1.Keselamatan
Pernah sekali ketika solat Maghrib di salah sebuah surau di Selayang, saya disapa oleh seorang pak cik tua, dan menegur agar meletakkan anak lelaki saya yang berusia 4 tahun (Uwais) di belakang (saf kanak-kanak), yang mana kedudukan saf itu jauh dari saf dewasa.
Saya berat untuk menurutinya dan bertegas mahu anak saya solat di sebelah saya. Sepanjang membawa Uwais ke masjid sebelum ini, tidak pernah sekali pun Uwais buat kacau dan bising ketika jemaah sedang menunaikan solat.
Antara faktor yang saya bimbangkan ialah soal keselamatan. Siapa boleh bagi jaminan keselamatan terhadap anak saya ketika saya sedang solat berjemaah di hadapan?
Sejarah hitam ini pernah berlaku di Kota Bharu, di mana kes kanak-kanak hampir diculik ketika jemaah menunaikan solat terawikh.
Rujuk pautan ini: ( https://www.bharian.com.my/node/171620 )
Selain itu di Tumpat, pernah terjadi kes kanak-kanak berusia 9 tahun diculik oleh seorang lelaki selama 3 jam ketika keluarganya sedang menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di salah sebuah masjid.
Nasib menyebelahi keluarga budak lelaki itu apabila menjumpainya semula ketika usaha mencari dijalankan.
Rujuk pautan ini: ( http://www.sinarharian.com.my/semasa/anak-diculik-3-jam-ketika-ayah-solat-maghrib-1.528714 )
2.Pendidikan
Bagaimana mungkin budak-budak ni mahu belajar solat sekiranya dipaksa mengasingkan saf daripada saf dewasa?
Apabila budak-budak ini diletakkan di saf kanak-kanak, sudah tentu solatnya entah ke mana. Duduk bersama kawan-kawan, cuit mencuit, bercanda, bermain dan akhirnya buat bising di dalam masjid.
Dan berkenaan sikap dan akhlak orang dewasa yang menegur budak-budak itu juga, sejujurnya perlu dibaiki.Tegurlah dengan kasih sayang.
Terkadang ada yang suka menengking budak-budak, lalu membuatkan mereka berasa takut dan terus menjauhi masjid. Akhirnya masjid pun menjadi tempat menyeramkan bagi mereka.
Mereka pun mula mencari tempat alternatif hiburan. Pilihannya adalah playstation dan permainan online. Mudah dan menyeronokkan. Tiada lagi suara-suara yang menakutkan memarahi mereka.
Mereka ini semakin membesar dan meningkat remaja. Sekiranya perkara ini berterusan, akhirnya kita akan dapati remaja-remaja ini tidak berminat mahu ke masjid kerana sedari kecil kita tidak melatih dan memberi galakan pada mereka untuk dekati rumah Allah ini.
Inilah realiti yang berlaku didepan mata.
Lupakah kita, bahawa Rasulullah juga pernah memuliakan kanak-kanak di masjid?
Rasulullah pernah mengendong cucu Baginda, Umamah dan Hussain ke masjid.
Rasulullah pernah memanjangkan tempoh sujudnya kerana cucu Baginda, Hussain sedang bermain di atas belakang rasulullah.
Sahabat yang menjadi makmum ketika itu menduga lamanya sujud itu akibat datangnya wahyu.
Kisah-kisah Baginda Nabi S.A.W yang memuliakan kanak-kanak di masjid mungkin jarang di dengari dan diceritakan oleh sebahagian orang.
Biarlah kanak-kanak ini betah bermain di masjid daripada memilih bermain di tempat lain yang menjauhkan mereka dari agama dan masjid.
Berikut merupakan cadangan dan syor yang dikeluarkan oleh pejabat Mufti Wilaha Persekutuan yang bertarikh 10 Jun 2016 (Bayyan Linnas siri 63):-
I.Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak dibawa ke masjid.
II.Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.
III.Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak.
IV.Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.
Kanak-kanak harus diberi galakan untuk ke masjid sebagai latihan untuk memupuk rasa cinta terhadap dan untuk solat berjemaah bersama-sama.
Adakah wajar tindakan masjid untuk mengasingkan saf kanak-kanak?
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Maklumat Penulis Ahmad Hidzir Bin Abdul Salam. Berasal dari Selayang, Selangor. Bekerja sebagai Pegurus Kualiti Makmal di salah sebuah organisasi swasta. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Putera Edir.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.