahwin kerana dia menjagaku dengan baik.”

Jangan terkejut, jika selepas pernikahan segala kebajikan diri perlu diurus sendiri tanpa perhatian pasangan.

“Aku ingin kahwin kerana dia sudah layak menjadi imamku.”

Jangan terkejut, jika selepas pernikahan sukar sekali mengajak suami solat bersama.

“Aku ingin kahwin kerana bisnesnya sudah stabil, mampu menunaikan nafkahku.”

Jangan terkejut, jika selepas pernikahan si suami muflis ataupun hilang mata pencarian.

Pasakkan niat pernikahan hanya kerana Allah SWT. Pastinya, insyaAllah segala kekurangan dan kelemahan pasangan itu mampu kita terima baik seadanya sebagai ujian dan mungkin juga sebagai peluang untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Orang yang ingin dicintai pasangan, perlu terlebih dahulu mencintai pasangan. Mana mungkin kita mampu bercinta dengan indah jika cinta pun tidak wujud dalam hati kita.

Jangan disalahkan pernikahan yang membosankan hingga menyebabkan penceraian tetapi salahkan diri sendiri yang mudah tertewas dengan godaan dan mainan syaitan yang sememangnya ingin menggoyahkan iman manusia dan menghumban kita semua ke neraka.

Nauzubillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nursyuhada Fatihah binti Zainudin. Berasal dari Negeri Sembilan. Merupakan graduan ijazah sarjana muda Sains Biologi UTMJB.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.