,

Rasa Nak Batalkan Usrah

cerita perjuangan pengorbanan

usrah

“Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada seorang mukmin yang lemah, namun pada masing-masingnya terdapat kebaikan. Bersemangatlah untuk meraih apa yang bermanfaat bagimu, mintalah pertolongan kepada Allah, dan jangan bersikap lemah. Apabila sesuatu menimpamu janganlah berkata, “Seandainya dahulu aku berbuat demikian niscaya akan begini dan begitu.‟ Akan tetapi katakanlah, “Itulah ketetapan Allah dan terserah Allah apa yang dia inginkan maka tentu Dia kerjakan.‟ Disebabkan ucapan ‟seandainya‟ itu akan membuka celah perbuatan syaitan.”
HR. Muslim (2664)

Hujan di luar masih lebat. Rayyan mengeliat sebentar setelah hampir dua jam mengadap nota subjek Mikroekonomi. Dua hari lagi merupakan peperiksaan akhir subjek tersebut bagi semester ini. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia duduk di rumah sepanjang hari ini. Namun, apabila mengingatkan temu janji usrah jam 12 tengah hari nanti, dia membatalkan niat.

Sebagai naqibah, boleh sahaja dia batalkan usrah supaya dia lebih punya banyak masa untuk ulangkaji. Tambahan pula, hujan di luar masih lebat. Lagilah kuat alasan untuk membatalkan usrah.

Namun, apabila difikirkan, usrah hanya sekali seminggu, dan waktu yang telah ditetapkan merupakan persetujuan semua ahli usrah available. Jika tangguh, perlu tunggu minggu depan pula. Rugi masa. Jika dibuat juga pada masa lain minggu ini, pasti ahli usrah yang lain ada yang tidak available untuk hadir.

Elok dia nak buat keputusan, tiba-tiba…
“Di luar masih lebat lagi hujan, agak-agak semua boleh datang ke? Izzah, Aina dan Safenah kan tiada kenderaan. Lain la Afina dan Fatin yang masing-masing punya kereta. Mahirah pula satu rumah dengan Fatin. Dia boleh tumpang Fatin. Mesti hari ni tak semua dapat dating sebab hujan. Baik tunda ke minggu depan kot,”gumam hati kecil Rayyan.

Hatinya terasa berat untuk membawa usrah hari ini ekoran jangkaan tidak semua dapat hadir kerana hujan. Lantas tangannya mencapai telefon bimbit. Hajat untuk memaklumkan kepada semua bahawa usrah terpaksa dibatalkan.

Tiba-tiba, hati kecilnya berbisik lagi,
“Jika tunda, dah rugi masa. Apa kata, teruskan juga. Siapa aku nak jamin berapa orang boleh datang hari ini? Pulangkan saja kepada Allah S.W.T. Allah yang memegang hati manusia dan DIA yang memudahkan serta menyukarkan sesuatu pekerjaan tersebut. Yang penting, jika usrah tetap dijalankan hari ini, pasti akan turun rahmat, berkat berhimpun semata-mata untuk mengingati Allah.”

Diletakkan kembali telefon bimbit tersebut di atas meja. Rayyan tiba-tiba teringat satu doa yang pernah diajarkan oleh ummi, lantas membacanya,

Dari Anas bin Malik, beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda:
“Allahumma laa sahla illa maa ja‟altahu sahlaa, wa anta taj‟alul hazna idza syi‟ta sahlaa.”

Ya Allah! Tiada kesenangan kecuali yang Dikau permudahkan; Dan Dikaulah menjadikan kesedihan (kesukaran), jika Dikau mengkehendakinya pasti akan menjadi mudah.”

Riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya (3/255)

Selesai membaca doa tersebut, hatinya berasa tenteram, seolah-olah seperti disirami dengan air sejuk. Terasa satu beban telah diangkat. Dia menyedari bahawa alasan akan menyebabkan pekerjaan kita terasa beban, lantas kita berat untuk melaksanakannya.

Namun, jika kita menghindarkan diri daripada mencipta alasan, sesuatu kerja itu akan menjadi mudah kerana wujudnya keyakinan bahawa hanya Allah S.W.T yang menguruskan segala sesuatu. Rayyan juga sedar bahawa saat ini, dia sedang diuji. Dengan ujian istiqamah. Dia juga tengah berjuang. Ya, berjuang! Berjuang melawan nafsu, juga melawan bisikan syaitan semestinya. Dia tidak boleh kalah!

Lantas dicapai kembali telefon bimbit tersebut. Mesej ditaip, namun, bukan dengan hasrat untuk membatalkan usrah, tetapi untuk memaklumkan kepada ahli usrahnya bahawa usrah tetap berjalan seperti biasa hari ini dan meminta respon kehadiran daripada semua.

Belum sempat dia menaip mesej, tiba-tiba, satu mesej whatsapp daripada Afina masuk.
“Kak Rayyan, usrah jadi kan hari ini? Afina dari Za’ba hari ini, discussion dengan kawan di sini. Tak sabar nak bentang azam baru 1437H dalam usrah hari ini, hehe..”

Rayyan terhibur apabila mengetahui reaksi Afina sebegitu. Untuk usrah hari ini, dia telah memaklumkan kepada semua ahli usrah bahawa masing-masing perlu berkongsi azam tahun baru, 1437H.

Biasanya, setiap kali usrah dijalankan, selain mentadabur ayat al-quran dan berbincang mengenai topik-topik sekitar dakwah, tarbiyah & siasah, Rayyan gemar untuk memberikan tugasan individu kepada ahli usrahnya mengikut kelebihan dan minat masing-masing. Tugasan yang bukan menyulitkan, tetapi merupakan nilai tambah yang mereka tidak dapat memperolehinya semata-mata dari dewan kuliah.

Kadang-kadang, tugasan atau aktiviti tambahan ini yang menjadi tarikan mereka untuk hadir usrah. Ahli usrah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang fakulti, minat dan kelebihan mewujudkan satu perbincangan usrah menjadi dinamik. Tidak statik.

Pernah dalam usrah, Aina, pelajar Fakulti Ekonomi berkongsi kebaikan & keburukan GST. Secara tak langsung, ahli usrah lain turut cakna tentang isu GST walaupun bukan pelajar ekonomi. Afina dan Mahirah yang sangat meminati ilmu pengurusan kewangan, juga pernah berkongsi tips-tips pengurusan kewangan dalam usrah. Kesannya, usrah bukan sahaja dijadikan sebagai wasilah untuk menerima ilmu semata-mata, malah ia berperanan untuk menggilap bakat & potensi dalam diri setiap ahli usrah.

Rayyan sendiri, walaupun sebagai naqibah, selalunya terfikir hanya sekadar memberi ilmu. Namun, dalam usrahnya, dia terasa seperti dia juga kadang menerima ilmu baru & nasihat berguna daripada setiap ahli usrahnya.

“Baik Afina. Ya, usrah seperti biasa. Mesti gempak azam Afina tu. Tak sabar juga akak nak dengar”. Rayyan membalas whatsapp tersebut.

Perbualan terhenti kerana ada panggilan. Panggilan daripada Safenah.
“Assalamualaikum, kak. Maaf ganggu. Usrah jadi kan hari ini?”, tanya Safenah.

“Ya, jadi Fina. Hujan lebat ni. Fina boleh datang?” tanya Rayyan.

“Mulanya macam tak dapat sebab tiada kereta. Tapi, nasib roommate Fina balik awal hari ni. Kelas dia batal. Dia bagi pinjam kereta dia,” kata Safenah.

“Baguslah macam tu. Alhamdulillah. Jumpa nanti ya”, kata Rayyan.

Selepas perbualan diberhentikan, Rayyan lantas menaip whatsapp dan menghantarkannya kepada semua ahli usrahnya. Dia terus bangun dan langkah diatur untuk bersiap.

“Tiada cerita indah tanpa perjuangan & pengorbanan”

“Assalamualaikum adik-adik,bUsrah hari ini berjalan seperti biasa ya. Di surau Fakulti Sains & Teknologi.bAkak tahu, adik-adik mesti tengah fokuz mengulangkaji memandangkan peperiksaan minggu hadapan. Ditambah pula, dengan hujan yang lebat, pasti kita rasa berat untuk hadir usrah. Namun, suka untuk akak ingatkan pada diri adik- adik dan diri akak sendiri bahawa,
“Tiada cerita indah tanpa perjuangan & pengorbanan” Jumpa kalian di bulatan gembira”

Tepat jam 11.55 pagi, Rayyan sudah berada di surau Fakulti Sains & Teknologi. Selalunya, dia gemar mengadakan usrah di luar, namun disebabkan cuaca yang kurang memberansangkan, surau yang menjadi pilihan.

Tidak lama kemudian, Mahirah datang bersama Fatin. Kedua-duanya ceria bersalaman dengan Rayyan. Selepas bertanya khabar, muncul Afina termengah-mengah. Sangkaannya, usrah sudah mula kerana sudah melepasi jam 12 tengah hari. Sengaja Rayyan melewatkan sedikit usrah memandangkan Safenah juga telah memberitahu untuk datang, namun kelibatnya masih tidak kelihatan.

Setelah hampir sepuluh minit menunggu, kelibat Safenah masih tidak kelihatan. Rayyan berbaik sangka, lantas memulakan usrah dengan mengajak Mahirah, Fatin dan Afina sama-sama mentadabur ayat berkaitan perjuangan. Rayyan mengharapkan tadabur ayat ini mampu memberi motivasi kepada ahli usrah serta dirinya sendiri sempena peperiksaan minggu hadapan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, “Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat (untuk berperang), niscaya Allah akan menghukum kamu dengan azab yang pedih dan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan merugikan-Nya sedikit pun. Dan Allah Mahakuasa atas segala sesuatu.”
(At- Taubah: 38-39)

Sedang khusyuk mentadabur ayat tersebut, tiba-tiba muncul Safenah. Safenah bukan datang seorang, tetapi sekali dengan Izzah dan Aina.

“Maaf akak lambat”, kata Safenah, sambil bersalam dengan Rayyan.

“Tidak mengapa. Akak ingatkan Izzah dan Aina tidak datang, sebab kalian tidak pula beritahu akak untuk datang”, soal Rayyan.

“Maaf akak. Pada mulanya, saya memang berat nak datang. Minggu depan dah mula peperiksaan tapi, minggu ini masih ada lagi tugasan yang tidak selesai. Selepas dapat whatsapp akk, saya terus buat keputusan untuk datang. Tapi hujan pula jadi halangan. Jadi, saya cadang nak naik bas. Nasib saya baik, Safenah ternampak saya sewaktu saya tengah menunggu bas di pondok bas. Jadi, dia tumpangkan sekali.” Ujar Izzah sambal tersenyum.

“Ni, Aina pula?”, tanya Rayyan.

“Saya nak datang usrah pada awalnya, tapi memandangkan hujan, saya fikir dua tiga kali juga kak. Mujur lepas tu Izzah call. Katanya, dia tumpang Safenah dan dia ajak saya sekali. Makanya, saya terus bersiap. Maaf akak. Mereka lambat sebab tunggu saya bersiap,” jawab Aina (sambil buat muka sedih).

Lega Rayyan mendengarnya. Sekarang, semua ahli usrahnya hadir walaupun pada mulanya, Rayyan tidak menjangkakan bahawa semua boleh hadir. Rayyan sedar, ini semua nikmat daripada Allah S.W.T untuk dia berpeluang bersama-sama berkumpul dengan ahli usrahnya demi mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis (Sad:54)

Mereka menyambung semula tadabur berkaitan pengorbanan. Rayyan sehabis baik menerangkan konsep pengorbanan dan perjuangan sebenar dengan harapan mereka semua tergolong dalam golongan orang yang ikhlas berjuang.

Dalam konteks berjuang sebagai seorang pelajar, kesibukan dengan tugasan yang banyak menyebabkan kita makin jauh dengan Allah. Belajar hanya berlandaskan untuk duniawi, sehingga kadang lalai untuk membetulkan diri sendiri dan juga orang lain yang terdekat.

Rayyan mengambil contoh kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup untuk menyembelih anaknya sendiri dan Nabi Ismail yang sedia disembelih oleh ayah sendiri. Tiada yang lebih penting yang diharapkan oleh mereka berdua, melainkan keredhaan Allah S.W.T semata-mata.

Sejurus selepas tadabur, setiap orang menyuarakan azam masing-masing sempena tahun baru 1437H. Setelah hampir dua jam, usrah ditamatkan. Rayyan tidak putus-putus memanjatkan syukur. Dia berfikir, kalaulah dia menunda usrah hari tu, alangkah ruginya dia.

Hari ini, Rayyan belajar erti pengorbanan dan perjuangan. Untuk berjuang dalam medan dakwah, seringkali niat kita akan diuji. Jika kita ikhlas melakukan sesuatu untuk mendapatkan keredhaan Allah, datanglah macam mana bentuk ujian pun, kita tidak akan mampu mencipta alasan. Sebaliknya pula, jika niat kita salah, tidak ikhlas, sedikit cabaran depan mata pun dijadikan alasan.

The power of niat!

Rayyan berharap moga dia terus istiqamah berjuang dan berkorban dalam mentarbiah diri dan ummah. Tiada cerita indah tanpa perjuangan & pengorbanan. Infiru!

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Saidatul Akma Bt Zakaria. Pelajar semester akhir (Master) dalam bidang Ekonomi Pembangunan, UKM, Bangi. Pernah menghasilkan ebook sendiri sebelum ini bertajuk “Strategi Cashflow Positif”. Minat menulis dalam penulisan berbentuk motivasi, dakwah dan pengurusan kewangan.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 83.333333%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 16.666667%