, ,

Andai Ada Peluang Kedua

ayahku masih belum pulang

peluang kedua

Petang itu , seperti biasa aku pulang dari kerja menaiki motosikal. Aku parkir motosikal di hadapan rumah. Kemudian, aku terus masuk ke kamar. Ibu masih di dapur, menyediakan juadah makan malam. Ayah masih belum pulang dari kerja.

Aku terus berbaring di atas tilam. Ku lihat sekeliling kamarku. Sebuah rak buku usang yang penuh dengan buku-buku ilmiah, sebuah meja belajar yang ayahku pungut dari longgokan sampah, tetapi masih elok untuk digunakan, kipas angin serta sebuah almari kecil pakaian terletak elok di sudut kamar.

Aku merenung siling, sedalam-dalamnya. Lantas aku bersiap, menunaikan solat Asar kemudian turun ke dapur. Dapur yang sempit itu turut menjadi ruang makan kami bertiga. Ayah yang baru saja pulang, bergegas mandi lalu duduk bersila untuk sama-sama menjamah makan malam yang ibu sediakan. Biarlah rumah kecil, tetapi seisi rumah bahagia, begitu kata mereka kepadaku. Dan aku cuma mengiakan.

Usai makan, aku bersegera untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di surau yang sangat hampir dengan rumahku. Ayah dan ibuku, seperti biasa, hanya berada di hadapan televisyen kecil berjenama Tishiba menonton Berita Utama sambil menjamah kopi panas.

Sudah dua bulan aku berada di rumah, mendapat tawaran kerja yang berdekatan dengan rumah sejurus selepas menamatkan pengajian ijazah, sememangnya menjadi idaman hampir setiap orang. Dan syukur kepada Tuhan, aku berpeluang merasainya. Setelah sedari Tingkatan Satu lagi aku menimba ilmu di negeri orang, Tuhan mengizinkan aku untuk kembali berbakti di negeriku sendiri. Sekali lagi, aku bersyukur kepada Tuhan.

Pada pagi hujung minggu, aku gemar minum kopi di warung Mak Kiah. Dengan takdir Tuhan, aku dipertemukan dengan seorang kawan lama yang baru selesai menamatkan ijazah perguruan dan sedang menanti panggilan temuduga. Dia tinggal di kampung sebelah, tetapi kadangkala hujung minggu begini, warung Mak Kiah juga yang dicarinya.

“Hakim, sudah lama kita tidak bersua. Dengarnya, kau sudah bekerja?” begitu sapanya kepadaku ketika bertemu di warung Mak Kiah.

“Eh, Kamal? Duduklah dahulu. Boleh kita berborak panjang.” Aku mempelawanya menyertaiku.

Pelbagai hal yang kami bualkan, dari hal kenangan sekolah rendah, pengalaman masing-masing di sekolah menengah, kolej, universiti, tentang pekerjaanku sekarang sehinggalah aku bertanya mengenai ayahnya yang dulunya menjadi bilal di kampung sebelah. Dia terdiam beberapa ketika sebelum berbicara.

“Ayahku baru sahaja meninggal dunia tiga bulan lepas. Kau tahu, ayahku meninggal dunia ketika sujud, dalam tahajudnya. Semoga ayahku ditempatkan dalam kalangan orang beriman.” Balas Kamal bersahaja. Nadanya seakan meredhai pemergian ayahnya dalam keadaan sedemikian rupa.

Dalam kebersahajaan Kamal itu, suatu naluri dalam diriku tersentak dengan pengakuan Kamal itu. Naluri seorang anak yang sebenarnya mengharapkan ayahnya berubah. Pertemuan semula dengan Kamal seolah-olah menjentik suatu rasa tanggungjawab untuk cuba mengajak ayahku bersolat. Selama aku cuba istiqamah menunaikan solat fardhu Subuh, Maghrib dan Isyak secara berjemaah di surau berhampiran rumah, aku baru tersedar bahawa tidak pernah sekalipun aku mengajak ayahku untuk turut serta. Tidak pernah.

Aku fikir, dengan istiqamah aku yang senantiasa ke masjid, ayahku akan tersedar dengan sendirinya untuk menunaikan solat. Aku fikir, dengan istiqamah aku yang senantiasa ke masjid, seolah-olah menjadi qudwah hasanah buat ibu ayahku. Aku fikir, dengan semata-mata berdoa meminta Tuhan membuka pintu hati ibu bapaku, mereka akan bersolat. Tetapi ternyata aku silap. Tiada usaha yang jelas nyata daripadaku untuk mengajak mereka menunaikan tanggungjawab utama setiap Muslim itu. Oh, Tuhan, ternyata besar sekali khilafku.

Malam itu lantas aku mengerjakan solat sunat taubat buat memohon keampunan atas khilaf sendiri yang hanya mementingkan diri, tidak mengajak insan paling dekat denganku, yakni ibu bapaku sendiri untuk melaksanakan kewajipan sebagai seorang Muslim. Aku juga turut mengerjakan solat sunat hajat memohon agar Allah memberi kesedaran kepada kedua-dua ibu bapaku supaya mereka mahu menghadapkan wajah mereka untuk beribadat kepada-Mu.

Keesokan harinya, usai pulang dari kerja, dengan santun aku menyalami ibuku. Aku bertekad pada hari ini, aku harus mengajak ayahku ke surau. Jika selalunya aku bersendirian, hari ini, aku mahu ayah bersamaku ke surau. Tetapi, biasalah, sebagai manusia biasa, aku turut meragui keputusanku. Adakah ayah akan menurut?

Mana mungkin orang yang bertahun tidak mengerjakan kewajipan utama seorang Muslim itu, akan dengan mudah saja kembali mengerjakannya semula. Pasti memerlukan satu dasar yang kukuh untuk mereka kembali semula kepada ajaran Islam. Ah, pokok pangkalnya sekarang aku harus mula mengajak terlebih dahulu. Selebihnya serah sahaja urusan ini kepada Tuhan. Yakini itu. Itu yang cuba kubisikkan kepada diri sendiri.

Sesudah mandi dan menunaikan solat Asar seperti selalunya, kali ini aku menunggu kepulangan ayahku di ruang tamu. Aku benar-benar berharap dapat menyambut kepulangan ayahku dengan wajah yang berseri-seri sekali.

Namun, panggilan telefon yang diterima oleh ibu benar-benar menyentak jiwaku sebagai seoang anak. Ayahku terlibat dalam kemalangan jalan raya. Oh, Tuhan!

Sesampai di hospital, aku tidak putus-putus berdoa semoga ayah diberi kesembuhan dan yang paling penting, diberi peluang kedua buat melaksanakan tuntutan wajib itu – solat! Aku sangat berharap itu. Aku merintih bermohon pada Tuhan lewat solat Maghrib pada malam itu di surau hospital supaya ayah sembuh. Aku benar-benar berharap akan kesembuhan ayah.

Namun, takdir yang terlakar menyatakan sebaliknya, ayah meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala. Takdir yang tertulis bahawa ayah kemalangan dirempuh kereta yang terbabas. Dan pemandu kereta itu sebenarnya telahpun maut di tempat kejadian. Oh, Tuhan, ampunilah dosa-dosa ayahku. Hanya itu yang mampu meniti di bibirku tika ini.

Malam yang panjang itu, aku menangisi pemergian ayah yang tidak bersolat. Aku berdoa sesungguh hati supaya Tuhan mengampunkan dosa ayahku. Orang yang solat juga belum tentu ke syurga, bagaimana pula orang yang langsung mengabaikan solat seperti ayah. Oh, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, hanya kepada-Mu aku memanjatkan doa supaya diampunkan dosa ayahku. Doa itu sudah semacam sebati di bibir dan sukmaku.

Ibu yang terjaga dari tidurnya kerana mimpi aneh – ya, aneh dan mimpinya seperti ini. Ayah datang kepada ibuku dalam keadaan compang-camping, menangis-nangis , merayu-rayu memohon kepada ibuku supaya tidak lagi mengabaikan solat. Kemudian, ayah ghaib begitu sahaja.

Ibu terjaga serta menangis semahunya. Ibu ingin datang ke kamarku sebelum sempat mencuri dengar tangisan dan rintihanku pada malam itu dari balik pintu. Rintihanku agar ibu yang masih lagi tersisa hidupnya kembali menunaikan tiang agama yang telah lama dia tinggalkan. Rintihanku agar Tuhan mengampunkan dosa-dosa ayah.

Maklumat Penulis

Ditulis oleh Mohamad Nasrul bin Mohd Baki (Nasr Al-Akhyar). Tinggal di Ampang. Nukilan ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.